Sarapan & Makan Tengah Hari Seisi Keluarga
5:47 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Rasanya sangat singkat waktu bersama anak-anak sewaktu cuti tempoh hari. 24 Disember 2024 balik LD. 28 Disember 2024 pula majlis aqiqah untuk Hamzah. Sibuk sungguh ketika itu mengatur persediaan majlis. Pada masa yang sama tetap juga sediakan sarapan dan makan tengah hari untuk seisi keluarga seadanya. Yang penting dapat menjamah hidangan semeja.
Cucur Jagung + Udang |
Teringat anak-anak suka makan cucur jagung campur udang. Gigihlah kita turun ke dapur goreng cucur. Alhamdulillah. Habis licin sekali hadap. Encik Suami kata goreng mi dua bungkus. Kita goreng sebungkus saja. Mungkin banyak aksesorinya jadi bergandalah hasil mi gorengnya.
Mi Goreng Ayam |
Kita buat lempeng cair. Abang Farid suka makan lempeng.
Masak sambal sardin dalam tin buat cecah lempeng cair.
Ada baki nasi sejuk, kita goreng dengan isi ikan goreng yang ditumbuk, tambah kacang panjang.
Ayam Masak Kicap |
Antara lauk makan tengah hari pula, kita sediakan Ayam Masak Kicap. Masak seekor terus, boleh makan sampai ke petang atau malam.
Terung Tumis Taucu |
Terung Tumis Taucu ini Fuad minta taburkan ikan bilis mata biru goreng.
Ikan Putih Masak Kari |
Hari yang lain, Amie olah Ikan Putih Masak Kari.
Seronoknya tengok lauk habis licin.
Sayur Campur |
Sayurnya pula, campur-campur taugeh dengan putik jagung, lobak merah dan daun kucai. Sedaplah makan panas-panas dengan nasi putih.
Ikan Kerisi Goreng Kunyit |
Lauk ikan kerisi goreng ini Amie sediakan pada hari Jumaat. Selepas solat Jumaat dapatlah kami makan bersama-sama. Istimewanya Amie gorengkan kunyit bersama bawang putih tumbuk ikut gaya blogger Suria Amanda.
Ikan Layar Masak Lada Putih |
Teringat Fuad yang suka makan ikan layar. Gigihlah Encik Suami membongkar peti sejuk. Ada dua keping ikan layar yang kami simpan untuk Fuad. Bukan selalu boleh dapat ikan layar. Rezeki Fuad, balik LD kali ini dapat makan ikan layar.
Oleh kerana kali ini kami tidak dapat makan bersama-sama semeja, Fairuz orang terakhir makan tidak dapat menjamah ikan layar! Fuad sudah habiskan terlebih dahulu. Aduhai.... tak apalah dik. Maafkan Fuad si raja ikan itu. Fairuz lambat sampai ke rumah sebab bantu melapah kambing aqiqah di kampung.
Sup Betik + Ayam |
Amie masak sup betik campur ayam untuk Aseeyah. Hirup sup betik bagus untuk ibu menyusu.
Ini sahajalah yang dapat dikongsikan memandangkan beberapa hari itu memang sangat sibuk membuat persiapan majlis aqiqah cucu sulung kami, Hamzah.
2 comments
Macam2 menu ada tu. Lempeng rupanya warna hijau ingatkan kuih ketayap.
BalasPadamOhooo... sekali pandang rupa ketayap ye, sebab warna hijau!
Padam