Masak dan Makan Tengah Hari di Kampung Laman
10:00 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sehari dua kebelakangan ini Bonda nampak kurang ceria. Alhamdulillah, setelah makan ubat dari malam tadi, hari ini Bonda agak cergas. Ketika kita tertidur di ruang tamu petang tadi, kita nampak Bonda duduk di pintu dapur berbual-bual dengan Encik Suami yang sedang membakar sampah.
Kita masakkan Bonda bubur nasi. Mungkin Bonda tambah selera untuk makan. Ketika bubur sedang mendidih, Bonda minta nasi pula. Amie panaskan lauk ayam masak lemak cili padi dan hidangkan sepinggan nasi serta sup urat keting.
Jadi, setelah bubur nasi sudah masak Amie pun tutuplah api dapur. Mungkin Bonda sudah kenyang. Malam nanti bolehlah masukkan bubur nasi dalam peti sejuk dan esok pagi boleh panaskan semula.
Eh, tidak!
Selepas solat maghrib Bonda minta bubur nasi pula.
Selepas solat maghrib Bonda minta bubur nasi pula.
Itulah Bonda kami.
Tadi Bonda mengira usianya sendiri. Kata Bonda: Tahun ini umur emak 87 tahun.
Mudah-mudahan Bonda kami sentiasa sihat dan gembira di samping anak, cucu dan cicit yang menyayanginya.
Tadi Bonda mengira usianya sendiri. Kata Bonda: Tahun ini umur emak 87 tahun.
Mudah-mudahan Bonda kami sentiasa sihat dan gembira di samping anak, cucu dan cicit yang menyayanginya.
Hari ini sudah tiga hari kami berada di rumah Bonda. Amie ambil alih tugas Wak Niah memasak tengah hari. Setiap kali hendak masak, Amie tanya Bonda : Hendak makan lauk apa? Bonda kata: Masak sayur bening saja. Itulah masakan kegemarannya sejak dari dulu lagi. Bonda suka hirup kuah sayur bening setiap kali makan nasi.
Sempat pula Amie dan Encik Suami ke Puncak Alam mencari lauk tambahan. Jadi hari ini meriahlah meja makan dengan lauk dari kedai dan lauk dari dapur sendiri:
Lauk dari Restoran Makan Place:
- Ayam Masak Lemak Cili Padi
- Kerang Goreng Pedas
- Sup Urat Keting
- Ulam Tenggek Burung
- Sambal Kicap
Lauk dari dapur:
- Ikan Tilapia Goreng
- Sayur Labu Air Masak Bening
- Kerabu Mangga
Sayur Labu Air Masak Bening |
Sambal Kicap |
Hidangan Makan Tengah Hari |
Waktu makan tengah hari, Bonda lebih suka hirup kuah sayur bening, makan urat keting yang lembut dan tambahkan sambal kicap atas nasinya. Wak Niah yang suruh Amie masak sayur bening labu air. Amie masak sampai labu air sampai lembut untuk memudahkan Bonda mengunyah.
Kelmarin Amie masak lauk dan ada tiga jenis ikan pula. Wak Niah sudah keluarkan ikan patin dan ikan kembung rebus. Amie dan Encik Suami pula ke Puncak Alam untuk membeli barang dapur. Terpandang ikan lampam jawa, belilah seekor. Sampai rumah, terus goreng garing. Wak Niah pesan masakkan Bonda tauhu telur. Katanya, masak bening saja. Baiklah.
Apabila ditambah masakan dari dapur dengan lauk yang dibeli di Warung Tapau Puncak Alam, makan bersusunlah seperti di bawah ini:
Lauk dari dapur:
- Singgang Ikan Patin dengan Nanas
- Ikan Lampam Jawa Goreng
- Ikan Kembung Rebus Goreng
- Sup Tauhu Telur
Lauk dari Warung Tapau:
- Siput Sedut Masak Lemak
- Kerabu Perut
- Kerabu Taugeh dengan Daun Selom
Siput Sedut Masak Lemak |
Kerabu Perut |
Kerabu Taugeh & Daun Selom |
Sup Tauhu Telur |
Ikan Kembung Rebus Goreng |
Rumah Bonda tidak sunyi dari didatangi anak menantu, cucu dan cicit setiap hari. Bonda sselalu ajak mereka makan di dapur. Jadi, apabila masak banyak lauk bolehlah makan bersama-sama.
Hari pertama kami di rumah Bonda, Amie masak sayur petola dengan labu manis. Bonda suka masak lemak putih. Amie tambahkan isi ikan kembung pelaling tumbuk dalam masakan tadi. Abang Farid pula sudah tentulah akan mencari ayam goreng! Jadi goreng ayam jugalah. Bukan sahaja ada ayam goreng tetapi ada tauhu dan tempe goreng juga.
Sayur Lemak Putih Petola & Labu Manis Ikan Bawal Emas Goreng. |
Beginilah suasana makan keluarga di rumah Bonda.
3 comments
Wah....sudah balik Bukit Hijau ye..Alhamdulillah,pasti bonda gembira anakanda yang jauh sudah depan mata..
BalasPadamMeriahnya menu kampung ...
Rasa nak join sekali🤭
Meriah lauknya tu kak.. pasti Bonda seronok makan ramai-ramai.
BalasPadamMudah-mudahan Bonda dan Wak Niah sentiasa sihat dan ceria.
Seronoknya bonda akak anak- anak dan menantu berkumpul...SA doakan bonda akak terus sihat seperti biasa...Pak Zain pun x berapa sihat...masakan tu semua menaikkan selera kan kak..
BalasPadam