Tak Seindah Seperti Yang Diviralkan
12:52 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sepanjang perjalanan dari Bukit Bendera ke tempat penginapan, Fuad teruja memberitahu kami tentang sebuah tempat makan di atas feri. Katanya restoran dibuka pada pukul 4:30 petang. Jadi sempatlah kami solat jamak dan berehat seketika sebelum pergi ke sana.
Terdapat pelbagai pilihan menu termasuk western food, masakan Thai, masakan Indonesia dan sebagainya. Memandangkan Abang Farid hendak makan nasi, dan semua belum menjamah nasi pada hari tersebut, jadi kami memilih Set Menu (Siam Wok) untuk enam orang. Set Menu Siam Wok ini mengandungi:
- 6 White Rice
- Kengsom Fish
- Fried Crab Egg
- Petai Udang
- Claypot Tofu
- Goreng Daging Halus
- Tomyam Seafood
- Kailan Ikan Masin
- Ketam 2 PCS
Harga tidak termasuk cukai RM338.00. Setelah dikira cukai RM371.00. Makanan yang dihidang tidak termasuk air minuman.
Inilah gambaran hidangan dengan base price RM338.00 |
Abang Farid memesan makanan secara online. Pekerja restoran datang ke meja kami beritahu bahawa Claypot Tofu sudah habis. Boleh diganti samada dengan Kailan Ikan Masin atau Kangkung. Hurrmmm.... sudah terbayang Claypot Tofu terhidang di mata. Tiba-tiba habis pula! Mahu tidak mahu akhirnya kami memilih Kailan Ikan Masin.
Tak perasan pula dalam set menu sudah ada Kailan Ikan Masin!
Lauk pertama : Ketam dua ekor.
Lauk kedua : Tomyam Seafood
Lauk ketiga : 2 piring Kailan Ikan Masin! Satu piring gantikan Claypot Tofu tapi tak jumpa pun ikan masinnya!
Lauk keempat : Fried Grab Egg. Ingatkan isi ketam digoreng dengan telur, rupanya crab stick dipotong-potong.
Lauk kelima : Goreng Daging Halus. Kami sangka dagingnya dihiris nipis atau halus, rupanya kasar dan sangat keras serta liat apabila dikunyah!
Lauk keenam : Kengsom Fish - lain pula rupanya seperti masakan kengsom yang biasa kami jumpa. Ikannya digoreng garing. Agaknya memang beginilah cara masakan mereka. Tapi memang tak sama rupa ikan yang dihidangkan berbanding dalam gambar.
Lauk ketujuh : Udang Petai.
Oleh kerana masing-masing sudah lapar, kami pun terus menyantap nasi putih dengan lauk-pauk yang dihidangkan. Kami rasa lain macam saja udang dalam tomyam. Kalau belah Encik Suami sebut 'udang monok' yang bermaksud udang buruk dan sudah hilang rasa! Kami hirup sajalah kuahnya dan makan isi lain yang ada.
Sewaktu makan ketam, ada sesuatu yang tak kena. Bukan Amie sahaja yang berperasaan begitu, tetapi Abang Farid dan juga Fuad. Rupanya isi ketam tidak masak! Amie suruh Fuad panggil pekerja restoran dan beritahu tentang ketam tersebut. Di sinilah Fuad mula nampak macam naik angin. Mungkin dia rasa kecewa sangat sebab tempat makan yang dijanjikan itu tidak seindah seperti yang diviralkan! Lagi pula set menu dalam gambar memang jauh beza dengan hidangan sebenar.
Memandangkan sudah makan separuh jalan, kami pun terkulat-kulat habiskan jugalah nasi dalam pinggan masing-masing.
Isi ketam yang masih mentah. |
Selepas makan, kami terus tinggalkan tempat tersebut. Fuad bawa kami ke Queensbay Mall untuk shopping. Abang Farid pula beli nasi ayam di situ untuk dibawa pulang. Rasanya Abang Farid sangat kecewa sebab sudah bayar sebanyak RM371.00 untuk set makanan tersebut. Akhirnya nasi ayam juga yang menambat selera!
Nasi Ayam Abang Farid |
Dalam perjalanan pulang Amie bertanya berapa nilai yang boleh diberikan untuk set makanan di atas feri. Inilah jawapannya:
Fuad : 4/10
Encik Suami : 2/10
Abang Farid : 1/10
Rasa tidak berbaloi dengan nilai bayaran yang dikeluarkan oleh Abang Farid. Kesian Fuad juga. Tujuannya hendak menjamu selera kami seistimewa mungkin tetapi sebaliknya pula yang terjadi. Untuk Abang Farid, Amie pesan nanti kalau deposit kereta sewa sebanyak RM300.00 dikembalikan ke akaunnya, ambil sajalah untuk ganti bayaran makanan di atas feri. Memang sewaktu urusan sewa kereta, Amie masukkan duit ke akaunnya. Jadi, tak perlulah berikan kepada kita semula. Wah, senyum panjang Abang Farid.
Fuad pula, janganlah rasa sedih. In syaa Allah pada waktu yang lain rezeki akan menyebelahi kita. Tidak semua yang diviralkan itu indah belaka. Kebanyakannya hanya indah khabar dari rupa!
1 comments
Bahaya jugak kalau lauk tak dimasak sempurna. Ada hari dan ketika, bukan rezeki kita. Pasti Allah akan gantikan dengan yang lebih baik, In syaa Allah.
BalasPadam