Bakti Disemai Bukti Dituai
7:58 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Ada sesiapa yang pernah dengar slogan 'Bakti Disemai Bukti Dituai'? Inilah slogan FELDA, sebuah legasi Tun Razak untuk membantu taraf hidup rakyat Malaysia pada waktu (1956) itu untuk keluar dari aras kemiskinan.
Pinjam dahulu slogan ini untuk tajuk entri kali ini. Catatan ini hanya cerita kenang-kenangan sepanjang 2024 melaksanakan tugas sebagai penoreh di ladang. Ada kalanya hati begitu mendongkol memikul kerja-kerja tambahan di luar waktu terutama pada hari Sabtu dan Ahad atau cuti umum serta cuti peristiwa. Semuanya dilanggar untuk menyempurnakan program bagi mencapai KPI calon SPM.
Setiap panitia wajib melaksanakan sekurang-kurangnya satu program untuk setiap mata pelajaran. Ini bermakna kalau ada 15 mata pelajaran, maka 15 kalilah program diadakan. Oleh kerana setiap program ada kalanya memakan masa sehari atau dua hari, para peserta perlu disediakan makanan dan minuman. Sumbangan PIBG tidak mencukupi untuk menampung, jadinya kami diarahkan supaya memasak makanan untuk menjimatkan kos. Beberapa tahun lepas, kami yang membawa sendiri peralatan memasak. Kemudian kami diminta menyumbang untuk membeli peralatan memasak pula!
Dalam hal ini kami sentiasa berganding bahu dan bekerjasama dari mula hingga akhir, dari membeli bahan sehinggalah proses memasak dan menghidang! Jadinya, kenalah ringankan kaki dan tulang empat kerat untuk hadir membantu. Kalau minggu ini mata pelajaran Sejarah, penoreh-penoreh mata pelajaran lain kenalah datang membantu. Begitulah.
Kami sedang cuci daging ayam. |
Gambar di atas, Amie menjadi ketua tukang masak membantu Panitia Sejarah menyediakan makan tengah hari. Pada hari program tersebut diadakan, ia merupakan hari cuti umum 31 Ogos 2024. Kami sengaja memakai tudung Jalur Gemilang sebagai tunjuk perasaan... ahaks! Untuk satu-satu program makanan yang perlu disediakan termasuklah:
- Minum pagi
- Makan tengah hari
- Minum petang
Rakan-rakan sedang menyediakan minuman. |
Ladang kami tidak mempunyai kemudahan tempat memasak, dan bukanlah ladang yang serba-serbi lengkap. Jadi kami akan berada di tepi kelas bersebelahan pagar gereja untuk menyediakan bahan masakan. Banyak gambar sudah dibuang dari galeri, hanya beberapa keping sahaja yang ada. Jadi tidak banyaklah yang boleh dikongsikan.
Ruangan @ lorong memasak yang agak sempit. Di belakangnya kelas dan pagar di bahagian hadapan memisahkan kawasan gereja. |
Oh, ya!
Masak nasi pun dalam kelas tau!
Bayangkan cuci beras, angkut periuk masuk ke kelas.
Bayangkan cuci beras, angkut periuk masuk ke kelas.
Hirisan lobak merah dan cili merah. |
Pada hari tersebut kami menyediakan nasi dengan lauk ayam masak kari dan sayur kobis campur lobak merah serta sambal kicap.
Setiap peserta mesti dapat dua ketul ayam. Kami masak dua kawah kari ayam.
Daun kari percuma, ambil di belakang ladang.
Setakat ini sahajalah gambar yang ada.
Ketua Panitia Sejarah, Jusna bawa kuih-muih untuk sarapan pagi. Maklumlah kami semua datang awal untuk rewang dan belum sempat isi perut.
Amie pula bawa bubur kacang campur durian. Ketua Bidang Kemanusiaan yang minta tolong Amie masak. Semua bahan dia sediakan. Alhamdulillah. Yang sedikit sama dikongsi, yang banyak sama dirasai.
Bubur Kacang + Durian |
Mudah-mudahan semua calon SPM dapat menjawab soalan peperiksaan setelah bertungkus-lumus membuat ulang kaji dan berpenat lelah menghadiri setiap program yang dijalankan. Dan semoga akan mendapat keputusan cemerlang!
Agaknya ngam tak tajuk entri dengan isinya : Bakti Disemai Bukti Dituai?
3 comments
wahh...gotong-royong memasak...semoga anak2 murid kenang jasa guru2...sesuai dgn tajuknya...guru menabur bakti utk anak bangsa..
BalasPadamRingan sama dijinjing, berat sama dipikul. Slogan tu patut la familiar sebab masa sekolah dulu ada bas Asrama Semai Bakti Felda parking kat sekolah sebab ada anak2 Felda sekolah kat sek saya. Memang tertera slogan tu.
BalasPadamJasa yang tiada bandingannya, selain mendidik anak2 murid. Moga Kak Amie dan semua guru sentiasa dimurahkan rezeki dan diberkati Allah.
BalasPadam