Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini, selepas urut badan untuk kali yang ketiga hujan turun dengan lebatnya! Air naik dari longkang dan memenuhi ruangan laman. Sepatutnya sebaik selesai berurut terus gerak ke Tawau pada pukul 11 pagi tetapi tertunda sehingga ke pukul 12:30 tengah hari. Itu pun hujan masih renyai-renyai sepanjang jalan.
Encik Suami memandu perlahan sahaja, dan pukul 2 petang kami singgah di Senduk Jebat Ikan Bakar Corner di Kunak untuk makan tengah hari. Waktu ini memang semua sudah kelaparan, ditambah pula dengan suhu sejuk dan masih hujan.
Amie memilih seekor ikan merah dan sotong untuk dibakar. Ikan merah bakar dengan sambal pedas dan sotong bakar kunyit sahaja.
Sotong Bakar Kunyit |
Sementara menanti ikan dan sotong siap dibakar, kami mengambil nasi dan lauk-pauk lain. Banyak pilihan lauk yang sudah sedia ada.
Tak tahan hati melihat kerabu mangga muda!
Kerabu Mangga Muda |
Ulaman & Sambal |
Ambil jantung pisang, terung goreng dan petai celur. Tambah sambal tempoyak dan sambal belacan.
Bunga Betik Tumis dengan Udang Kering. |
Ayam Goreng Berempah |
Ikan Merah Bakar Sambal |
Ikan dan sotong bakar belum dihidang, tetapi kami makan dahulu nasi dengan lauk yang dipilih. Tak sanggup rasanya menahan lapar... ahaks! Nasi sudah tinggal 1/3 barulah ikan dan sotong sampai ke meja! Memang sedaplah meratah ikan dan sotong bakar yang masih panas.
Kami meneruskan perjalanan dan daftar hotel di Heritage Hotel Tawau sekitar pukul lima petang. Badan masih terasa sakit akibat diurut. Rasa ingin berehat sahaja di di dalam bilik. Minta maaf sangat pada Abang Farid sebab tak dapat turun makan bersama. Encik Suami ajak Abang Farid makan di Restoran Mee Tarik Cina Muslim yang terletak berhadapan hotel tempat kami menginap.