Jalan-Jalan Cari Ikan di Pasar Malam Bukit Cherakah
7:21 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Petang kelmarin ada pasar malam di Bukit Cherakah. Sebelum Abang Farid pulang semula ke Gombak, kita minta dia hantar ke pasar malam. Hendak jalan-jalan cari makanan, buah-buahan dan ikan.
Seronok sangat jumpa ikan-ikan yang pernah menjadi lauk kegemaran kami sekeluarga waktu kecil dahulu. Sudah tentulah apabila nampak ikan gelama, kita akan beli. Sebenarnya banyak jenis ikan gelama yang pernah menjadi santapan kami sekeluarga. Dulu arwah Ayahanda akan beli berkati-kati kalau pergi ke Sungai Buluh. Maklumlah tidak ada peti sejuk, Bonda akan goreng kesemuanya dan simpan untuk makanan dua atau tiga hari. Antara ikan gelama yang biasa kami makan termasuklah ikan gelama dada kuning, gelama cherua, gelama batu atau kami panggil ikan kepala batu, gelama keling, gelama janggut, gelama bongkok dan sebagainya.
Ikan gelama ini harganya agak murah dan sesuailah untuk kemampuan rakyat marhaen seperti kami. Rasanya tidaklah sehebat ikan merah atau ikan tenggiri tetapi memadailah apabila ditambah garam kasar dan kunyit hidup, apabila digoreng garing sudah cukup menyelerakan apabila dinikmati bersama nasi putih dan sambal totok!
Ikan Gelama - RM10.00 selonggok. |
Ikan Gelama Selewah - RM15.00 sekilogram. |
Ikan Kembung - RM10.00 selonggok. |
Percaya tak, di LD susah sangat hendak jumpa ikan kembung ini. Sedapnya kalau digoreng lembik-lembik, makan dengan nasi panas dan bubuh kicap Cap Kipas Udang! Mahu lima ekor ikan kita habiskan dan menambah dua pinggan nasi!
Ikan Pari - RM32.00 sekilogram. |
Ikan Belanak - RM10.00 selonggok. |
Ikan belanak jenis kecil ini pun tidak ada di LD. Yang ada jenis besar dan isinya agak tawar. Ikan belanak ini kegemaran Bonda. Sedap digoreng saja. Waktu kita sekolah menengah di Jeram, kita selalu singgah pantai Jeram dan ketika air mula pasang dan naik ke muara, kita dengan kawan-kawan kutip ikan belanak kecil dan masukkan dalam kandut (tarik kain sekolah warna biru itu ke atas, dan jadikan macam karung buat isi ikan).
Ikan Kerisi + Ikan Gelama Bongko - RM10.00. |
Kerang - RM15.00 sekilogram. |
Apa nak buat! Harga kerang berpuluh kali ganda berbanding zaman sekolah dahulu. Kalau balik sekolah di Jeram, Bonda selalu pesan beli satu plastik kerang. Harganya 50 sen sahaja. Masih segar, terjelir-jelir lidah kerang dan saiznya besar! Dulu kalau hendak sambut hari raya, berkubanglah di pantai Jeram kaut kerang berguni-guni untuk dibuat rendang. Sekarang saiz sederhana begini harga RM15.00 sekilogram! Hendak buat rendang kerang kena fikir 22 kali!
Siput Sedut - RM10.00 setengah kilogram. |
Ini pun kenangan juga! Dulu tiada harga. Hendak makan boleh kutip sendiri di tepi sungai atau di muara. Makanlah sepuas-puasnya samada dimasak asam pedas atau masak lemak cili padi!
Sotong - RM19.00 sekilogram. |
Sotong ini nampak sangat segar. Matanya bersinar-sinar. Berebut-rebut pelanggan memilihnya. Kita pun ikut seronok melihat dan terpikat untuk membelinya juga.
Udang Rotan @ Udang Bemban - RM15.00 selonggok. |
Tak tahulah berapa gram berat udang rotan @ udang bemban ini. Sedap sangat isi udang ini berbanding udang kertas.
1 comments
Kalau kami ke pasar malam, memang terlebih plastiknya, seronok membeli macam2 ada kan.
BalasPadam