Santai Pagi di Kampung Bukit Hijau
10:39 PGBismillahirrahmanirrahim.
Bonda terlelap di sebelah kita.
Mesti lena tidurnya diulit mimpi pagi pukul 10:15.
Kita baru saja siap kemas dapur dan mop lantai sampai ke ruang tamu. Segarnya aroma pekatan ros yang kita gunakan untuk mengemop. Semerbak satu rumah!
Kita sediakan untuk diri sendiri minuman panas hirisan lemon nan sebiji yang Wak Niah belikan malam tadi. Sambil siapkan kerja menoreh, sambil hirup air lemon.
Air Lemon Panas |
5.5L Mineral Waater |
Kelmarin Abang Farid belikan kita 5.5L air mineral. Dia tahu Mommy dia kuat minum air kosong. Kami tunggu-tunggu juga Hamzah datang ke kampung hari ini. Tidak puas rasanya melayan cucunda itu kelmarin. Nenek dan Buyut di kampung pun ternanti-nanti bila Hamzah akan muncul. Abang Farid demam, mungkin penat ke sana ke mari menyelesaikan kerja-kerjanya. Harap-harap semuanya sihat dan dapat bersama-sama di rumah Bonda hari ini atau esok.
Selalunya Bonda terkejut kalau kita balik kampung. Tapi kali ini tidak pula. Apabila kita tanya kenapa Bonda tidak terkejut? Kata Bonda dan Wak Niah, anak buah sudah maklumkan awal. Aduhai.... tak sportinglah anak buah kita.... ahaks.
Kita tak mahu Bonda dan Wak Niah sibuk memasak kalau kita balik. Bonda memang begitu. Kalau dengar anak-anak hendak balik, sibuklah berkemas itu dan ini lain dari kebiasaan. Sama macam arwah ayahanda. Agaknya gembira sangat kalau anak-anak balik. Semuanya hendak dikemas supaya nampak teratur dan bersih. Teringat arwah Ayahanda, memang rasa sayu sangat! Seolah-olahnya kalau anak-anak pulang ibaratnya menyambut tetamu istimewa!
Mujurlah Wak Niah belum sempat masak-masak sebab mereka tak sangka kami sampai lebih awal. Jangkaan mereka kami sampai waktu petang.
Pisang Lemak Manis |
Atas meja di dapur sudah tersedia buah pisang, ciku dan betik. Semuanya dari kebun sendiri.
Pisang rastali & Betik |
Ciku |
Duku Langsat |
Dalam perjalanan dari Subang ke Bukit Hijau, Abang Farid singgah di Restoran Makan Place, Puncak Alam. Beli tiga bungkus nasi ayam, sup urat keting dan dan sup ekor.
Sup Urat Keting |
Suka sangat Bonda dengan sup urat keting ini. Lembut!
Sup Ekor |
Sup ekornya pula agak keras dan liat!
Buah Ciku |
Sedang kami duduk di dapur minum petang, datang seseorang hendak beli ciku. Bonda kata pokok ciku kali ini lebat sangat buahnya sampai dahannya patah! Kita pun tidak tahulah berapa harga ciku kalau ada orang beli. Yang kita dengar Bonda pesan dengan Wak Niah, jangan ambil duit kalau orang nak beli. Bagi saja berapa banyak orang itu mahu.
Nanti ada masa kita hendak tengok pokok ciku hasil tanaman arwah ayahanda yang katanya berbuah sangat lebat itu.
0 comments