ADSENSE

Ahad, 17 Januari 2021

Petola Masak Lemak Putih

Hari ini hujan dari pagi membawa ke petang. Ramalan cuaca menjangkakan hujan turun di negeri Sabah sehingga esok. Sepanjang hari ini emang tak disapa langsung oleh sang mentari. Duduklah berkurung dalam rumah. Ke sana ke mari, ke dapur ke ruang tamu, jenguk keluar sebentar dan masuk semula ke dalam rumah.

Untuk hidangan tengahari tadi, Amie hidangkan sayur Petola Masak Lemak Putih dengan Ikan Kembung Panggang. Amie sediakan air asam tambah kerisek sebagai pencecah. Raja ayam tidak jadi beli makanan di luar apabila ternampak Amie rendam ayam di sinki dapur. Raja ikan tidak kisah sangat, sebab kalau tak ada ikan boleh makan ayam juga. Begitu juga raja telur. Kalau ada ayam, lupalah telurnya. Raja ayam saja yang susah sikit sebab memilih sangat lauk.

Petola Masak Lemak Putih

Ayam Goreng Salut Tepung

Ikan Kembung Panggang
Ikut pusingan jam: Petola Masak Lemak Putih, Air Asam Kerisek, Sambal Tumis Cili Padi, Ikan Kembung Panggang, hirisan betik dan Ayam Goreng Salut Tepung


Petola Masak Lemak Putih memang laku keras. Barangkali cuaca sejuk, ditambah pula dengan hidangan masakan lemak putih yang semerbak dengan aroma serai dan udang kering. Rasanya pun sudah tentulah sangat sedap sebab penggunaan santan segar yang menimbulkan rasa lemak manis!
Selain petola sebagai watak utama dalam masakan lemak putih ini, Amie tambahkan cendawan telinga tikus, hirisan lobak merah dan juga udang basah. 

Bahan-bahan:
  • 1 biji petola - buang kulit - hiris ikut saiz yang disukai
  • 5 kuntum cendawan telinga tikus - rendam hingga kembang - hiris ikut saiz yang disukai
  • 1/2 batang lobak merah - kupas- potong ikut saiz yang disukai
  • 12 ekor udang kertas - buang kulit dan tarik urat hitam dibelakang
  • 1 cawan suhun yang sudah ditos dari rendaman
  • 3 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 biji cili merah - hiris
  • 2 batang serai - diketuk
  • garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - toskan
Cara memasak:
  1. Tuangkan santan cair ke dalam periuk.
  2. Masukkan bahan tumbuk, serai, cendawan telinga tikus dan lobak merak.
  3. Masak sehingga kuah mendidih.
  4. Kemudian masukkan udang, diikuti dengan petola.
  5. Tuangkan santan pekat. Kacau selalu dan masak sehingga kuah mendidih.
  6. Masukkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  7. Akhir sekali masukkan suhun dan hirisan cili merah.
  8. Kacau sekali dua, dan terus padamkan api dapur.

9 ulasan:

Nor Azimah Ali berkata... Reply To This Comment

Masak lemak putih mcm ni mmg sedaplah amie, lebih2 lagi kalu kita gunakan santan fresh, siap berhirup2 kuahnya. Saya pun suka guna santan fresh amie. Saya beli 2 atau 3 biji kelapa parut, simpan dlm freeze, nak guna kita blend je.
Dah nmpk meriah dah hidangan amie,:)

Warisan Petani berkata... Reply To This Comment

Nampak sedap2 belaka.
Kat JDT ni dah mula panas terik.
Banjir pun dah reda.

namakucella berkata... Reply To This Comment

Nampak sedap sangat sayur lemak petola tu. Mewah sungguh bahannnya.. Terasa krup krup pula kat cendawan tu kat mukut.. Hihihi

Azhafizah MN berkata... Reply To This Comment

Sedapya lauk petola lemak putih. campur udang, campur suhun, campur cendawan. memang mabeles kak amie. bagus habis masing masing suka makan sayur.

Raja ayam wajib ada ayam ye kak amie. hihi..selera beragam. layankan je :)

Amie berkata... Reply To This Comment

@Nor Azimah Ali Aroma santan tu terasa sangat. Waktu kecik dulu, kalau mak masak lemak putih pucuk ubi campur ikan bilis memang habis kami hirup kuahnya.

Amie berkata... Reply To This Comment

@Warisan Petani Alhamdulillah. Matahari dah muncul semula. Di Sabah dijangka sehingga hari ini hujannya.

Amie berkata... Reply To This Comment

@namakucella Sedapkan cendawan telinga tikus ni.

Amie berkata... Reply To This Comment

@Azhafizah MN Memang lain-lain selera anak-anak ni. Selagi boleh layan, masak sajalah. Nanti kalau dah tak larat nak masak, dadarkan telur jew hihihiii.

Nina Mads berkata... Reply To This Comment

sedap lauk petola.. lama tak makan.

lauk2 ni semua menyihatkan.