ADSENSE

Ahad, 17 Januari 2021

Sarapan Cucur Udang & Lempeng Ubi Kayu Sambal Cili Padi

Hujan terus mencurah-curah. Hingga saat ini belum nampak sinar matahari pagi. Nampaknya pakaian yang dijemur akan ambil masa untuk kering. Sambil mendengar rentak titisan air hujan menimpa bumbung dapur, marilah kita alas perut untuk dapatkan tenaga agar aktiviti seterusnya dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Atas permintaan Abang Farid, Amie buatkan cucur udang campur jagung kegemarannya dan kesukaan semua adiknya. Kami dapat banyak rezeki pemberian ubi kayu dari jiran dan juga rakan sekerja Encik Suami. Jadi Amie pun olah jadikan lempeng ubi kayu campur dengan kelapa parut. Kali ini agak istimewa kerana Amie hidangkan dengan sambal cili padi dengan ikan bilis. Lama sangat tak makan sambal tumis cili padi! Sambal ini sambal nostalgia, sebab waktu kecil dahulu, inilah salah satu sambal kegemaran keluarga Amie di kampung.

Cucur Udang, Lempeng Ubi Kayu, Sambal Tumis Cili Padi & Kopi Padang.

 
Cucur Udang dengan Jagung

Cucur udang yang Amie olah ini memang sentiasa menjadi rebutan anak-anak. Abang Farid sudah cukup faham bahan yang digunakan dalam adunan. Untuk satu-satu adunan, biasanya Amie akan gunakan 2 cawan isi jagung, 2 cawan isi udang, 1 labu bawang besar cincang dan sebiji telur serta sedikit serbuk perencah cukup rasa. Tepung gandum yang Amie gunakan hanyalah satu cawan, dan airnya setakat cukup untuk salut bahan dengan tepung sahaja. Hasilnya, cucur udang sangat lembut untuk dinikmati.
Pantang sekali kalau Amie tambahkan bahan lain seperti daun kucai atau daun bawang, memang bisinglah anak-anak sewaktu makan. Syukurlah bawang besar cincang tak nampak sangat setelah cucur digoreng. Kalau nampak bawang, memang dari Abang Farid sehingga ke Firdaus, masing-masing akan buang bawang tersebut.
Cucur ini sedap dimakan begitu saja. Tak ada sos pencecah pun masih sedap!

Ini pula sambal cili padi ikan bilis. Sedap makan dengan lempeng ubi kayu. Amie kongsikan resipinya di sini supaya senang buat rujukan akan datang. Gunakan cili padi kampung yang berwarna hijau. Cili padi kisar sekali dengan batangnya. Entah apa rasionalnya Amie pun tak pasti. Waktu kecil dahulu, dengarnya kalau tumbuk cili padi kena sekali dengan batangnya, nanti tak sakit perut kalau makan sambalnya. 
Suka betul Abang Farid makan sambal ini, tapi dia cecah dengan cucur udang. 

Bahan-bahan:
  • 3/4 cawan cili padi kampung warna hijau  bersama tangkainya
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 3/4 cawan ikan bilis
  • 1/2 sudu kecil belacan
  • 1/2 sudu kecil pati asam jawa
  • gula / garam / perasa pilihan secukupnya
  • 3 sudu besar minyak
Cara memasak:
  1. Kisar cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan hingga hancur.
  2. Masukkan ikan bilis dan tekan butang pengisar sesaat sebanyak dua kali. Ikan bilis tidak perlu hancur.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
  4. Masukkan pati asam jawa dan gula secukupnya.
  5. Tumis sehingga pecah minyak, dan kemudian masukkan garam / perasa pilihan.
  6. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.
Lempeng Ubi Kayu Kelapa & Sambal Tumis Cili Padi


Ketika merenih kopi Padang, aromanya sangat menggoda dibawa angin sejuk ke seluruh ruang dapur. Terima kasih Pak Hermann Hollande. Kiriman serbuk kopi dari Padang, Sumatera Barat masih lagi berbaki. Asyik menikmati lempeng ubi kayu cecah sambal tumis cili padi, tak tersedar 2 cawan kopi diteguk!
Anak-anak makan cucur udang. Amie bersama Encik Suami makan lempeng ubi kayu!

8 ulasan:

Sunah Sakura berkata... Reply To This Comment

sedapnya amie cucur udang tu..rasa nak pergi beli udang pulak balik tengahari ni..

aduhhh, lempeng cicah sambal ijo tu pun buat kecur air liur

SalbiahM berkata... Reply To This Comment

Sedapnya kak Amie. Terliur baca. Bayangkan pulak makan waktu hujan. Lempeng ubi kayu tak pernah buat. Selalu lempeng kelapa je. Thanks share resepi sambal tu. Nak try tapi tanpa belacan la sebab resdung saya teruk

Amie berkata... Reply To This Comment

@Sunah Sakura Sesekali layan sarapan orang dulu-dulu memang sedap. Tambah lagi hujan-hujan begini.

Amie berkata... Reply To This Comment

@SalbiahM Boleh skip belacan tu dik, sebab ikan bilis pun dah ada rasanya yang lazat!

Seri Kandi Di Tanah Jauhar berkata... Reply To This Comment

Salam, Amie..

Kita pernah baca, mengisar atau menumbuk cili api bersama tangkainya, boleh mengurangkan kepedasan cili tu, secara logiknya, bila kurang pedas, taklah sakit perut, kan. Ironinya, bila kita tambah tangkai bermakna kita menambah bahan dalam masakan kita, jadi, kuranglah sukatan cili api kita, aaahh.. apa sy komen berbelit2 ni, hihi

Puan Hazel berkata... Reply To This Comment

Nampak gaya menu petang kejap lagi cucur jagunglah juga. Inspirasi dr dapur kak amie :D

Azhafizah MN berkata... Reply To This Comment

Sedapnya cucur udang dna lempeng cicah sambal cili padi. Bertambah makan dan licin pinggan :)

namakucella berkata... Reply To This Comment

Lempeng ubiii...
Setiap.kali cikgu post lempeng ubi.setiap.kali tu nak buat.. Tapi tak buat jugak.. Hihihi