Sarapan di Pagi Minggu : Mee Hoon Campur Suhun Goreng & Cucur Manis

by - 9:33 PG

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Terima kasih di atas kunjungan anda. Terima kasih juga buat followers baru yang turut memeriahkan dapur kecil ini. Pagi ini cuaca cerah. Tidak hujan seperti hari-hari sebelumnya. Harap pakaian di jemuran akan kering sebelum hujan turun, sebab walaupun matahari bersinar tetapi ada tanda-tanda hujan akan turun juga. Wah! Bukan main bijak lagi peramal kaji cuaca yang tak bertauliah ni.... ahaks!

Amie sediakan dua jenis menu untuk sarapan pagi seisi keluarga. Amie goreng mee hoon campur suhun. Untuk Abang Farid, Amie tambahkan Cucur Manis sebab bujang satu ini suka sangat makan tepung! Kalau boleh hari-hari nak makan cucur dan lempeng. Kadang-kadang sarapan pagi sudah buat cucur, menjelang petang Abang Farid akan tanya: Mommy tak buat cucurkah?

Cucur Manis, limau Sunkist & Mee Hoon Campur Suhun Goreng.

Mee Hoon Campur Suhun Goreng

Amie kongsikan resipi Mee Hoon Campur Suhun Goreng Goreng. Kalau gunakan suhun saja pun boleh, tapi anak-anak lebih suka campur kedua-duanya sekali. 

Bahan-bahan:
  • 1 bungkus mee hoon - rendam dengan air biasa hingga kembang - toskan
  • 100 gram suhun - rendam hingga lembut - toskan
  • 1 cawan isi udang 
  • 1 cawan ayam cincang
  • 1 cawan hirisan halus lobak merah
  • 1 batang sayur sawi - potong - pisahkan batang & daun
  • 2 kuntum cendawan shiitake saiz besar - rendam hingga kembang - hiris nipis
  • 5 kuntum cendawan telinga tikus - rendam hingga kembang - hiris ikut saiz yang disukai
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 3 ulas bawang putih - ketuk
  • garam / perasa pilihan secukupnya
  • 4 sudu besar minyak masak
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan goreng bawang putih hingga terbit aroma.
  2. Kemudian masukkan ayam bersama cendawan shiitake. Tumis hingga ayam masak.
  3. Seterusnya masukkan cendawan telinga tikus, udang, batang sawi dan lobak merah. Gaul rata dan masak seketika.
  4. Tuangkan sos tiram dan kicap manis. Kacau beberapa kali dan kemudian masukkan daun sawi.
  5. Masukkan mee hoon dan suhun. 
  6. Taburkan serbuk lada hitam dan garam / perasa pilihan. Gaul rata.
  7. Akhir sekali renjiskan minyak bijan. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Cucur Manis

Cucur Manis ini Amie adun bersama gula, susu pekat manis, secubit garam dan mauripan. Penyediaannya sangat ringkas dan mudah. Rasanya pun sedap!  Teringat arwah Ayahanda suka sarapan pagi dengan cucur begini.

You May Also Like

12 ulasan

  1. Selamat berhujung minggu kak amie. Best gak tu bihun dan suhun bergabung. Lebih kurang je rupa dan rasa dia cuma suhun clear sikit. Comel kejadian cucur tu. Bab cucur bulat bulat macam tu memang saya failed nak buat. huhu

    BalasPadam
  2. alternatif utk udang dan ayam, boleh ke msk kan daging?

    BalasPadam
  3. lamanya tak makan cucur manis tu.. waaa cravinggg

    BalasPadam
  4. @Azhafizah MN Hahahaa.. cucur Kak Amie tu pun ada yang benjola ada yang lonjong juga.

    BalasPadam
  5. @nohas Kan. Bahannya pun tak banyak. Kejap jew anak-anak habiskan.

    BalasPadam
  6. @dear anies Boleh jew nak masuk daging, ikut citarasa mana yang digemari.

    BalasPadam
  7. @Atie Zieya Sedap makan cucur manis ni...lagilah time sejukhujan siang malam ni.

    BalasPadam
  8. Mihun tu mewah sungguh.. Puas makan kalau bahan banyak macam tu. Cucur tu pun sedap tu. Kami panggil coq kembong

    BalasPadam
  9. @namakucella Sedap kan. Abang Farid makan hampir separuh, Fuad dan Fairuz berapa ketul jew dapat sebab bangun lambat hahahahaaa.

    BalasPadam
  10. Semoga cuaca di Sabah baik-baik aje ye

    BalasPadam
  11. Pertama kali dengar nama cendawan telinga tikus. Terus google. Rupanya cendawan hitam..

    BalasPadam