Belacan Cocos

by - 5:05 PTG

Hari ini Amie buat Belacan Cocos. Sekarang Firdaus sudah pandai makan Belacan Cocos! Sewaktu makan bersama-sama petang tadi, 7 biji belacan Firdaus makan bersama nasi! Memang betul-betul anak Cocos! He heheee... maklumlah Belacan Cocos ini memang terkenal dalam hidangan orang Melayu Cocos.

Abang Farid pula, memang Amie tak masakkan ayam untuknya sebab Amie tahu Abang Farid akan makan ikan tudung periuk masak taucu, dan memang menambah-nambah nasi dan ikan pula dia hari ini! Amie sengaja bubuh lebih kuah taucu sebab tahu anak-anak akan mencari kuahnya. 

Encik Suami kata kalau dah ada Belacan Cocos, gandingannya sudah tentulah ada sayur bening! Bukan sahaja sayur bening, Amie sediakan juga sambal tempoyak, hirisan timun dan juga terung goreng.

Belacan Cocos

Sayur bening sawi & lobak.

Sambal tempoyak belacan, terung goreng & timun.

Ikan tudung periuk @ telinga gajah masak taucu.


Limau Sunkist.

Amie kongsikan resipi Belacan Cocos di bawah ini. Oleh sebab Firdaus suka makan, jadi Amie kurangkan jumlah cili padi. Bahan perasa seperti garam / perasa pilihan bubuh sikit saja sebab belacan sudah ada rasa masin, dan ikan sardin yang dicampur pun ada perasanya juga. Amie gunakan ikan sardin. Gambar-gambar di bawah ini Amie ambil dari entri lama, dan Amie gunakan ikan mackerel. Bezanya ikan sardin dengan ikan mackerel ialah ikan sardin lebih lembut.


Bahan-bahan:
1 tin kecil ikan mackerel / sardin - asingkan isi dengan sos
1 biji telur
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi - boleh tambah atau kurangkan - ikut kepedasan yang diingini
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
20 gram belacan

Amie copy paste cerita Belacan Cocos dari entri lepas : Belacan Cocos
Bahannya pun ringkas dan mudah diperoleh. Biasanya MIL gunakan ikan saiz dalam tin yang kecil. Bilangan cili padi, terpulang atas citarasa masing-masing. Kalau nak pedas bubuhlah lebih. Kalau tak tahan pedas, bubuhlah dua tiga biji sahaja. Bawang merah dan bawang putih pun, ikut suka nak berapa banyak. Telur gunakan sebiji saja. Kalau nak gunakan perasa, terpulanglah nak bubuh perasa apa. Amie selalunya tulis 'perasa pilihan' sebab masing-masing ada 'perasa' kegemaran sendiri. Nak tambah garam atau gula, atau perencah cukup rasa, atau pak aji, itu terpulanglah. Dan satu lagi, saiz belacan yang Amie gunakan, seketul dari dalam kotak. seberat 20 gram. Belacan inilah yang MIL gunakan.




Cara:

1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan cili padi. Terpulang nak tumbuk lumat atau separuh lumat. Kemudian masukkan belacan dan tumbuk sebati.

2.  Ambil isi ikan sardin sahaja, tinggalkan sosnya. Masukkan ke dalam lesung.

3. Tumbuk sedikit ikan mackerel / sardin agar sebati dengan bahan tumbuk yang lain. Pada masa ini bolehlah masukkan bahan perasa.

4. Pecahkan sebiji telur ke dalam lesung.

5. Gaul sebati bersama bahan tumbuk di dalam lesung.
6. Panaskan minyak, dan goreng seperti menggoreng jemput-jemput. Terpulang untuk membentuknya, nak lonjong, nak bulat atau leper.

Di bawah ini gambar Belacan Cocos dalam entri lepas. Amie bentuk lonjong-lonjong, dan teksturnya agak kasar  sedikit sebab tak tumbuk bahan seperti cili padi dan bawang sehingga lumat.

Di bawah ini pula gambar Belacan Cocos yang Amie goreng petang tadi untuk hidangan makan nasi. Amie tumbuk halus semua bahan, dan hasilnya bentuk belacan lebih halus sedikit berbanding gambar di atas. Gambar atas Amie gunakan ikan mackerel dalam tin dan gambar bawah Amie gunakan ikan sardin dalam tin.

Selamat mencuba!

You May Also Like

6 ulasan

  1. kalau saya cuba mungkin tanpa belacan tapi tu dah dikira derhaka resepi. Untungnya orang yang tak ada resdung. Haha. Nampak sedap sangat

    BalasPadam
  2. Oh, itu rupanya belacan cocos.. mcm inovasi dpd belacan yg ori je kak

    BalasPadam
  3. sadin dan ubi makan dgn kicap manis .. sedapnyaaaaa

    BalasPadam
  4. Banyak menu rare hari ni yang saya tak pernah dengar. Belacan cocos tu ingatkan nama belacan rupanya hidangan masakan. Menarik juga cara pembuatannya tu.

    BalasPadam
  5. teruja nak try....esok kalau rajin, bahan2 ada jer tu.

    BalasPadam
  6. First time tengok dan jumpa..bahan pun mudah jer..boleh cuba nanti

    BalasPadam