ADSENSE

Sabtu, 16 Januari 2021

Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah

Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah. Patik pacal yang hina merafak sembah memohon izin berkongsi resipi Ayam Masak Cencalok hasil air tangan Tuanku. Semoga rakyat jelata dapat menikmati keenakan masakan resipi dari istana ini.

Agak lama juga Amie simpan resipi Ayam Masak Cencalok hasil beberapa kali menonton video yang dimuatnaik oleh Datuk Rizalman dari dapur istana. Sebenarnya tidaklah diberikan resipi lengkap, tapi pandai-pandailah kita mengolahnya berdasarkan bahan-bahan yang digunakan. Sebelum ini Amie pernah beberapa kali masak ayam cencalok tetapi resipi baginda Raja Permaisur Agung Tuanku Azizah berbeza dari masakan ayam cencalok yang pernah Amie olah.

Sekali pandang seperti ayam masak kicap disebabkan warna dan penggunaan kicap, tetapi rasa masakan tidak seperti itu! Tambah menarik sudah tentulah langkah demi langkah ketika memasak. Tuanku Azizah tidak tumis bahan perencah terlebih dahulu, sebaliknya memasukkannya setelah ayam separuh masak. Memang meriah sungguh dunia masakan! Banyak cara yang berbeza ketika proses memasak tetapi hasilnya tetap lazat!

Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah


Anak-anak tidak ada yang tahu ada cencalok dalam hidangan ayam! Semuanya makan dengan penuh selera. Amie tanya Fairuz: Sedap tak dik ayam tu? Jawabnya: Sedap! Abang Farid dan Fuad langsung tidak bertanya, sebaliknya menuang kuah dari mangkuk ke dalam pinggan nasi. Agaknya mereka semua menyangka Amie masak ayam kicap! Seperti dijangkakan, Ayam Masak Cencalok habis licin disantap seisi keluarga sebagai lauk makan tengahari.
Selain Ayam Masak Cencalok, Amie masak sup ayam campur dengan labu air, goreng ikan lumahan, dadar telur, dan buat sambal belacan mangga. Tidak ketinggalan, hidangkan hirisan buah nanas dan betik.
Lauk pauk hari ini memenuhi citarasa anak-anak. Abang Farid dapat makan ayam, Fuad dapat makan ikan goreng dan Firdaus dapat menjamah telur dadar. Ada tiga raja rupanya di rumah kami :
  • raja ayam
  • raja ikan
  • raja telur
Hanya Fairuz sahaja yang tidak memilih makanan. Apa yang dihidangkan itulah yang dimakan, tidak lagi bertanya kenapa tidak masak itu dan kenapa tidak masak ini. 

Sup Ayam & Labu Air



Ikan Lumahan Goreng

Telur Dadar


Sambal Belacan Mangga

Hirisan Nanas & Betik


Ayam Masak Cencalok sudah habis, jadi untuk makan malam masih ada lagi ikan goreng dan telur dadar serta sambal belacan mangga. Sup ayam dengan labu air pun masih berbaki. Jadi hanya perlu panaskan sahaja.

Amie akan kongsikan resipi Ayam Masak Cencalok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah mengikut timbang sukat sendiri. Tidak perlu bubuh garam dalam masakan ini kerana sudah ada rasa masin cencalok. Tuanku Permaisuri pesan, gunakan kicap manis sahaja. Jadi kombinasi rasa cencalok dengan kicap manis dengan serai dan halia cukup membangkitkan rasa dan aromanya yang tersendiri. Satu lagi, Tuanku Permaisuri gunakan minyak zaitun. Tak ada minyak zaitun, gunakan minyak masak biasa pun boleh. Baginda gunakan cili padi saiz besar, rasanya cili padi minyak. Cili padi dalam simpanan Amie saiz kecil, jadi Amie gantikan dengan cili padi putih yang Amie beli di Kundasang. Cili padi itu Amie biarkan sahaja, tak potong. Kalau inginkan rasa pedas, bolehlah potong.
Cubalah masakan ini.
Dijamin sedap!
Sewaktu goreng ayam perapan cencalok, aromanya sungguh menggoda selera! Ditambah pula sebelumnya serai ketuk sudah masuk kuali terlebih dahulu.


Bahan-bahan:
  • 1 kg ayam - potong ikut saiz yang digemari
  • 5 sudu besar cencalok
  • 5 batang serai - diketuk
  • 3 ulas bawang putih - dihiris
  • 5 biji bawang merah - dihiris
  • 3 cm halia - hiris halus memanjang
  • 15 biji cili padi
  • 1 labu bawang besar Holland - belah 6
  • 5 sudu besar kicap manis
  • 10 biji tomato ceri
  • hirisan daun sup
  • 2 cawan air 
  • 1/2 cawan minyak zaitun
Cara memasak:
  1. Perap ayam bersama cencalok selama 20 minit.
  2. Panaskan minyak dan masukkan serai. Goreng hingga terbit aroma.
  3. Kemudian masukkan ayam. Air perapan ayam jangan dibuang.
  4. Biarkan ayam hingga separuh masak sambil kacau sekali-sekala.
  5. Masukkan halia, diikuti dengan hirisan bawang putih dan bawang merah serta cili padi. Kacau rata.
  6. Seterusnya masukkan kicap manis, lebihan air perapan ayam, dan juga air. Jika suka masakan berkuah bolehlah tuangkan lebih banyak air.
  7. Biarkan ayam masak. Setelah ayam empuk, dan kuah hampir pekat, masukkan pula tomato ceri dan bawang besar Holland. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
  8. Hidangkan dengan hiasan daun sup.

Daulat Tuanku. Air tangan Tuanku memang terbaik! Terima kasih patik ucapkan. Semoga rakyat jelata dapat mencuba resipi istimewa dari istana! Terima kasih juga buat Datuk Rizalman kerana sudi berkongsi video masakan ini.

12 ulasan:

Azhafizah MN berkata... Reply To This Comment

Pernah tengok Raja Permaisuri Agung Tuanku Azizah masak ni. Nampak macam sedap. Maksudnya rasa dia takdelah rasa cencaluk gitu kan. sorang pun tak bertanya, macam rasa masak kicap. Ada 3 raja tu. Selera berbeza beza :)

Bolehlah cuba resepi kak amie share ni.Tq share. Kena mencari cencaluk dulu. Dok fikir mana nak beli cencaluk ni. hihi

namakucella berkata... Reply To This Comment

Nampak sedap. Kalau campur bawang losun lagi mantop ni.. Hihihi

namakucella berkata... Reply To This Comment

Semoga berjaya...

Nur berkata... Reply To This Comment

Percaya tak, saya tak pernah makan cencalok. Huhu.. jadi, tak dapat nak imagine rasa lauk ni. Hehe, ada 3 raja dalam rumah. Saya kalau ada sambal belacan mangga, memang selera habis la, makan nasi. Saya pernah tengok Tuanku Permaisuri masak nasi goreng butter dia tu. Peh, selera tengok. Lagi satu, nasi goreng minced beef. Saya follow juga IG Tuanku Permaisuri dulu, sebab dia pun ada buat kraf seperti jahitan dan mengait juga. Tapi sekarang saya dah tak aktif di sana, jadi lama tak tengok. Thanks Amie, share resepi ayam masak cencalok. :)

Atie Zieya berkata... Reply To This Comment

sup ayam mmg favorite ! kalau mama masak, sure makan dlm mangkok

Amie berkata... Reply To This Comment

@Azhafizah MN Takde rasa cencalok dan tak semasin cencalok. Bau cencaloh pun hilang. Agaknya sebab tumis serai dulu baru masuk ayam perap cencalok kot. So serai u serap aroma cencalok.

Amie berkata... Reply To This Comment

@namakucella Kalau ada bawang losun boleh juga tambah, cantik wana warni jadinya.

Amie berkata... Reply To This Comment

@iamaSlowRunner Cencalok tu rasa dia masin, tapi bila masak begini siap bubuh kicap manis, hilang pula rasa masin dan aromanya. Sedaplah pulak!
Alhamdulillah kita dapat Raja Permaisuri mesra rakyat. Dapatlah merasa resipi dari istana. Cara masak baginda pun sempoi jew.

Amie berkata... Reply To This Comment

@Atie Zieya Hirup kuah dari mangkuk...sluurrpppp!

Sunah Sakura berkata... Reply To This Comment

mesti sedap rasanya tu kan amie..sebab licin lauk ayamnya, walau tak tahu dalam tu ada cencalok

SalbiahM berkata... Reply To This Comment

Resepi dari dapur istana ni. Bagusnya permaisuri agong kita pandai masak walaupun sibuk dengan urusan seharian. Role model yang bagus untuk ramai wanita.

Azhafizah MN berkata... Reply To This Comment

@Amie
Ohh macam tu ye..menarik untuk dicuba :)