Nasi Goreng Ikan Bilis

by - 9:10 PG

Selamat pagi semua. Bagaimana cuaca di tempat anda? Di LD, matahari muncul agak lewat tetapi suasana kembali suram disebabkan cuaca mendung. Semoga hari ini segala urusan dalam diselesaikan dengan baik. In shaa Allah. Tentang perkembangan Covid-19, rasa agak takut untuk mengikutinya. Jumlah kes positif yang naik turun, dan tiba-tiba mencanak naik sungguh mengerikan! Ditambah pula dengan keadaan banjir, yang sekarang ini telah beralih ke negeri Sabah turut membimbangkan hati. Sesungguhnya Allah sedang menguji kita melalui musibah yang silih berganti. Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri.

Sudah ambil sarapan pagi? Jangan lupa alas perut terlebih dahulu sebelum beraktiviti. Amie goreng nasi lebihan semalam. Kali ini Amie buat Nasi Goreng Ikan Bilis. Sambil menggoreng nasi, sambil merenih serbuk teh Ceylon 888, bubuh beberapa ketul gula batu dan sehelai daun pandan. Di tengah-tengah cuaca sejuk begini memang nikmat betul dapat hirup teh panas manis-manis manja beraroma pandan!

Nasi Goreng Ikan Bilis

Nasi Goreng Ikan Bilis & The Gang

Teh Ceylon 888 aroma pandan.



Nasi Goreng Ikan Bilis ini resipinya biasa-biasa saja. Bahan-bahan yang digunakan ikut selera anak-anak. Amie suka bubuh kacang panjang, tapi mengenangkan betapa seksanya melihat anak-anak akan kuis-kuis kacang panjang sewaktu akan dan letak tepi pinggan, jadi Amie hanya bubuh jagung dan lobak merah sahaja.

Bahan-bahan:
  • 3 cawan nasi putih
  • 1 cawan isi jagung
  • 1/2 batang lobak merah - hiris halus
  • 1 labu bawang besar - cincang kasar
  • serbuk pati ikan bilis Maggi secukupnya
  • 1/2 cawan ikan bilis goreng
  • 3 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 biji cili merah - buang biji
  • 1/2 sudu kecil belacan
  • 1/2 cawan ikan bilis 
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Goreng bawang besar cincang hingga layu kekuningan. 
  2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga terbit aroma.
  3. Tuangkan isi jagung bersama hirisan lobak merah. Kacau-kacau.
  4. Masukkan nasi putih. 
  5. Taburkan serbuk pati ikan bilis Maggi secukupnya.
  6. Gaul rata dan padamkan api dapur.
  7. Hidangkan bersama taburan ikan bilis goreng.

You May Also Like

7 ulasan

  1. Sedapnya nasi grg.. ikan bilis yg ranggup krup krap bila kunyah

    BalasPadam
  2. Tengok pun dah nampak sedap nasi goreng Amie.Sama lah anak lelaki akak ada sayur dikuis tepi.Kalau akak makan sorang memang taruk banyak2 sayur.

    BalasPadam
  3. Menyelerakan betul hidangan nasi goreng and the gang. saya breakfast roti je pagi ni. setakat ni cuaca masih cerah.

    BalasPadam
  4. lamanya tak makan popiaa..sedapnya

    BalasPadam