Jalan-Jalan Cari Makan di Baščaršija (Sarajevo Old Town) Bosnia and Herzegovina

4:37 PTG

Setiap pagi sewaktu menuruni anak-anak tangga keluar dari M'Ali Rooms, Prote Bakovica 2, Sarajevo City Center, Sarajevo, Bosnia Herzegovina, pasti terbau aroma masakan tempatan yang semerbak menerpa hidung! Maklumlah di sekitar tempat penginapan kami banyak terdapat restoran. Ditambah pula dengan suasana pagi yang dingin, suhu sekitar 17' - 19'C, semakin menusuk pula keenakan bau masakan terutamanya Bosanski Lonac atau stew daging Bosnia.

Jom imbas kembali cerita lama di : BOSNIA AND HERZEGOVINA 2016

Entri berkaitan:


Biasanya kami turun meninggalkan bilik penginapan sekitar pukul 8 pagi. 'Kami' itu tidak ramai. Hanya berdua sahaja. Amie dengan Lucinda. Perkara pertama yang kami fikirkan sudah tentulah mencari kedai makan untuk alas perut! Memang tidak menjadi masalah untuk mendapatkan makanan halal di bandar lama ini, walaupun mungkin beberapa perkara yang kami rasa sangat melucukan, umpamanya keliru dengan menu untuk sarapan pagi dan ketika memesan minuman panas, pelayan restoran mengatakan mereka tidak menyediakan minuman panas, sebaliknya mencadangkan jus buah-buahan untuk kami. Jus buah tu pula memang yang betul-betul pekat macam puri....hihihiii...!

Di hadapan pintu bangunan penginapan M'Ali Rooms.


Sebaik sahaja keluar dari pintu besar bangunan tempat penginapan, kami terus menapak ke arah kanan. Terus terpandang Restaurant Pod Lipom, di Prote Bakovica 6.


Walaupun suhu agak sejuk, tapi sinaran matahari pagi terasa tambah menyamankan! Nampak tak papan tanda warna merah hijau di belakang sana tu? Itulah tempat penginapan kami sepanjang berada di Sarajevo.
Dan perasan tak di belakang Amie itu juga ada dua keping gambar pemimpin luar negara yang pernah datang ke restoran ini?
Ya... itu dia Bill Clinton, bekas Presiden Amerika Syarikat.


Nampaknya dua kali Bill Clinton datang ke sini. Tahun 2003 dan 2015. Tak ada rezeki nak jumpa... ahaks!  Tahun 2016 kami pula sampai ke sini. Katanya, beliau paling suka makan Begova Čorba (Bey's Stew) sejenis hidangan Bosnian soup yang berasaskan daging dan sayur-sayuran. Beliau juga menggemari hidangan klepe serta pache di restoran ini.


Inilah bahagian luar Restoran Pod Lipom yang dikunjungi Bill Clinton. Nampak sedikit kelam dengan satu jalur sinar matahari pagi. Ketika ini restoran di sekitar Baščaršija (Sarajevo Old Town) sedang bersiap-siap untuk memulakan perniagaan.


Sambil jalan-jalan cari sarapan pagi, ambil kesempatan rakam suasana pagi di sini. Restoran ini belum bersedia untuk beroperasi. Kerusi dan meja makan belum 'berpakaian' lengkap untuk menyambut pelanggan.


Kita jalan-jalan dulu melihat restoran lain. Di sekitar bandar lama ini terdapat lebih 4,000 pintu kedai pelbagai jenis.


Setiap kedai makan atau restoran kelihatan menarik pandangan mata dengan susunan dan hiasan yang cantik! Apabila singgah dan duduk menikmati hidangan yang ditawarkan, kita akan berasa seolah-olah sedang menikmati hidangan di rumah sendiri.


Cukuplah setakat beberapa keping gambar kedai makan  Amie paparkan di sini. Bubuh gambar banyak-banyak nanti tak tercapai objektif untuk jalan-jalan cari makan pulak...ahaks!



Antara kedai makan yang kami singgah ialah Kolobara Han, sebuah restoran yang terletak di Saraci.
Amie ingin cuba segelas juice of elder, campuran bunga elder dengan lemon. Minuman yang dihidangkan sejuk, tetapi tidak dicampur ais.


Lucinda memesan salad tuna, yang katanya sungguh sedap! Memang hidangan ini nampak menyihatkan dengan hirisan tomato yang segar, buah zaitun, hirisan timun, ikan tuna, hirisan lemon dan juga taburan herba sebagai penambah aroma untuk membangkitkan selera. Dalam bahasa tempatan menu ini dikenali sebagai salata sa tunjevinom.


Amie pesan ćevapčiće, sejenis masakan tradisi Bosnia. Alhamdulillah, dengan perkataan dan bahasa isyarat pelayan restoran dapat menjelaskan kepada kami bahawa terdapat dua jenis saiz ćevapčiće. Saiz besar mengandungi 10 sosej daging berharga 10KM manakala saiz kecil mengandungi 5 sosej daging berharga 5KM. Amie pilih saiz kecil. Tidak semua peniaga di sini boleh berbahasa Inggeris.


Pada suatu petang, kami jalan-jalan lagi keliling Baščaršija. Sempat ambil gambar kedai kopi di atas. Bukan kedai untuk minum kopi, tapi kedai jual kopi.

Sama tak rupa biji kopi Bosnia dengan biji kopi di tempat kita?


Suhu dingin membuatkan perut mula berasa lapar. Jadi kami singgah di sebuah kedai berhadapan dengan Sebilj Fountain. Ketika itu asyik membayangkan ada kentang goreng di situ...... ahaks! Rupanya tempat tersebut hanya menawarkan minuman sahaja. Oleh kerana sudah duduk di kerusi, rasa segan pula hendak bangun meninggalkan tempat tersebut. Kami pun pesan sajalah minuman kopi. Maka datanglah dua set bancuhan kopi panas di dalam bekas seperti tembaga, segelas air kosong dan sebuah mangkuk kecil berisi dua keping kiub gula dan sekeping kiub rahat lokum. Rahat lokum ialah sejenis manisan berasal dari Turki.


Sebenarnya kami tercengang-cengang, hanya merenung dulang berisi Bosanska Kahva (kopi Bosnia) di hadapan kami. Bila Amie cuba sesudu kopi...adeeehhh pahitnya! Macamana nak minum? Apa fungsi segelas air kosong itu? Kenapa ada rahat lokum (waktu itu belum tahu lagi nama benda tu rahat lokum).
Kami panggil pelayan di situ untuk bantu selesaikan masalah kami.
Mula-mula, dikeluarkannya rahat lokum nan sebutir itu dan diletakkan di atas dulang. Kemudian diambilnya sebutir kiub gula dan dimasukkan ke dalam dzezva.  Bekas tembaga itu disebut dzezva iaitu bekas untuk memasak atau menjerang kopi di atas bara yang berisi kopi pekat pahit tadi. Dan sebutir lagi kiub gula ditinggalkan dalam cawan kecil.
Kemudian pelayan tadi membancuh kopi tadi sehingga gula menjadi larut. Tak kisahlah bahasa ayam dan itik yang kami gunakan termasuk bahasa isyarat... lebih kurang beginilah maksudnya:
Kalau kurang rasa manis atau masih terasa pahit kopi di dalam dzezva, tuangkanlah ke dalam cawan yang mengandungi sebutir kiub gula tadi. Fahamlah kami kononnya rahmat lokum nan sebutir itu sebagai manisan dan segelas air kosong itu untuk membilas mulut selepas minum kopi. Agaknya laaaa....!

                         
Hanya dengan menikmati secawan kopi Bosnia atau Bosanska Kahva di waktu petang, malam itu kami tak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi! 

Jom kita jalan-jalan ke kedai buah pula.
Kami beli buah tin segar. 

Tak cukup beli tin hijau, tin hitam pun rembat juga.


Kami selalu berhubung dengan Feda, tuan punya bilik penginapan M'Ali Rooms. Feda akan mencadangkan mana-mana kedai makanan yang menawarkan hidangan mengikut selera kami. Sebenarnya kami teruja untuk mencuba pelbagai makanan tradisi Bosnia.


Kami sempat mengunjungi salah sebuah restoran yang menyediakan pelbagai jenis masakan tradisional iaitu Nanina Kuhinja yang terletak di Kundurdziluk. Kata Feda, Nanina berasal dari perkataan 'nana' yang bermaksud grandma, manakala nanina pula membawa maksud grandma's. Kuhinja bermakna kitchen. Jadinya Nanina Kuhinja bererti Grandma's Kitchen.


Amie pesan ruza atau rose petal juice yang beraroma lembut manakala yang  Lucinda tetap setia dengan limunada atau lemon!



Di Nanina Kuhinja ini Amie ingin mencuba Bosanski Lonac, masakan tradisional Bosnia, yang dimasak rendidih bersama daging lembu dan anak lembu, ada   kentang dan juga lobak merah. Masakan secara rendidih ini memang sedap, kalau boleh biji lada hitam yang bulat-bulat tu pun nak ditelan sekali! Setakat habiskan beef, kentang dan lobak memang muat saja perut, tetapi tak dapat tampung semua roti yang dihidangkan sebab portionnya besar sangat!

Ini buranija sa teletinom, iaitu beef stew dan kacang hidangan pesanan Lucinda. 

Bukan setakat sekali jejak ke Nanina Kuhinja. Hari berikutnya kami datang lagi. Amie ingin menikmati lagi minuman elder flower juice atau zova, dan seperti biasa Lucinda sudah semestinya memesan limunada!

Elder flower @ zova.


Kali ini Lucinda pula ingin merasa Bosnian Stew! Lihatlah roti dalam gambar di atas. Banyakkan untuk satu mulut makan?

Bosnian Stew

Sarajevski Sahan

Amie nak cuba masakan lain. Sebelum ini sempat sembang-sembang dengan Feda tentang japrak sarma, sogan dolma dan macam-macam lagilah. Jadi bila mata terpandang menu Sarajevski Sahan, Amie pun tak lepas peluang nak cuba!
Dalam hidangan ini terdapat pelbagai bungkusan dicampur tetapi isinya seakan sama iaitu daging cincang. Yang bergulung hijau tu daun anggur, yang bulat kecil sedikit itu bawang berisi daging cincang. Begitu juga dengan lada kembung dan daun kubis. Semuanya berisi daging cincang.Yang macam cili kembung berisi daging cincang tu nama dia punjene paprika dan yang dua ketul di depannya tu kentang lenyek.


Lucinda dengan Bosnian stew


Pada suatu pagi, hari keempat kami berada di Bosnia, atas cadangan Feda kami mengunjungi sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan tempat penginapan kami. Nampaknya restoran yang kami singgahi belum bersedia sepenuhnya untuk menerima pesanan sarapan pagi, memandangkan pelbagai jenis makanan yang cuba kami pesan belum tersedia. Bagaimanapun terdapat pilihan makanan lain yang boleh dihidangkan. Dah namanya perut orang Asia, benda pertama yang kami cari untuk mengalas perut sudah tentulah minuman panas. Kami meminta teh panas, tetapi menurut pelayan di situ tiada sebarang minuman panas yang disediakan! Jadi.... apa yang boleh kami minum? Pelayan tadi mencadangkan pelbagai jenis jus buah. Seperti biasa Lucinda memilih minuman berasaskan limau. 


Amie pun cuba jus pic. Telan sajalah.... memang lepas ni menggelodak perut! Tak apa... lepas makan, boleh lari balik naik ke bilik! Bukan jauh pun, hanya beberapa puluh meter sahaja dari situ. Pagi-pagi...minum jus untuk cuci pewwwuut!


Kami memilih cevapcici, sejenis kebab Bosnia yang berupa sosej daging bersaiz kecil, dan dipanggang di atas bara kayu. Sosej ini diperbuat daripada campuran daging lembu dan kambing. Ia dihidangkan bersama bawang, krim masam, Ajvar dan roti pita Bosnia yang dipanggil somun.


Ini dia cevapcici, roti pita Bosnia atau somun, dengan sosej atau kebab Bosnia yang tersembunyi di dalamnya serta cincangan bawang besar Holland.


Lucinda memesan makanan tambahan iaitu omelet atau telur dadar.Nampaknya harga telur dadar jauh lebih mahal berbanding harga cevapcici. Kalau tak silap Amie harga sepiring omelet ini dalam 10-12KM.
KM ialah Konvertibilna Marka. 
1 EURO (RM4.60) bersamaan : 1.95580KM.


Sudah cerita tentang roti pita Bosnia dan kebab Bosnia, kita cari pencuci mulut pula.


Jalan dan terus jalan!

Terjumpa Istanbul Caffe pula di sini. Bukankah dahulu Bosnia pernah berada di bawah jajahan Turki?

Wokey!
Ini dia tempat kami jatuh cinta dengan segala dessert dan minuman yang ada iaitu Caffe Slastičarna Saraj. Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke kafe ini, Lucinda pasti memesan segelas limunada dan Amie memesan segelas boza. Banyak juga ilmu baru yang kami dapat ketika berada di sini. Buat kali pertamanya, kami memahami maksud perkataan 'racun' yang membawa makna resit atau bil.

Kalau boleh nak cuba rasa semua dessert yang ada!


Kek yang Lucinda pilih hampir sama dengan corak baju yang dipakai!


Pada hari yang lain, kami singgah lagi di sini dan mencuba pula pencuci mulut yang lain seperti tufahije. Tufahije yang dikenali sebagai 'queen of Bosnian light desserts' dan dipercayai berasal dari Baghdad ini ialah sejenis pencuci mulut yang diperbuat daripada buah epal yang direbus bersalut dengan sirap manis dan di dalamnya diisi dengan parutan kacang walnut dan almond.


Selain di Sarajevo, kami sempat singgah makan tengahari di Restoran Vrelo yang terletak di tepi Sungai Buna. Waktu itu kami dalam perjalanan pulang dari mengunjungi Mostar.


Kami disambut dengan pelayan wanita yang sangat manis! Katanya kami boleh memilih mana-mana sahaja tempat duduk di sepanjang tebing sungai termasuk di bahagian atas yang terletak berhampiran air terjun. Wah! Seronoknya makan tengahari sambil menikmati keindahan Sungai Buna yang menghijau dan mendengar deruan air terjun yang keluar dari batu gunung!


Kami memesan Plate (Calamari) for two persons. Mari belajar bahasa mereka di sini : Plate Calamari disebut Plata Calamari. Dalam hidangan ini kata pelayan restoran, mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk ikan trout yang masih segar, diambil hidup dari sungai. Bila lagi nak merasa ikan trout Lucinda? Dari jauh kita datang, eloklah lupakan dulu ikan kembung he he heee.... ada tak ikan kembung di Bosnia? Adeeehhh tiba-tiba jadi rindu nak makan nasi dengan asam pedas ikan kembung! Tapi, buat masa ini eloklah bayangkan macamana rupa hidangan ikan trout, sejenis ikan yang hidup di dalam air yang sejuk dan bersih dan hanya didapati di kawasan sungai di gunung yang tidak tercemar.

Hidangan kami terdiri dari dua ekor ikan trout panggang dengan bijan dan kacang badam, kalamari, sotong sumbat, sotong goreng, chard, salted potatoes, rice, French fries dan tatar souce. Salad yang dipesan... nampaknya tak berusik! Perut tak muat! Chard itu mungkin sayur bayam... ada sedikit sayur bayam direbus sampai lembut tersembunyi di celah kentang rebus dengan kentang goreng di dalam gambar itu!

Ikan trout panggang.

Terselit sekepal nasi!

Untuk ubat rindu sebab dah beberapa hari tak jumpa nasi, eloklah kita singgah di salah sebuah gerai makan berhadapan dengan Sebilj Fountain, bersebelahan dengan tempat kami jatuh cinta dengan dessertsnya yang pelbagai itu! Tuan punya restoran (terlupa nama restoran) berasal dari Iran begitu peramah sekali sewaktu menyambut kedatangan kami ke restorannya.


Amie memilih Special Zeleni List,iaitu sepinggan nasi bersama daging dan ayam sebagai hidangan tengahari.


Cantik sungguh nasinya. Tidak terasa rempah yang kuat, hanya terdapat beberapa biji kecil buah warna merah yang terasa sedikit masam tapi tidak mengganggu keenakan rasa nasi tersebut. Daging dan ayam dipanggang dengan elok dihidang bersama hirisan tomato segar, timun dan daun salad. Lembut sekali daging dan ayam itu bila dikunyah.
Kami berdua menghabiskan seteko teh Parsi panas. Harga secawan teh ialah 1.5KM tetapi pemilik kedai makan menghidangkan kami seteko! Macam tau-tau saja kami rindukan teh panas! Untuk seteko teh itu, harganya 4KM, jadi jimatlah kami sebab untuk secawan berharga 1.5KM tetapi kami boleh minum bercawan-cawan!

Lucinda pula tidak lepaskan peluang mencuba kebab Bosnia di restoran milik orang Iran ini.

Petang terakhir kami di Sarajevo, kami santai-santai duduk di restoran melihat burung merpati berebut makan bijian di sekitar Selbij Fountain sambil kami kunyah doner kebab yang sedap!


Sebaik sahaja kami memesan doner kebab, pelayan wanita ini segera mengambil dua keping roti dan memasukkannya ke dalam oven yang terletak di bahagian bawah untuk memanaskannya. Beberapa saat kemudian, roti tadi dikeluarkan semula dan belah sedikit, seterusnya dikorek sedikit menjadi poket.


Dengan menggunakan pemotong elektrik, wanita tadi menghiris nipis bahagian luar daging yang disusun seperti bentuk kon itu.

Döner Kebap yang sangat sedap!

Sekali lagi teguk minuman cuci perut sambil makan Döner Kebap


Oleh-oleh istimewa : Sebuah buku resipi Bosnian Cuisine dari Sarajevo. Amie pernah masak Stew Daging Bosnia (Bosanski Lonac) di dapur sendiri menggunakan resipi dari buku kecil ini. Baunya sama seperti aroma masakan yang kami hidu setiap pagi ketika menuruni anak tangga tempat penginapan kami di Sarajevo!




Sekian cerita lama yang dikenang semula.

Feda (pemilik M'Ali Rooms merangkap pemandu pelancong) Lucinda @ Nursakinah & Amie.

Lucinda cadang  berkunjung lagi ke Bosnia, tapi tak tahu bila kami akan berkesempatan lagi!
Rindu!



20 comments

  1. Bestnyaa tengok kak amie throwback gambar jalan jalan. Banyak tempat dah kak amie pergi kannn. Serious best boleh jelajah negara orang lain :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lama betul duduk terkurung. Hanya mampu throwback sajalah.

      Padam
    2. In shaa Allah nanti kak amie boleh pergi holiday macam dulu. Aamiin.

      Padam
  2. Cantik2 gambarnya...nk sebut sesuatu perkataan tu ter belit lidah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Lain ejaan lain bunyinya. Kita sebut Sarajevo, di sana sebut Sarayevo. J jadi y.

      Padam
  3. Best tu pergi ke Bosnia dan Herzegovina musim cuaca sejuk. Tak dapat bayangkan jus pekat macam puri tu. Suka tengok suasana di Restaurant Pod Lipom dan resto lain, kemas cantik tersusun semuanya. Memang bestlah menjamu selera di sini. Tak pasti pulak tentang biji kopi tu kak amie. Jarang membeli biji kopi original macam tu. Ada pun untuk props je lah. Kopi pahit dia macam espresso ke? Kalau tak tahu, memang blur cara nak minum dia macamana. Makanan disana memang kaya dengan rempah rempah kan. Paling menarik Restoran Vrelo tepi Sungai Buna tu kak Amie. Kalau saya sibuk ambil gambar je ni, boleh lupa makan :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, suhu sejuk walaupun sebenarnya ketika kami pergi tu musim panas.
      Memang betul tu Fiza. Asyik nak tangkap gambar saja sebab suasananya sangat menarik, kedai-kedai pun cantik. Tu pasal kawan Kak Amie ajak ke sana lagi.

      Padam
  4. wow terbaik pengalamannya makanan Bosnia nmpk sedap semua

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Dapat cuba makanan tempatan.

      Padam
  5. mesti menarik dan cantik permandangan di bosnia. teringin juga nak ke negara2 eropah timur, tapi masih belum ade rezeki lg

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bosnia memang cantik, air sungainya sangat jernih. Boleh terus minum air dari paip tanpa memasaknya terlebih dahulu sebab sudah terjamin kebersihannya. in shaa Allah, pasang hasrat dulu, nanti akan sampai juga ke sana.

      Padam
  6. Nice throwback. Saya nak throwback juga, tapi tak tahu nak throwback apa. Hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bunyinya macam banyak yang boleh dithrowback tu hihihiiii.

      Padam
  7. Seronoknya tgok pengalaman kak Amie..dengan pemandangan yang indah, makanan yang unik dan nampak sedap..x sangka Bosnia seindah ini

    BalasPadam
  8. Rezeki cikgu dapat meneroka ceruk dunia sebelum PKP...Dapat juga mengenang.Semoga lepas ni ada rezeki lagi...

    BalasPadam
  9. sendu bila tringt perang bosnia dulu., huhuhu

    BalasPadam
  10. kopi tu memang nampak pekat betul tu kak, patutla sampai tak boleh tidur. kat sana masakan mereka banyak gunakan kentang ya... besar dan nampak empuk betul lah...
    nampak sedap-sedap semua makanan dan dessert yang ada tu

    BalasPadam
  11. Pagi-pagi minum jus, baik untuk kesihatan. Detox terus. Tapi tulah kopi kaw sangat. Kalau sayang yang low tolerant ni mau sehari tak boleh tido. Pelik jugak nampak gambar Bill Clinton. Ingatkan orang Bosnia tak suka dia

    BalasPadam
  12. Seronoknya dapat pergi melancong ke negara orang nak kata pepatah jauh perjalanan luas pemandangan.

    BalasPadam
  13. teringin nak sini. ingatkan nk pegi tahun lps, tp sbb covid. smua xjd.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Turkiye ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe