Pajeri Nanas Resipi Orang Kampungku
8:04 PTGAda dua biji nanas masak di dapur. Tengahari tadi Amie kupas sebiji dan simpan dalam peti sejuk. Dari kelmarin berangan-angan nak masak pajeri nanas. Oleh kerana di sebelah pagi Encik Suami belikan dua bungkus nasi kuning, 4 biji buras dengan serunding kelapa dan sambal ikan bilis serta dua bungkus mee hoon ayam goreng, jadi Amie tunda masak nasi ke petang.
Amie sambung buat laporan BDR, dan setelah siap Amie terlelap di sofa. Seakan-akan terdengar Encik Suami pulang dari solat Jumaat. Tanpa membuka mata Amie berkata: Masak nasi petang nanti ya. Ada buras lagi di dapur, boleh makan dulu. Sahut Encik Suami : Mana-manalah. Dan kita pun sambung tidur.
Tidak lama kemudian terdengar pula suara Encik Suami: Manislah nanas tu.
Haaa... sudah! Kita pun bingkas bangun dan berkata: Makan nanas dalam peti sejukkah? Nak buat pajeri tu.
Sahut Encik Suami: Makan sikit saja. Ada banyak lagi. Kalau tak cukup kupaslah lagi yang sebiji tu.
Kupas? Rasanya tidak banyak orang suka mengupas buah. Tapi kalau buah sudah dikupas, letak di meja sekelip mata boleh hilang dari pandangan!
Kita pun terus bergegas ke dapur. Mencari lebihan kerisek baki buat rendang tempohari, keluarkan kelapa parut untuk dikisar dan mengumpul bahan lain untuk diolah bersama nanas menjadi pajeri.
Pajeri Nanas |
Pajeri nanas merupakan salah satu menu wajib dalam hidangan kenduri-kendara terutamanya kenduri kahwin di kampung Amie. Tidak tahulah adakah menu ini masih dihidangkan sekarang ini. Beberapa tahun yang lalu sewaktu Amie pulang ke kampung, terasa sangat perubahannya kerana tuan rumah lebih senang mengambil tempahan makanan sahaja. Konsep 'rewang' sudah jarang digunapakai lagi. Menurut Bonda, ada juga tuan rumah yang lebih suka menyediakan menu sendiri, dan sudah tentulah sudah tidak ada lagi pelbagai jenis lauk-pauk tradisi seperti dahulu. Kalau dahulu, dalam setalam lauk mengandungi daging masak kicap atau daging rendang, pajeri nanas, acar mentah, acar rampai, sambal goreng babat dengan kacang tolo @ kacang pinggang, serondeng kelapa dan ayam masak kari atau ayam masak merah. Selepas makan nasi, tetamu dihidangkan pula dengan minuman panas dan setalam kuih-muih seperti rempeyek, kembang goyang, rengginang, lengkong (agar-agar), wajik dan sebagainya.
Ketika bercuti di kampung juga Amie sempat melihat Bonda berurusan jual beli telur itik. Pernah sekali, datang pembeli dari Ijok mengangkat 400 biji telur itik yang baru Bonda kutip dan bersihkan. Kata Bonda, telur itik itu akan dijadikan lauk kenduri kahwin. Amie pun hairan. Makan telur itik di majlis kahwin? Bonda tertawa sambil berkata: Sekarang orang kampung buat kenduri tak macam dulu. Ada yang hidangkan pucuk ubi masak lemak dengan sambal belacan untuk lauk majlis kahwin. Oooo...ye ke? Dalam hati kita berkata: Agaknya dah muak makan nasi minyak lauk-pauk penuh lemak. Jadi tuan rumah cuba pula menu lain. Tapi mungkin dalam banyak-banyak majlis kahwin, hanya satu atau dua tuan rumah sahaja yang berbuat begitu.
Kita kembali semula dengan olahan resipi Pajeri Nanas. Biasanya orang kampung kami gunakan nanas Moris yang rasanya manis untuk dibuat pajeri. Walaupun nanas rasa manis, tetapi apabila dimasak akan keluar juga rasa masamnya. Tidaklah ketara sangat rasa masamnya tetapi cukup memberi keseimbangan rasa apabila ditambah dengan garam atau perasa pilihan. Bagi Amie, pajeri nanas ini sedap diratah begitu saja. Kalau nak makan dengan nasi, Amie hanya gaulkan kuahnya sahaja. Kuah pajeri memang sangat sedap, lengkap dengan rasa lemak kerisek dan rasa udang kering.
Pajeri Nanas yang Amie hasilkan ini tidak menggunakan udang kering kerana kehabisan stok. Amie gantikan dengan ikan bilis. Satu lagi, Amie lihat ada dua cara orang kampung kami masak pajeri nanas. Cara pertama ialah dengan menyediakan pes kari, iaitu gaul segala bawang putih dan bawang merah serta halia tumbuk bersama rempah kari dengan menambah sedikit air. Cara kedua ialah, masukkan saja serbuk rempah kari ke dalam kuali sewaktu menumis bahan perencah, dan kecilkan api serta tambahkan sedikit air supaya tidak terlalu kering atau hangus. Amie suka gunakan cara yang kedua. Untuk menghasilkan Pajeri Nanas yang enak, pastikan nanas betul-betul layu dan kuah terbit minyak. Gunakan pati santan segar untuk hasil yang memuaskan dan terbit minyak yang cantik di akhir masakan. Ada yang masak pajeri nanas dengan merebus nanas terlebih dahulu, tetapi orang kampung kami terus masukkan ke dalam tumisan sahaja.
Jom lihat resepinya di bawah ini.
Pajeri Nanas |
- 600 gram nanas yang sudah dikupas & dipotong ikut saiz yang disukai
- 200 ml santan pekat
- 600 ml air
- 2 sudu besar serbuk rempah kari ikan
- 2 sudu besar serbuk rempah kari ayam /daging
- 2 sudu besar kerisek
- 1 biji cili merah - belah 2
- 1 biji cili hijau - belah 2
- 1 sudu besar parutan gula Melaka / gula perang
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 kuntum bunga cengkih
- 1 labu bawang besar - mayang
- 2 cm halia - hiris halus
- 1/2 cawan udang kering / ikan bilis - rendam hingga lembut dan tumbuk kasar
- garam / perasa pilihan
- 1/2 cawan minyak
- 7 tangkai cili kering
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- Panaskan minyak. Goreng bawang besar bersama halia, kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih hingga layu kekuningan.
- Masukkan ikan bilis dan bahan kisar. Gaul rata.
- Seterusnya masukkan serbuk rempah kari ikan dan serbuk rempah kari ayam / daging. Kecilkan api. Jika terlalu kering, tuangkan sedikit air. Tumis hingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan nanas. Biarkan seketika dan kemudian tuangkan air dan gula Melaka / gula perang. Masak dengan api sederhana sehingga nanas menjadi kecut dan layu.
- Masukkan santan pekat dan kerisek.
- Kacau sekali-sekala supaya bahagian bawahnya tidak hangus.
- Apabila kelihatan terbit minyak sekali lagi, masukkan hirisan cili merah dan cili hijau serta taburkan garam / perasa pilihan.
- Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
23 comments
Fav. shida ni kak Amie :)
BalasPadamtq sharing resepinya :)
Dulu arwah abah la paling suka makan pajeri nenas ni. Ibu pula memang suka masak pajeri.. sama ada nenas, terung atau ikan pun boleh dipajerikan. Lauk pajeri ni memang sedap dimakan dengan nasi berperisa kan, tapi, kalau makan dengan nasi putih, kena makan solo, baru terasa pajerinya.
BalasPadamNak tergelak baca suami Amie makan nenas nak buat pajeri.. teringat semalam terjerit bila tengok air tembikai yg kita simpan dalam peti sejuk dah habis diminum Pak Inche 🤣
P/S kita pun malas bab kupas buah
Lauk favorite arwah mak ni. Dalam sebulan tu mesti masak lah beberapa kali pajeri nenas sampai kami adik beradik jemu tapi apa boleh buat, mak nak makan kan hahahaha. Kita ikut jelah janji perut kenyang :D
BalasPadamPart kupas buah tu, bila ada orang tolong kupaskan, barulah saya makan >.<
Dulu kita x suka nanas tp sejak bila ntah kita cuba pajeri nenas terus tekak bole terima.. Kita ni bkn apa alergik nenas ni.. Silap makan lidah ke bibir ke lelangit ke mesti rasa sakit luka
BalasPadamsyu jarang mkn pajeri nanas ni. mak biasanya akan buat, tp x selalu, sbb kitorg anak2 tak berapa mkn sgt. tp bila tgk gmbr pajeri nanas kak amie, tringin pulak nak mkn
BalasPadamSedap pajeri nanas
BalasPadamPajeri nenas ni memang menu wajib kalau kenduri di kampung. Makcik saya yang selalu rajin masak pajeri ni, saya tukang makan je..hehe
BalasPadamBiasa dapat makan pajeri nenas ni masa kenduri kahwin.. Dah lama tak pergi kenduri kahwin.. Pkp punya pasal.
BalasPadamAduh,gandingan mantop tu pajeri nanas vs ikan masin@ikan goreng.Baru semalam mak saya call bagtau dia masak pejeri rebung madu.
BalasPadamRindunya nak makan kenduriiiii
Lauk kenduri kahwin memang sudah pelbagai dengan nasi putih.
BalasPadamAda dahulu pergi dihidangkan dengan lauk tomyam. Itu pertama kali lihat dalam kenduri kahwin.
Suka makan pajeri nanas.
pajeri nenas dgn lauk n ulam sedap tu gaul mkn nasi
BalasPadamBetul Amie..tak ramai yg rajin mengupas nenas walaupun ada pisau pemotong yg canggih..
BalasPadamKegemaran saya ini, kak! Nanas dalam pajeri tu diratah begitu sahaja pun sedap.
BalasPadamBab mengupas nanas tu paling leceh. tapi kalau dah dikupas memang laju habis makan. selagi tak dikupas, dipandang sepi je buah nanas tu. kann...sedapnya pajeri nanas. tak letak udang kering pun sedap gak tu. baru dengar pajeri nanas bombay. Saya tak pernah masak pajeri. kalau teringin, mintak tlg mak buat itupaun kalau mak sihat. sekarang mak dalam tempoh recover. Kena pendamkan dulu. Sekarang kenduri kahwin pun dah pakai catering, tak merewang macam dulu. tapi best gak tu kenduri lauk lauk kampung je :)
BalasPadamSaya pun masak stail yang kedua tu. Pajeri nenas memang sedap. Walaupun buah nanas saya tak makan sangat, tapi kalau dah jadi lauk memang tak tolak. Cuma bab pilih nanas yang sesuai buat pajeri saya selalu fail. Pernah terpilih nanas masam.hehe
BalasPadamsedap ni, teringat dekat nenek saya
BalasPadamSedapnyaa
BalasPadamSha tak boleh makan nanas.. Sellaunya akan amik kuah dia je.. hehehe.. Rasa kuah dia yang masam manis tu menyelerakan.. hehehe..
BalasPadamSedapnya pajeri nenas, selain nenas SA suka jugak terung...sedap....kalau dapat ni memang berulang makan....dh ada resepi tu boleh la SA cuba
BalasPadamyes betul la.
Padampajeri terung.
arwah mak mertua aida kerap buat.
mungkin masa ni la aida terjatuh hati kat masakan pajeri.
peberet ni apa lagi kalau buah nenas makan begitu saja. Suka pelbagai pajaeri enenas terung pun suka...pajeri buah asam epal pun lagi syiok
BalasPadamseronok kan kalau pergi kenduri dapat makan pajeri nenas....rindu zaman rewang dolu2
BalasPadamdulu kala, memang aida x suka pajeri nenas ni.
BalasPadammak pun jarang masak kan.
jumpa time kenduri kawin aje, kak.
tapi. bila dah tua-tua ni, tersuka tanpa sengaja ha ha ha ha...
ntah bila suka nya.
tapi tu la. tak pernah masak sendiri kat rumah.
mungkin sebab tak reti nak potong nenas ha ha ha ha...