Pisang Nangka Goreng Penuh Nostalgia!

by - 12:32 PTG

Petang kelmarin, Encik Suami bawa pulang sesikat pisang nangka. Wah! Bukan senang nak dapat pisang nangka di Lahad Datu walaupun banyak gerai pisang di sepanjang jalan. Seumur hidup Amie di sini, hanya pernah sekali dapat beli pisang nangka di pasar. Itu pun setelah jenuh berhari-hari mecari dan peniaga pisang akan tunjukkan pisang raja kalau Amie bertanya tentang pisang nangka! Agaknya memang jaranglah orang tanam pisang nangka di sini. Sewaktu Amie mengandung Abang Farid, Amie terpandang setandan pisang nangka muda di atas pokok bersebelahan dengan rumah MIL. Rupanya biras Amie yang tanam (suami kakak ipar), benih anak pisang nangka dibawa dari Perak. Biras Amie memang asal dari Perak. 

Amie beritahu arwah MIL : Sedap pisang nangka tu digoreng mak.

Rupanya MIL 'jaga' kata-kata Amie sampai waktu pisang nangka tua di pokok. Kemudian pisang nangka di pokok 'hilang'. Rupanya biras Amie sudah tebang. Apabila arwah MIL tanya, dan ingin minta sebiji dua dari biras Amie, katanya habis sudah setandan pisang nangka dikerjakan anak-anak!

Nampak jelas raut wajah MIL yang kecewa apabila menyampaikan berita tentang pisang nangka itu. MIL beritahu FIL, Amie mengidam nak makan pisang nangka goreng. Amie senyum sendiri sebab walaupun ketika itu sedang hamil, tak tahu pula Amie mengidam. Setahu Amie, maksud mengidam itu ialah keinginan yang sangat tinggi untuk merasai sesuatu makanan ketika sedang hamil. Amie pula tidaklah terlalu ingin makan pisang nangka goreng. Hanya sekadar berkata-kata sahaja.

Malam tadi berangan, bangun pagi nak goreng pisang nangka untuk sarapan. Amie bangun terlewat sedikit. Rupanya Encik Suami sudah beli sebungkus nasi kuning lauk sambal ayam, 3 bungkus mee hoon goreng dengan lauk ayam goreng setiap bungkus, dan buras! Tak jadilah nak goreng pisang nangka. Tidak lama kemudian, datang seorang tukang untuk baiki bumbung dapur. Amie pun ambil kesempatan goreng pisang nangka, konon alasannya untuk dijadikan minum pagi Encik Suami bersama tukang tadi.

Pisang Nangka Goreng & Teh Ceylon 888 aroma pandan.

Pisang Nangka

Nampaknya pisang nangka masaknya tidak sekata. Bolehlah goreng beberapa biji mana yang masak, dan selebihnya biarkan dahulu. Nanti kalau masak bolehlah dibuat pengat pula. Selain sukakan aroma pisang nangka yang harum, Amie sukakan rasanya yang manis dan sedikit rasa masam-masam manja!
Wokey!
Macam-macam cara untuk membuat adunan tepung celup pisang. Amie buat adunan biasa sahaja. Campurkan tepung gandum dengan nisbah sama tepung beras. Kalau ada pewarna kuning telur bolehlah bubuh setitik, tetapi kelmarin Amie sudah habiskan untuk masak nasi ganja. Jadi, Amie gantikan dengan serbuk kunyit.

Adunan tepung / batter.

Pisang Nangka Goreng
Bahan-bahan:
  • 4 biji pisang nangka - kupas - belah 2 - kerat 2
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit / setitir pewarna kuning telur
  • 1 sudu besar marjerin - cairkan dan biarkan sejuk
  • 1 biji telur
  • 1 cawan air
  • minyak

Kepingan / hirisan Pisang Nangka.


Cara:
  1. Adun kesemua bahan kecuali minyak.
  2. Panaskan minyak untuk menggoreng tenggelam.
  3. Celup pisang ke dalam adunan dan masukkan ke dalam kuali.
  4. Goreng sehingga kuning keemasan.
  5. Angkat dan toskan.

Pisang Nangka Goreng - hasil 4 biji pisang nangka.

Walaupun kami anak petani, pagi bersilat dengan nyamuk di kebun getah dan sebelah petang membantu menyangkul dan menanam pelbagai tanaman kontan di kebun termasuk tanam pisang, tetapi setiap kali Ayahanda dan Bonda ke pekan Sungai Buluh, seringkali pula mereka bawa pulang pisang nangka goreng. 

Ada sebuah gerai mamak berhadapan kedai pakaian milik peniaga Cina di pekan Sungai Buluh. Di sebelahnya pula ada pondok menunggu bas arah Kuala Selangor ke Kelang. Selain menjual roti canai, mamak di situ menjual pisang nangka goreng dan juga vadei. Tidak ada pisang lain yang digoreng selain pisang nangka! Waktu kami kecil dahulu, harga sebiji pisang nangka goreng hanyalah 10 sen. Pisang nangka yang digoreng itu dibelah tak putus, dan memang kenyanglah kalau dapat makan sebiji. Masih ingat lagi kalau ikut Ayahanda atau Bonda ke pekan Sungai Buluh dan singgah di warung mamak ini, mamak akan bungkus pisang goreng panas di dalam kertas surat khabar dan kemudian mamak taburkan gula pasir!

Apabila sampai di rumah, buka sahaja kertas bungkusan pisang nangka goreng terus terhidu aroma 'nangka' yang sangat enak! Bonda akan hulurkan sebiji pisang nangka goreng untuk setiap seorang di antara kami. Mmmm.... masih panas lagi pisang nangka goreng itu!

Pagi ini, sambil mengimbau kenangan manis itu Amie taburkan gula pasir di atas pisang nangka goreng! 

Sewaktu menggoreng pisang nangka, Amie renih serbuk Teh Ceylon 888 bersama sedikit gula batu dan sehelai daun pandan. Jadi, bertemanlah pisang nangka goreng dengan teh gula batu aroma pandan.


Zaman dahulu makan sebiji pisang nangka goreng yang dipotong tak putus tapi teringin menambah sebiji lagi. Hari ini habiskan 4 potongan daripada sebiji pisang nangka goreng dengan secawan teh panas sudah cukup mengenyangkan dan boleh dijadikan sebagai alas perut di kala tengahari.

Encik Suami pula ajak tukang baiki bumbung dapur berehat seketika sambil makan pisang nangka goreng!

Pisang Nangka Goreng & Teh Ceylon 888

You May Also Like

16 ulasan

  1. SA x berapa suka pisang nangka tapi sesekali makan jugak pisang goreng kalau Abah SA dah gorengkan...SA suka makan pisang Cavendish,seminggu 2-3 SA akan makan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Amie suka. Wangi, manis-manis masam.

      Padam
  2. Pisang goreng makan petang-petang bersama secawan kopi memang sedap.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tambah sedap kalau ada teman sembang.

      Padam
  3. Banyak kali juga bila terlintas sesuatu makanan,bila masuk dapur cikgu Amie,terhidang makanan yang terlintas difikiran.Suratan @ kebutulan?

    Semalam saya ke pasar mencari pisang untuk digoreng,malangnya yang tinggal hanya pisang untuk dessert sahaja.Hari ini telan air liur terbau pisang goreng rezeki tukang baiki bumbung tu..Hihihi

    Kat tempat saya biasanya jenuh dengan pisang nangka,tapi cukup susah & mahalnya nak cari pisang kepuk.Pisang tu sedap digoreng tapi kalau beli memang berat kulit la sebab kulitnya tebal.... ( rasanya kalau tak salah pisang kepuk tu sama dengan pisang sabak kat Sabah).

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pisang kepuk, pisang nipah, pisang abu, pisang sabak tu adik beradiklah

      Padam
    2. Di LD pula banyak sangatlah pisang kepuk @ pisang saba. Kadang-kadang sampai rasa rindu nak makan pisang nangka goreng hihihiiii.

      Padam
    3. Ada tambahan Wak.
      Pisang saba berberadik juga dengan pisang manurung, pisang batu & pisang sanggar.

      Padam
  4. Pisamg peberet akak....samafa digoreng,buat pengat,direbus,atau buat kerepek...semua sedap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada lebihan pisang nangka tu, nanti nak buat pengat pula.

      Padam
  5. Pisang nangka masam kannn kak amie? Kita suka pisang kelat siang, manissss. Tapi tak pasti kalau kak amie panggil pisang apa hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oooo... Kak Amie panggil pisang awak. Suka sangat makan goreng pisang tu dan juga kerepeknya. Pisang ini pun susah sangat nak jumpa di LD. Pernah sekali jumpa di pasar Sandakan. Kalau balik Malaya, pisang ini memang ada sepanjang masa.

      Padam
  6. Ohhh kat sana susah jumpa ye kak pisang nangka... sedap di goreng atau dipengat, dana suka bau dia yg wangi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bukan susah nak jumpa Dana, tapi suuuuusah sangat hahahaha! Itulah rindu nak makan yang goreng dan pengat.

      Padam
  7. Alahaii..sedih pulak baca cerita kak Amie. Mesti arawah MIL rasa terkilan sangat kak Amie tak dapat merasa pisang nangka masa mengidam tu. Tak ada rezeki. Mengidam ni kalau tak dapat sedih lain macam. Kenangan pisang nangka.

    Lama tak makan pisang goreng dengan gula. Dulu kecik kecik suka makan macam tu. Cuma dah dewasa dah jumpa sambal kicap, lupa terus gula. hehe

    BalasPadam
  8. sesekali makan goreng pisang cecah gula...pergh enaknya. Lawan dengan teh o panas asyik bila di luar hujan.

    BalasPadam