Brengkes Ikan Belais : Masakan Tradisi Cocos

by - 5:44 PTG

Hari ini Amie masak Brengkes Ikan Belais. Alhamdulillah, sewaktu hayat mak mentua masih ada, Amie selalu perhatikan cara arwah masak brengkes ikan terutamanya ketika kenduri-kendara di kampung. Arwah MIL sangat mengambil berat jenis ikan yang akan diolah menjadi masakan brengkes. Ikan pilihan utamanya sudah tentulah ikan belais. Bagaimanapun jenis ikan lain yang sesuai tetap boleh dijadikan masakan brengkes.

Brengkes Ikan Belais.

Ikan belais.

Gambar atas dan bawah merupakan antara ikan belais pilihan MIL. Seperti juga ikan kerapu yang baru lepas Amie jadikan entri, ikan belais ini pun banyak ahli keluarganya juga. Saiznya ada yang kecil dan ada yang besar. Saiz besar ada yangmencapai 1 kilogram seekor. Ikan belais yang Amie olah jenis sederhana, tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Kami beli sekilogram, dapat 5 ekor. Untuk masakan brengkes ikan belais kali ini, Amie gunakan ikan seperti dalam gambar di atas.

Ikan belais.

Ketumbar biji.

Antara bahan terpenting yang wajib digunakan selain bahan tumis asas seperti bawang dan cili kering, ketumbar biji dan perahan jus limau nipis tidak boleh ditinggalkan. MIL hanya gunakan sukatan genggaman tangannya sewaktu mengambil ketumbar biji. Beberapa kali jugalah Amie cuba masak sendiri dan mencari sukatan tertentu untuk menyamakan rasa masakan sendiri dengan hasil masakan MIL.

Jika tiada jus limau nipis, boleh juga gunakan bancuhan air asam jawa atau jus limau kasturi, tetapi MIL tetap mencari lumau nipis! Kata MIL, tidak sempurna masakannya kalau tidak gunakan perahan jus limau nipis. Amie selalu lihat MIL ambil pati santan dengan menyenduk bahagian atas santan sahaja atau dipanggil kepala santan. Maknanya kalau gunakan santan kotak, memang tdak terbit minyak sebagaimana masakan brengkes yang asli.

Selain lauk Brengkes Ikan Belais, lauk hidangan kami tengahari tadi termasuklah sup ayam aneka bahan (kurma merah, lobak merah, batang saderi, white fungus & cendawan shiitake), ulam timun dan salad hijau serta sambal belacan.

Ikan Belais Goreng

Amie goreng seekor ikan belais. Mana tahu Firdaus tak mahu makan Brengkes Ikan Belais. Rupanya Firdaus nak makan juga lauk brengkes ikan belais. Memang betullah anak Cocos.... ahaks!


Jom kita lihat resipi Brengkes Ikan Belais di bawah ini. Pertama kali mencicipi masakan ini tentu akan terkejut sediti kerana ada beza rasa dengan masakan biasa, terutamanya rasa ketumbar! Lama-kelamaan apabila sudah biasa menjamahnya, makan nasi putih dengan kuahnya yang berminyak itu pun sudah cukup lazat!

Bahan-bahan:
  • 2 ekor ikan belais - bersihkan dan potong 2 (jika saiz besar)
  • 3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja
  • 1 1/2 sudu makan serbuk kunyit
  • 2 biji limau nipis - perah jusnya
  • garam / perasa pilihan
  • 1/2 cawan minyak
Bahan kisar:
  • 5 tangkai cili kering
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 sudu besar biji ketumbar

Cara:
  1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
  3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
  4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
  5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
  6. Taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.

Brengkes Ikan Belais yang dimasak sempurna akan meninggalkan minyak seperti dalam gambar di atas.
Gambar di bawah ini Amie ambil dari entri yang lalu: IKAN BELAIS MASAK BRENGKES


Kalau MIL & FIL masih ada sudah tentu mereka rasa seronok sangat sebab menantunya boleh memasak brengkes ikan. Al-Fatihah buat MIL & FIL yang selalu menghabiskan masa di waktu petang bercerita dengan Amie tentang kenangan dan kerinduannya terhadap tanah kelahirannya nun jauh di tengah Lautan Hindi : Pulau Cocos-Keeling!


You May Also Like

28 ulasan

  1. Uniknya hidangan ini. Minyak tu kalau gaul dengan nasi mesti sedap kan kak sebab rasa bahan-bahan dah infused dalam tu. 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Farrah. Kak Amie kalau tak dapat ikan pun tak apa, dapat kuahnya tu gaul jew dengan nasi, dah cukup rasa enaknya!

      Padam
  2. Wah,betullah kalau datang sini memang akal gagal diet..hihihi
    Nak kena cuba ni tapi saya belum pernah jumpa ikan blais kat sini@ saya yang tak kenal ikan tu.Sukanya saya kalau lauk yang kering berminyak ni..
    Dari semalam mencuba nasib menjaring 20 juta pageview blog ni.Sudahnya,serahkan jaring kepada anak dara saya untuk takeover.Orwng muda ni cekap sikit.Semoga ada rezeki Adah...amiinnn

    BalasPadam
    Balasan
    1. Guna ikan lain pun boleh seperti ikan kerapu, ikan putih dll. Guna ikan patin pun boleh. Memang sedap kuah kering berminyak, cukup sempurna masakannya tu.

      Padam
  3. sekali tgk sedapnyaaaa lahai... mcm ikan bawal pn ya... 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haaa... ya, ada iras ikan bawal. bulat leper.

      Padam
  4. Ooo.. pernah dengar Melayu Cocos. Di Australia. Tapi pulau tu kalau lihat di peta, lebih dekat dengan Indonesia.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu. Atas faktor sejarah dan geografi serta mengikut akta penentuan diri, akhirnya Pulau Cocos-Keeling sudah menjadi wilayah Australia pada tahun 1971.

      Padam
  5. Kita tgk mcm ikan goreng sambal... Perghh menarik cuma beza dia letak santan.. 😋😋

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak rasa sangat pedas sambal, selain santan kena tambah ketumbar.

      Padam
  6. Tak pernah dgr lg nama ikan belais ni..untung ya..dpt mkn ikan mcm2 yg segar2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehehe... belajar makan ikan belais dari keluarga Encik Suami.

      Padam
  7. nampak mcm sedap je...kena cuba la resepi ni..

    BalasPadam
  8. lebih kurang mcm kerutuk ikan cara masakannya....cuma belais tambah ketumbar saja... blh cuba ni..
    tk cg amie

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah kan... masakan nusantara ini bahannya lebih kurang saja, cuma kreativiti untuk menghasilkan kelainan rasa sahaja yang membezakannya.

      Padam
  9. bkn belais tu...brengkes...

    BalasPadam
  10. nampak sedap..boleh cuba nanti..

    BalasPadam
  11. Satu lagi menu baru dengar. Masakan brengkes macam masak sambal versi letak santan dan biji ketumbar. Kena cuba ni kalau nak tahu rasa dia macamana. Thanks kak amie share resipinya :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang jarang diketengahkan menu ini Fiza. Kak Amie tahu setelah bersuamikan orang Cocos. Mula-mula rasa janggal nak makan sebab ada bau ketumbar, lama-lama dah selalu mak mentua masak, tersuka tanpa sengaja pula.

      Padam
  12. slalu nmpk ikan ni klau pegi pasar. rupanya nama dia ikan belais

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada nama lain selain belais, iaitu ikan capuk sebab banyak sangat saudara mara keluarga belais ni.

      Padam
  13. sedap tgk menu tu..1st time dgr nama ikan belais

    BalasPadam
  14. tak pernah makan ikan belais tu..first time dengar..comel ikan tu hehe

    BalasPadam
  15. Cocos yg Ada kat Sabah Tu ye. Mama jumpa kaum Cocos ninsebab isteri kawan mama. Baru la tau Cocos ni asal Dari mana. Sedap nampaknya lauk tu

    BalasPadam
  16. Satu lagi masakan menarik dari Kak Amie.. Yeah!! Bila berpeluang nanti, Sha teringin nak cuba..

    BalasPadam
  17. emm mengiurkan je tenguk. Tak pernah dengar brengkes ni apa lagi ikan belais

    BalasPadam