Hinava Udang
7:41 PG
Apabila bercerita tentang satu-satu masakan bersama teman-teman, sudah tentunya yang paling mengujakan apabila terdapat perbezaan olahan atau bahan yang digunakan. Kadang-kadang sesama mereka akan berpandangan (tanda tanya), sekiranya bahan yang digunakan tidak sama, dan cara memasaknya juga sedikit berbeza. Barangkali masing-masing berpendapat bahawa masakannya atau resepinya (yang diwarisi atau dipelajari dari ibu dan keturunan mereka) itulah yang betul. Itulah uniknya dunia masakan! Begitu banyak kepelbagaiannya!
Apa pun terima kasih kepada rakan-rakan keturunan Kadazan / Dusun yang pernah kongsi resepi hinava, sejenis hidangan yang terkenal dalam masyarakat pribumi Sabah ini. Harap dapat lagi kongsi resepi-resepi lain ye Christine, Siti Azinni, Agnes Edward Ujin dan Rosni. Bagaimanapun, Amie dapati ada beberapa persamaan dari segi penyediaan bahan dan cara olahannya dengan hidangan kilau serta umai. Kilau ialah hidangan tradisi masyarakat Bajau manakala umai pula terkenal dalam masyarakat Melanau di Sarawak.
Bahan asas untuk membuat hinava terdiri daripada isi ikan, halia, cili, bawang merah, garam dan perahan jus limau nipis atau limau kasturi. Selain isi ikan, udang atau sotong juga sesuai digunakan untuk membuat hinava.
Amie gunakan udang kertas saiz sederhana besar.
Jom kita lihat resepinya.
Bahan-bahan:
700 gram udang kertas
1/2 cawan perahan jus limau nipis
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
2 cm halia muda
1 labu bawang besar
2 batang serai (pilihan)
2 biji cili merah
Cara :
1. Bersihkan udang - buang kulit, kepala dan ekor - tarik urat di bahagian belakang - hiris - potong udang ikut kegemaran.
2. Dalam sebuah bekas, masukkan udang, tambahkan semua bahan hiris, perahan jus limau nipis, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
3. Gaul rata dan biarkan lebih kurang 15 minit sebelum dinikmati bersama nasi.
Selamat mencuba!
0 comments