Ikan Sembilang Goreng Berlada Dengan Petai
8:25 PTGWalau pun tak jumpa ikan keli, dapat sembilang pun ok juga. Nak makan ikan keli kena tunggulah balik kampung masa raya nanti. Tak boleh dikenang ikan keli... leleh liur. Kita cerita tentang ikan sembilang yang saya masak ni. Beli seekor seberat 1kg, siap dipotong-potong. Balik rumah saya asingkan jadi 2 bahagian. 1 bahagian simpan dalam peti sejuk dan sebahagian lagi sebanyak 5 keping, saya jadikan lauk makan malam. Cukuplah untuk kami 5 beranak. Sebenarnya, sebelum berkahwin, suami saya tak biasa makan ikan sembilang, tapi lama-kelamaan bila saya selalu masak, suka pula dia makan ikan tu. Dia juga yang cadangkan supaya saya masak goreng berlada semasa kami ke pasar petang tadi.
Bahan-bahan:
5 keping ikan sembilang (lumur dengan garam, kunyit dan tepung jagung)
15 biji petai
1 sudu kecil pati asam jawa (bancuh dengan 75ml air)
garam dan gula
minyak
15 biji cili kering
Bahan kisar:
15 biji cili kering
4 biji bawang putih
4 biji bawang merah
sedikit belacan
1.5cm halia
1.5cm lengkuas
1 batang serai
Cara:
1. Goreng ikan sembilang hingga garing.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak
3. Masukkan petai dan air bancuhan asam jawa.
4. Masukkan ikan sembilang yang telah digoreng.
5. Biarkan hingga kuah hampir kering.
6. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Jom kongsi petua masakan ikan air tawar:
1. Untuk hilangkan bau hanyir ikan air tawar, rendamkan ikan ke dalam air asam jawa, perahan air limau atau limau kasturi.
2. Salai ikan terlebih dahulu sehingga keluar minyak sebelum dimasak gulai atau ditumis.
.....ada lagi petua lain, nanti saya masukkan bersama masakan ikan air tawar seterusnya....
0 comments