Kari Kepala Ikan Merah Dengan Nenas
8:14 PTGSelamat malam semua...dah makan malam belum? Amie sekeluarga petang tadi mengadap kari kepala ikan merah. Anak-anak kata kuah karinya sedap. Memang Amie akui rasanya dan juga kepekatannya... Amiekan suka kuah kari yang pekat-pekat. Bonda pun suka masak kari pekat-pekat tapi bonda pandai buat rempah kari sendiri (rasanya tentulah jauh lebih sedap berbanding rempah kari yang dah siap). Lagi satu, mungkin cara Amie masak kari berbeza sedikit dengan yang lain. Amie tidak bancuh serbuk kari, sebaliknya Amie terus tumis serbuk kari. Sesetengah orang kata tentu serbuk kari akan jadi hangus, tapi sebenarnya ada caranya yang tersendiri supaya serbuk kari tidak hangus. Memang dari dulu di mana tempat sekalipun Amie lihat serbuk kari dibancuh sebelum ditumis... sepupu Amie yang ajar supaya jangan bancuh, perlahankan api semasa menumis dan itulah rahsianya serbuk kari tidak cepat hangus. Amie juga gunakan banyak tomato dalam masakan kari supaya kari menjadi lebih pekat dan pada masa yang sama, anak-anak yang tidak suka makan sayur akhirnya termakan juga buah tomato yang dah jadi kuah tu....
Bahan-bahan:
sebelah kepala ikan merah seberat 700gram
5 biji tomato (belah 4)
6 keping hirisan nenas masak
500ml santan cair
200ml santan pekat
40 gram serbuk kari
1 sudu biji sawi
5 sudu lada kisar
7 biji bawang putih(tumbuk)
7 biji bawang merah tumbuk)
3cm halia (tumbuk)
1.5cm belacan tumbuk)
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
beberapa helai daun kari
garam & gula atau perasa jika suka
minyak
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk bersama bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
2. Masukkan lada kisar diikuti dengan tomato dan kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kari dan gaul rata diikuti dengan daun kari dan biji sawi.
4. Masukkan nenas dan bancuhan pati asam jawa. Masak hingga nenas layu.
5. Masukkan santan cair dan biarkan hingga mendidih barulah masukkan ikan.
6. Pastikan kepala ikan merah hampir masak, barulah masukkan santan pekat, diikuti dengan garam dan gula.
7. Apabila telah sempurna masaknya, bolehlah angkat dan hidangkan.
~ Buah tomato sebenarnya yang menjadikan kuah kari dalam keadaan pekat~
0 comments