Shiitake Mushroom Omelette
7:02 PTGAssalamualaikum dan selamat malam kepada semua pengunjung yang sudi singgah di dapur Amie. Nampaknya cuaca asyik mendung sepanjang hari. Kelmarin hujan, hari ini pun hujan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas segala rahmat-Nya. Bila hujan selalu, pokok-pokok di sekeliling rumah pun semakin subur. Apabila memandu ke tempat kerja pada waktu pagi, Amie suka buka tingkap kereta untuk menghirup udara segar...hmmmmm nyamannya. Biasanya Amie keluar dari rumah pukul 5.50 pagi, dan matahari pun belum menampakkan diri. Azan Subuh menandakan tibanya waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selalunya berkumandang melalui corong radio...lalu Amie pun terbayanglah bonda yang sedari dahulu bangun awal untuk menyediakan sarapan pagi sementara kami adik-beradik menyiapkan diri untuk pergi ke sekolah. Hari ini Amie balik lewat sedikit kerana terpaksa sekali lagi berurusan dengan pihak imigresen....terpaksa 3 kali ulang-alik, akhirnya selesai juga urusan. Bila sampai rumah, terfikir pula nak masak apa. Oh ya.... kebetulan hari ini hari Khamis malam Jumaat. Selepas solat Mahgrib, suami dan anak-anak teruna Amie pergi kampung untuk menghadiri majlis bacaan Yasin dan terus makan malam di sana. Akhirnya Amie ambil keputusan untuk masak omlet saja.
Bahan-bahan:
4 biji telur
4 kuntum cendawan shiitake segar
1 biji tomato
1 labu bawang besar
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu serbuk pati ayam
2 sudu susu cair
sedikit mentega
Cara:
1. Pecahkan telur dan pukul hingga kembang.
2. Masukkan semua bahan di atas kecuali mentega. Gaul sebati.
3. Panaskan mentega di dalam kuali.
4. Tuang bahan adunan telur ke dalam kuali dan pastikan api mesti sederhana supaya omlet tidak menjadi hangus.
5. Sekiranya suka, boleh lipat omlet di dalam kuali, jika tak mahu, tidak mengapa.
6. Biarkan omlet masak dalam keadaan basah.
7. Omlet sedia untuk dihidangkan.
0 comments