ADSENSE

Rabu, 2 Februari 2011

Terung Masak Bawang Putih

Zaman kanak-kanak dulu, memang jenuh petik terung kambing, terung pipit dan entah terung apa lagi yang bonda tanam di sekeliling rumah dan di tepi pondok di kebun. Ada yang bulat, lonjong, hijau, ungu dan macam-macam lagi. Biasanya bonda masak tumis dengan lada. Itu dulu... sekarang jarang sangat jumpa jenis terung yang saya sebutkan tadi. Tak apalah... tinggalkan dulu cerita lama tu, kita buka cerita baru. Saya nak masak terung taiwan, jenis manis dan lembut. Tak tahu nak masak apa, tiba-tiba teringat ada beberapa buah buku resepi masakan halal ala cina ... jadilah masakan terung seperti di bawah ini... dalam resepi tu ada arahan penyediaan supaya masukkan terung dalam peti sejuk, saya pun tak tahu apa rasionalnya,ikut sajalah. Tapi lain kali, saya fikir tak perlulah masukkan dalam peti sejuk...


Bahan-bahan:
3 biji terung panjang
7 ulas bawang putih (pecahkan dan cincang)
2 sudu minyak jagung

Bahan untuk sos:
75 ml air
2 sudu besar kicap cair
1 sudu besar gula pasir
1 sudu teh cuka makan
1 sudu teh minyak bijan
1/2 sudu teh garam
(bancuh bahan untuk sos)

Cara:
1. Potong terung kepada 2 bahagian dan belah tengah.
2. Kukus terung selama 15 minit. Siat-siat halus dan simpan dalam peti sejuk.
3. Panaskan minyak dan tumuskan bawang putih. Masukkan bahan sos dan masak hingga pekat atau ikut suka anda.
4. Tuangkan sos di atas terung dan hidangkan.

Katanya hidangan ini menjadi lebih enak kalau ditabur bijan yang digoreng dengan serbuk cili. Saya rasa, resepi begini pun sudah memadai memandangkan anak-anak berebut kuahnya...yang harum...

Tiada ulasan: