Ikan Jenahak Sup Dengan Daun Selasih
9:02 PTGSelamat malam semua pengunjung.... malam ini Amie masak ala kadar saja sebab sehari suntuk menghabiskan masa dalam perjalanan pergi dan balik dari Lahad Datu-Tawau-Lahad Datu ikut rombongan meminang sekaligus hantaran. Alhamdulillah, semuanya selesai tapi masih Amie fikirkan betapa belanja kahwin sekarang ini melambung tinggi... asyik fikir tentang benda tu, nanti lauk makan malam tak siap pulak. Suami kata dia sangat letih memandu dan ingin melelapkan mata sekejap. Sebenarnya kalau boleh Amie pun nak terus tidur tapi.... Amie rasa, letih Amie letih lagi dia. Anak-anak pun macam tak ada mood untuk makan, maklum sepanjang perjalanan asyik mengunyah segala bekalan yang dibawa. Malam ini Amie masak sup ikan jenahak yang masih segar dari pasar ikan Tawau. Teringat bau segar daun selasih dalam sup ayam, Amie cuba daun selasih dalam sup ikan pulak. Harap sup ikan jenahak dengan daun selasih Amie akan membangkitkan selera makan seisi keluarga yang sedang keletihan.
Bahan-bahan:
3 keping ikan jenahak
10 batang babycorn (belah 2)
2 biji tomato (belah 2)
4 tangkai daun selasih
2 batang serai (diketuk)
5 biji bawang putih (tumbuk kasar)
5 biji bawang merah (tumbuk kasar)
3cm halia muda (tumbuk kasar)
2 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
1 sudu lada putih (tumbuk halus)
garam & perasa
4 sudu besar minyak jagung
7 biji cili padi (jika suka)
3 biji limau kasturi (jika suka)
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk kecuali lada putih. Masukkan sekali bunga lawang, serai dan kulit kayu manis. Goreng hingga wangi.
2. Masukkan 600ml air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan jenahak dan masak selama 5-7 minit.
4. Masukkan lada putih, garam dan perasa.
5. Masukkan babycorn, tomato dan cili padi.
6. Sup ikan jenahak siap untuk dihidangkan.
Perahkan air limau kasturi jika suka. Jika suka pedas, pecahkan cili padi sewaktu makan bersama nasi.
Oleh kerana isi ikan jenahak sangat lembut, jangan terlalu lama memasaknya, nanti hancurrrrr.... Bagi yang sudah biasa gunakan daun sup dalam masakan, apa kata sesekali gunakan daun selasih pula. Sekali dua mungkin sukar sedikit untuk menerimanya, tapi lama-lama macam Amie....suka...
0 comments