Nasi Beriani Jagung
8:17 PTGSelamat malam semua.... kalau di semenanjung baru nak masuk Maghrib tu, tapi kami di Sabah dah lepas Isya'...maklum di sebelah pantai timur, matahari terbenam lebih awal. Paling syok bila bulan puasa. Biasanya seminggu nak raya, kami sempat berpuasa di kampung bonda di Selangor... terkulat-kulat tengok anak-anak kena tunggu satu jam lebih lama untuk berbuka... apa tidaknya, kalau di sini buka puasa lebih kurang pukul 6 ... Cerita pasal bulan puasa pulak dah...ha... ini pasal resepi saya hari ini, patutnya masak-masak begini pada hari Ahad, tapi kelmarin ada urusan, kira qada' hari inilah ye. Saya buat nasi beriani jagung. Mungkin resepi saya agak berbeza sedikit sebab saya tidak gunakan minyak sapi. Sesetengah orang kurang menggemari rasa dan bau minyak sapi, tetapi itu bukan halangan untuk menikmati nasi beriani. Dan sebenarnya saya pernah bertanya kepada seorang taukeh restoran India Muslim tentang resepi nasi beriani...katanya, gunakan santan kelapa dalam masakan itu. Jarang pula saya dengar sesiapa yang masak nasi beriani menggunakan santan. 11 tahun lalu ketika saya mengandung anak ketiga, saya suka sangat makan nasi beriani tapi tak larat nak masak. Suami yang pengasih dan penyayang pun belilah nasi beriani untuk saya setiap hari, tapi setiap kali saya makan, macam-macam rupa dan rasanya. Suami kata, dia malu hari-hari beli nasi beriani di restoran yang sama... rupa-rupanya hampir semua restoran India Muslim dimasukinya setiap hari untuk mendapatkan sebungkus nasi ... he he he.... tapi tak ada pun satu bungkus yang sama dengan nasi beriani masakan saya seperti di bawah ini.
Kita cerita dulu tentang nasi beriani jagung. Kalau anda gunakan beras basmathi, hasilnya mestilah cantik sebab beras basmathi kurus panjang dan berderai. Bagaimanapun, beras siam atau beras wangi, atau juga beras cap roda pun tidak jadi masalah. Bezanya bila kita gunakan beras basmathi, kuantitinya bertambah 3 kali ganda sebab beras ini kuat makan air berbanding beras biasa.
Bahan-bahan untuk nasi beriani jagung:
4 cawan beras (sukatan rice cooker)
1 tin susu cair
300ml air
1 bungkus rempah beriani (Maggie)
1 tin jagung
1 labu bawang besar (hiris)
5 biji bawang putih (hiris)
3cm halia (hiris)
5cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 sudu marjerin
2 helai daun pandan
Bahan-bahan untuk kari ayam:
500 gram ayam (potong ikut suka)
400 ml santan cair
200 ml santan pekat
5 biji kentang (potong 2)
1 paket kecil serbuk kari
2 biji tomato (cincang)
1 labu bawang besar (cincang)
5 biji bawang putih (cincang)
3cm halia (cincang)
5 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
beberapa helai daun kari
1 sudu pati asam jawa
garam & gula
minyak
Bahan untuk acar:
1/2 biji timun (hiris)
1 biji sengkuang (hiris)
1/2 biji nanas (hiris)
2 biji lada merah (hiris)
2 biji lada hijau (hiris)
1 labu bawang besar (hiris)
1/2 cawan kacang tanah yang telah ditumbuk
1 biji telur ayam rebus
3 sudu perahan air limau kasturi
3 sudu gula
1 sudu garam
Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus. Sementara itu panaskan marjerin di dalam kuali.
2. Goreng bawang putih, bawang besar, halia, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga serta daun pandan hingga wangi.
3. Masukkan rempah kari beriani dan kacau sebati.
4. Masukkan beras dan terus gaul.
5. Masukkan susu cair serta air dan kacau beras sekali sekala sehingga kembang dan kering.
6. Masukkan beras yang telah kembang tadi ke dalam periuk pengukus dan masukkan sekali jagung tin.
7. Kukus antara 20-25 minit. Sekiranya nasi masih keras tambah sedikit air panas dan kacau nasi serta tutup periuk pengukus rapat-rapat.
Inilah hasilnya nasi beriani jagung tu.... kalau guna pengukus hasilnya memang dijamin... tak lembik dan tak keras sebab guna wap....Wokey..di bawah ini cara menyediakan kari ayam pula... maaf saya tidak masukkan lada kisar.....(memang kurang minat campur lada - tapi saya masukkan tomato segar)
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, halia, kulit kayu manis,bunga lawang dan buah pelaga serta tomato hingga pecah minyak.
2. Masukkan serbuk kari bersama daun kari (serbuk kari tidak perlu dibancuh dengan air).
3. Masukkan ayam bersama kentang dan gaul sebati hingga ayam layu.
4. Masukkan santan cair bersama pati asam jawa.
5. Apabila kentang hampir empuk, daging ayam juga masak. Masukkan santan pekat.
6. Masukkan garam dan gula.
7. Terpulang kepada anda....kalau rasanya masakan kari sudah masak...bolehlah angkat dan masukkan dalam bekas seperti di bawah ini.
Saya memang suka masak kari pekat-pekat.... sebab sedap. Pertama kali makan kari yang pekat begini dan terasa beza kelazatannya semasa membawa anak murid meraikan kemenangan rumah sukan Kinabalu (saya ketua rumah waktu itu... tahun 1993), kami menjamu selera di Hotel Mido...sekarang hotel tu dah tak ada, digantikan Hotel Silam. Dan... tidak ada rasa pedas dalam kari tu...
Ha...sekarang tinggal acarnya pula. Saya teringin makan acar yang orang kampung buat masa kenduri-kendara di kampung, tapi tak juga terbuat-buat. Rasanya acar tu sangatlah sedap...dipotong nipis-nipis segala timun, sengkuang dan nenas, dicampur dengan bawang merah, lada hijau dan lada merah dan memang saya belum pernah acar buatan masyarakat kampung saya di tempat lain kerana acar tu ada udang keringnya... Petang ini saya buat acar yang sudah bercampur aduk latar belakangnya. Pertama kali melihat acar di sini, saya sangka timun masak lemak...anak murid bawa ke rumah saya untuk sambut hari jadinya (dia tumpang rumah saya). Ibunya masak semua makanan termasuk acar itu sekali. Ha...3 tahun lepas terjumpa semula bekas murid saya tu... dah jadi Penolong Pengarah Lembaga Akreditasi Negara. Itu cerita lama dah... pernah sekali murid-murid perempuan datang rumah tolong masak, saya biarkan mereka buat acar... dicampurnya pula dengan lada hitam. Hmmm.... hasil segala campur aduk pengalaman dan rasa...inilah hasil acar saya...
Macamana nak buat acar macam dalam gambar tu...siap berkuah sekali ye...
1. Masukkan semua bahan hiris ke dalam mangkuk dan gaul bersama satu sudu garam.
2. Perap selama 15 minit.
3. Cuci bahan perap dengan air dan toskan.
3. Telur rebus dihiris nipis dan masukkan ke dalam mangkuk bersama bahan perapan tadi.
3. Masukkan 3 sudu gula (jangan masukkan garam)
4. Masukkan perahan air limau kasturi. Gaul rata.
5. Akhir sekali masukkan kacang tanah tumbuk. Biarkan sekurang-kurangnya 5 minit... dan keluarlah kuahnya tu....
Selamat mencuba... jangan takut...dijamin sedap sebab kacang tanah tu yang buatnya rasa lebih ummpphhhh...
0 comments