ADSENSE

Sabtu, 12 Februari 2011

Laksa Lemak Nyonya

Hai....selamat petang Sabtu...jumpa lagi dan moga-moga semua sihat sejahtera. Walaupun hari ini hari Sabtu, tapi kena turun kerja juga. Anak-anak terlibat dengan aktiviti kokurikulum sehingga jam 12 tengahari. Ingatkan jam 12 boleh pulang sama-sama, rupa-rupanya agenda mesyuarat baru masuk yang kedua. Apa tidaknya, patut mula jam 8 tertunda  hingga angka 10...hmm..no komenlah. Terpaksalah saya telefon 'baba' ... kalau boleh dia keluar sebentar dari sekolahnya, ....tolonglah hantar anak pulang dulu...mesyuarat saya lama lagi nak habis.....Hmm.... Saya tak berminat untuk memikirkan hal itu. Keluar dari kawasan bertugas, saya sangkut segalanya di atas pagar... saya pulang ke rumah untuk beri tumpuan kepada keluarga tanpa membawa segala permasalahan dari tempat kerja. Itulah saya... selagi kerja belum beres, saya pasti akan bereskan semuanya... mesti beres....dan  (minta maaf) saya tidak benarkan kerja itu masuk melewati pagar rumah... hari ini, hampir 2.30 petang baru sampai rumah. Saya fikirkan tentu anak-anak menunggu saya dalam keadaan lapar (saya sempat beli bahan makanan yang boleh dimasak segera)....ohh..semuanya tidur ....dalam keadaan lapar ke? Saya kejutkan satu persatu, tapi semuanya tidur semula.Kasihan...mungkin letih selepas mengikuti 3 aktiviti kokurikulum. Saya ke dapur untuk masak sesuatu yang mudah....tapi...ah, patutlah semua tidur....rupanya sudah kenyang! Sinki penuh dengan kulit-kulit telur. Pembungkus maggi bertaburan di sana sini.... 'baba' sudah ambil tanggungjawab dengan caranya yang tersendiri.... Saya tidak jadi masak sebaliknya duduk sebentar di ruang tamu...termenung sebentar kerana letih dan sedang berfikir apa perlu dilakukan selepas berehat seketika. Teringat bahan-bahan yang baru dibeli...mee kuning, tofu kering, udang kertas, fish cake...bla..bla..bla...tak jadilah nak buat mee goreng. Macam terpandag-pandang resepi yang saya belek-belek dua tiga hari lepas berkaitan dengan mee.... saya bongkar sebentar timbunan buku dan akhirnya sebuah buku resepi 'chef'' yang saya beli daripada Liew Vui Ling beberapa tahun lepas saya tatap...muka surat 85...Masakan Nyonya: Laksa Lemak Nyonya. Congak itu ini, rasanya sebahagian besar bahan ada di dapur kecuali taugeh, telur (tinggal sebiji) dan belacan..... serta kelapa parut.....Telefon 'baba'...balik petang nanti singgah beli bahan-bahan yang saya sebutkan ye.... Jam 5 petang 'baba' sampai dan lengkaplah hidangan saya petang ini.....



Menyediakan masakan ini nampak agak cerewet tetapi kalau kita bijak kita boleh permudahkannya. Misalnya, kita boleh sediakan lebih awal bahan-bahan asas seperti bawang kisar,halia, lada dan sebagainya di dalam peti sejuk. Ini sangat membantu menjimatkan masa terutama golongan wanita yang hidupnya kelam kabut sepeti saya.... Bonda saya pesan, kalau masak sesuatu, tinggalkan sedikit... saya tak faham maksud bonda. Sekarang saya faham, sebab hari ini saya perlukan sedikit timun sebagai salah satu bahan laksa lemak nyonya saya dan saya dapati ada setengah biji timun lebihan saya buat kerabu mangga udang dua hari lepas. Daun kesum saya sudah agak kering, tapi saya masih ada simpanan bunga kantan, jadi saya tiada masalah untuk mencari yang lain. Masaklah saya dengan senang hati sambil menyanyi lagi Langit Biru nyanyian Sanisah Huri (Djuwita).... hari-hari rasanya dalam syurga... sebagai mimpi yang tak jaga-jaga... He he...lupa pulak nak tulis bahan laksa lemak nyonya....

Bahan-bahan:
500 gram mee kuning (celur)
500 gram ayam (rebus dan potong nipis-nipis)
200 gram udang
10 keping tofu kering (hiris-hiris)
2 keping fish cake (potong nipis)
100 gram kacang tanah (goreng dan kisar halus)
400 ml cawan santan pekat
4 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan
800 ml air
1 sudu teh pati asam jawa
4 sudu besar minyak masak

Bahan kisar:
10 biji lada kering
7 biji bawang putih
7 biji bawang merah
3cm halia
3 cm lengkuas
1.5 cm belacan

Bahan hiasan:
200 gram taugeh (celur)
1/2 batang timun (cincang)
5 biji telur rebus (belah 2)
limau kasturi (belah 2)
sambal belacan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan pati asam jawa.
3. Masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan tofu kering dan udang dan perlahankan api.
5. Masukkan kacang tanah kisar diikuti dengan santan pekat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau kuah hingga masak.
6. Letakkan mee di atas mangkuk atau pinggan yang sesuai. Susun hirisan ayam, serta bahan hiasan lain dan tuangkan kuah ke atasnya.
7. Enak dimakan bersama sambal belacan dan perahan air limau kasturi....

....kami sekeluarga makan laksa lemak nyonya...dan nampaknya saya tidak perlu masak nasi....kepada yang belum mencuba resepi ini, dipersilakan....

Tiada ulasan: