ADSENSE

Sabtu, 19 Februari 2011

Cekodok Pisang & Coffee Plus

Sesikat pisang berangan hampir masak ranum terletak di hujung meja makan sejak dua hari lalu.... Amie terfikir untuk buat cekodok. Hmm...2 tahun lepas Amie terlibat sebagai pengadil pertandingan memasak sempena aktiviti RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) di SMK Sepagaya anjuran bersama SM St. Dominic. Ini merupakan salah satu aktiviti di antara 7 aktiviti lain termasuk menganyam ketupat, sepit bola ping pong dan sebagainya. Penganjur menyediakan segala kelengkapan memasak cekodok pisang termasuk segala pisang, garam, gula, minyak dan sampai dapur sekali... he he pertandingan di adakan di bilik ERT. Ada 6 buah dapur disediakan di situ. Macam-macamlah rupa bentuk dan rasa cekodok pisang yang dihasilkan oleh para peserta yang terdiri daripada murid pelbagai kaum. Kenyanglah kami para pengadil makan cekodok pisang. Ha... sekadar terkenang cerita lalu sebab sekarang RIMUP sudah tidak diadakan lagi di sekolah-sekolah. Petang ini Amie buat cekodok pisang tapi yang mengadili anak-anak dan suami pula. Kalau habis, tandanya sedaplah tu, tapi mungkin juga sebab lapar....maklum petang-petang begini...hujan...


Bahan-bahan:
7 biji pisang berangan (lecek anggaran 1 cawan)
2 cawan tepung (Amie gunakan tepung pau untuk habiskan stok)
2/3 cawan gula perang (gula pasir pun boleh)
secubit garam
1 sudu teh tepung soda bikarbonat
100ml susu cair
minyak

Cara:
1. Gaulkan pisang lecek bersama gula perang dan garam hingga sebati.
2. Masukkan susu cair diikuti dengan tepung dan soda bikarbonat. Gaul hingga mesra.
3. Panaskan minyak yang banyak supaya boleh goreng tenggelam.
4. Oleh sebab adunan ini manis, perlu jaga gorengan supaya tidak hangus.
5. Hidangkan bersama minuman pilihan anda.

Tiada ulasan: