ADSENSE

Selasa, 29 Januari 2019

Cara Masak Asam Pedas Tempoyak Ayam

Salam sejahtera buat semua.
Jumpa lagi kali ini dengan paparan resepi Ayam Masak Asam Pedas Tempoyak.
Beberapa hari tidak masak di dapur dan lebih seminggu tidak memegang kamera, rasa agak kekok juga...hiks!
Alhamdulillah, dua anak bujang Fairuz dan Fuad sudah boleh diharap untuk menyediakan hidangan makan kami sekeluarga. Secara tidak langsung, berkuranganlah pula perkongsian resepi di dapur maya ini. Apa pun, Fuad hanya bersama kami selama sebulan, menghabiskan cuti semester pertamanya sebelum kembali ke UTHM pada 14 Februari 2019 nanti.

Ketika masakan Asam Pedas Tempoyak Ayam ini sedang mendidih, terbit aromanya memenuhi ruang dapur. Anak-anak tidak sabar untuk menikmatinya. Alhamdulillah, menu ini diterima baik oleh seisi keluarga.
Mari kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
2 kepingan ayam bahagian peha - potong menjadi 8 
4 sudu besar tempoyak
10 tangkai kesum
3 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugur (tak bubuh pun tidak apa kalau tempoyak sudah masam)
1.3 liter air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup
1 cm halia

Sebenarnya Amie ingin masak asam pedas tempoyak ikan, tapi Encik Suami pulang dengan ayam. Katanya tidak ada ikan yang Amie kehendaki. Lagi pun sekarang memang kekurangan ikan di pasar. Tidak jadi masalah. Tidak ada ikan, ayam pun boleh kita masak asam pedas tempoyak.

Boleh kurangkan jumlah tempoyak atau lebihkan kuantiati air kalau inginkan kuah asam pedas tempoyak yang agak cair, sebab tempoyak akan menjadikan kuah pekat.

Nak tambah bunga kantan pun boleh untuk tambah aroma. Amie hanya ada daun kesum. Jadilah tu...hiks! Serainya pula kurus-kurus, jadi Amie gunakan 3 batang.

Ini bahan kisar, termasuk cili kering, cili padi, bawang putih, bawang merah, kunyit dan halia. Kalau tak mahu pedas, tak payah tambah cili padi. Nak bubuh lada hitam atau lada putih pun boleh.

Cara memasak:
1. Masukkan air ke dalam periuk bersama kesemua bahan kisar, serai, daun kesum dan ayam.
2. Masak di atas api dapur dengan api sederhana sehingga daging ayam empuk.
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

4. Padamkan api dapur dan Asam Pedas Tempoyak Ayam sedia untuk dihidangkan.

3 ulasan:

norhidana miswan berkata...

aduhai bestnya kak, dhla bau msti semerbak harum

Maria Jaberi berkata...

menggoda pulak asam pedas tempoyak akak....nanti saya cuba yang ni..semalam pun kita berlaukkan tempoyak gak..sambal bilis tempoyak & petai....

Unknown berkata...

hari ni baru berkesempatan buat asam pedas ayam bubuh tempoyak...mak aii..sedap giler..terbaik laa