ADSENSE

Sabtu, 5 Januari 2019

Nasi (Beras Bario) Goreng Durian Merah

Sesekali masak nasi menggunakan beras Bario memang sedap!
Selain bentuknya yang agak bulat, kecil dan cantik rasanya juga enak.
Amie masak gunakan rice cooker, sukatan air sama dengan sukatan cawan.
Dan , walaupun entri masak-masak ini Amie paparkan di sebelah malam, sebenarnya Nasi (Beras Bario) Goreng Durian Merah ini masakan untuk sarapan pagi tadi.
Cerita tentang durian merah yang Amie jadikan perencah nasi goreng kali ini pula bolehlah klik di sini: DURIAN MERAH

Cantiklah pula warna nasi goreng berperencah durian merah ini! (Perasan pulak...ahakas)

Inilah rupa beras bario yang Amie gunakan untuk dimasak menjadi Nasi Goreng Durian Merah!
Mari kita lihat resepi Nasi Goreng Durian Merah di bawah ini.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih (nasi Bario)
1/2 batang lobak merah - hiris bulat
7 batang kacang buncis - hiris serong
1 cawan ikan bilis - digoreng
1/2 cawan isi durian merah
garam / perasa pilihan secukupnya
3 sudu besar minyak

Bahan tumbuk:
7 biji cili padi
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan isi durian merah dan perlahankan api dapur. Tumis lagi sehingga isi durian hancur dan pecah minyak.
3. Masukkan lobak merah dan kacang buncis. Gaul sebati.
4. Kemudian masukkan nasi, gaul rata dan tambahkan garam / perasa pilihan.
5. Jangan lupa masukkan ikan bilis goreng dan kacau sekali dua.
6. Padamkan api dapur.

Fairuz kata Nasi Goreng Durian Merah sedap!

Tiada ulasan: