Udang Goreng Kunyit
4:05 PTG
Rindu nak masuk dapur!
Maklumlah, beberapa hari dapur tak berasap sebab tuan tanah keluar bermesyuarat selama 4 hari di luar daerah. Hari ini berkesempatan untuk turun padang, melihat suasana dapur yang tidak sepertinya....hiks! Itulah gaya kerja dapur anak bujang, Fairuz! Apa pun, terima kasih Fairuz kerana sepanjang ketiadaan Mommy, boleh diharap sekurang-kurangnya untuk masak nasi, goreng ikan, goreng ayam serta goreng telur dadar di dapur untuk santapan Firdaus dan Encik Suami.
Hari ini juga, merupakan hari pertama Fuad pulang bercuti selama sebulan.
Alhamdulillah.
Walaupun Farid sudah kembali ke UTP pada 2 Januari 2018, tapi seminggu kemudian Fuad pula ada bersama kami.
Kali ini Amie kongsikan resepi yang sangat mudah untuk hidangan keluarga, iaitu Udang Goreng Kunyit. Kelmarin sempat beli udang di Pasar Ikan Tawau, tapi tak beli sayur-sayur yang banyak dijual di Pasar Tanjung. Amie fikir tidak perlu beli sayur sebab sebelum ke Tawau, rasanya dalam peti sejuk sudah bersusun sayuran yang kami beli di Kundasang sewaktu bercuti bersama Farid ke Kota Kinabalu. Harap masih ada sayur yang elok untuk dimasak.
Akhirnya dapat jugalah Amie cari sayur buat peneman udang kertas. Ada sebungkus kacang manis yang masih elok, dan juga lobak merah. Jom kita mulakan kerja memasak Udang Goreng Kunyit.
Bahan-bahan:
400 gram udang kertas - gunting muncungnya - gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - biarkan selama 15 minit
25 biji kacang manis - bersihkan - kerat hujungnya dan tarik urat tepi yang keras
1/2 batang lobak merah - hiris bulat
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar minyak
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 tangkai cili merah
Udang kertas yang sudah diperap.
Kacang manis. Kalau nak potong serong atau potong pendek pun boleh.
Lobak merah ini kalau nak hiris panjang pun boleh.
Ikut citarasa masing-masinglah ye.
Bawang besar tu hiris kasar-kasar jew.
Dah cukup semua bahan?
Mari kita masak.
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga terbit bau.
2. Kemudian masukkan udang bersama lobak merak.
3. Gaul rata dan biarkan masak sehingga udang berubah warna.
4. Masukkan kacang manis, diikuti dengan sos tiram.
5. Kacau beberapa kali sehingga kacang manis berubah warna. Jika kurang rasa masin, bolehlah tambah garam. Amie tak bubuh garam sebab sewaktu memerap udang, sudah ada garamnya!
Udang Goreng Kunyit dah siap!
Jom makan dengan nasi panas.
Bismillah.
0 comments