Oleh-Oleh Miri
10:52 PGBismillahirrahmanirrahim.
Walaupun berlangsung sambutan Hari Gawai, tetapi kami berpeluang untuk membeli-belah di beberapa buah premis perniagaan di Miri. Sebelum ini kami mencari Oleh-Oleh Bintulu, kali ini kami mencari Oleh-Oleh Miri pula.
Miri bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, tetapi titik budaya yang menghimpunkan warisan etnik Sarawak dalam bentuk seni visual dan ekonomi kreatif. Hampir kesemua kraftangan dihasilkan secara manual tanpa menggunakan mesin, menjadikan setiap item unik, penuh nilai emosional dan seni.
Miri dicanangkan sebagai hab kraftangan utama Sarawak, khususnya wilayah utara kerana kedudukannya yang strategik berhampiran dengan Brunei dan Sabah serta akses penerbangan langsung dari Sungapura.
Video, selepas sarapan terus mencari oleh-oleh Miri.
Sebenarnya banyak keistimewaan budaya dan etnik serta tradisi kesenian di sini. Cuma, Amie tidak cukup ilmu dan pengetahuan untuk menghuraikannya. Melalui sembang bicara ringkas dengan peniaga di sini, dapatlah disimpulkan ragam kraftangan datangnya dari etnik Penan, iban, Orang Ulu, Bidayuh, Melanai, Melayu dan sebagainya.
Marilah kita saksikan gambar-gambar hasil kfartangan yang halus dan penuh sentuhan tradisi!
Pelbagai jenis dan bentuk beg anyaman ini dikatakan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa seperti Jerman, Switzerland, New Zealan, Jordan dan Australia.
Walaupun peniaga di sini terangkan tentang beberapa jenis batik motif etnik tetapi Amie kurang faham. Maklumlah datang buat pertama kali dan melihat banyak pula hasil seni di sini, jadi kepala pun naik bingung. Mereka terangkan tentang motif Puan Kumbu (Iban), motif Orang Ulu yang terkenal dengan corak spriral, flora dan fauna seperti naga dan burung enggang serta geometri.
Antara motif alam semula jadi termasuklah flora iaitu corak daun paku, orkid hutan, bunga raya Borneo dan padi. Manakala corak fauna pula terdiri daripada buaya, ikan, rusa, gajah Borneo serta burung Sarawak iaitu kenyalang.
Orang Ulu banyak menghasilkan manik-manik halus yang digunakan dalam adat, pakaian dan perhiasan.
Industri kraftangan di sini sudah tentulah memberikan peluang pendapatan tambahan kepada komuniti setempat serta memperkukuhkan ekonomi tradisional. Kami, tidaklah melepaskan peluang memberi bakul yang cantik-cantik di sini!
2 comments
Kraftangan sana semuanya cantik2 belaka. Semua rasa nak beli buat kenangan. Teringin nak ke sana.
BalasPadamcomel beg kaler putih tu...beg2 lain pun cantik...design etnik, signature negeri Sarawak...
BalasPadam