Makan Nasi Pulao Di Kedai Makan Pakistan
10:00 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Pagi tadi tidak sempat siapkan bekal sarapan sebelum masuk ladang. Syukur Ahamdulillah, ada penoreh yang kongsi kuih yang dibeli, dapatlah makan dua biji karipap sebelum masuk kelas. Hari ini kelas penuh sampai waktu rehat. Hendak ke kantin, sibuk pula orang kantin layan murid membeli. Jadi, perut pun terus kosong sampai waktu balik sebab kelas kita memang penuh sampai tengah hari.
Perut lapat memang tak boleh bawa bincang! Selepas hantar Firdaus ke sekolah agama, terus ajak Encik Suami singgah Kedai Makan Pakistan. Ini sahajalah kedai makan paling hampir dengan ladang, dan kalau makan di sini tidaklah menunggu begitu lama hidangan sampai ke meja.
Ketika kami sampai, ada pula tuan kedainya. Agak lama juga tidak nampak kelibatnya kerana katanya dia sibuk menguruskan kedai runcit yang baru dibuka. Dia perkenalkan nasi pulao. Amie kata Amie pernah makan nasi pulao di Pakistan : Makan Burung Merpati ( Puyuh? ) & Nasi Afghan (Kabuli Palaw / Qabili Pulao)
Sempat pulalah Amie tanya nama-nama masakan yang kami pesan. Kemudian Amie rujuk Pak Google untuk lebih jelas dan sewaktu menulis entri ini rasa seronoklah dapat kongsi info dan masakan yang original dari tuan kedai.
Nasi Pulao |
Nasi palao (kadang dieja pulao atau pilaf) ialah sejenis hidangan nasi yang berasal dari Asia Tengah dan Asia Selatan, dan kini popular di banyak negara termasuk India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Turki, dan kawasan Tanah Arab.
Nasi pulao dimasak menggunakan beras basmathi bersama rempah seperti jintan, bunga lawang, kayu manis, cengkih, ketumbar dan lada hitam. Boleh juga ditambah sayur-sayuran, daging kambing, ayam, lembu, atau makanan laut.
Semasa menghidang, kadang-kadang nasi pulao dihias dengan kismis, badam, atau kacang untuk rasa manis dan garing.
Sekarang Amie faham beza nasi pulao dengan nasi briyani. Cara masak nasi pulao ialah beras dan lauk (daging, ayam, sayur) dimasak bersama dalam satu periuk dengan rempah dan stok. Rempahnya ringan dan tidak terlalu banyak lapisan rasa.Tekstur nasinya lembut, kadang agak basah kerana dimasak dengan stok.
Hidangan nasi pulao lebih ringkas dan sesuai dijadikan hidangan harian.
Cara masak nasi briyani pula nasi dan lauk dimasak berasingan, kemudian disusun berlapis-lapis (beras + lauk + rempah + minyak sapi), lalu dikukus. Rempahnya lebih berat, banyak guna rempah aromatik dan kadang ada pewarna seperti kunyit atau safron untuk warna lebih cantik. Tekstur nasinya nampak berbutir, kering dan berlapis. Nasi briyani merupakan hidangan mewah, biasanya untuk majlis atau perayaan.
Teh Pakistani sejuk & panas. |
Roti Paratha Pakistan |
Walaupun ada nasi pulao, Encik Suami tetap memilih roti paratha Pakistan yang dicintainya itu. Nasi pulao sudah ada rasanya yang tersendiri, dan terdapat hirisan kecil daging dan ayam di dalamnya tetapi Amie makan juga dengan lauk-pauk pilihan kami seperti aloo bhindi, chana masala, ojri gosht dan daging roasht.
Aloo Bhindi |
Chana Masala |
Ojri Curry @ Ojri Gosht. |
Ojri Curry @ Ojri Gosht |
Kari Perut Pakistan dikenali dengan nama Ojri Gosht. Perut lembu dimasak dengan bawang, tomato, halia, bawang putih dan rempah seperti jintan, ketumbar, cili dan kunyit dan garam masala.
Daging Roasht |
Daging rosh @ roasht @ roshht yang selalu kami makan di sini merujuk kepada hidangan tradisi dari Khyber Pakhtunkhwa dan kawasan Pashtun di Pakistan. Daging akan dimasak rebus perlahan dan berkuah jernih. Hal ini kerana tidak banyak rempah yang digunakan seperti kari. Hanya garam, bawang putih, sedikit lada, minyak sapi dan tomato. Ia dimasak dalam periuk tertutup lama-lama sehingga daging lembut. Adakalanya seolah-olah hampir seperti masakan stew pula.
Kuahnya nampak jernih, ringan dan berminyak, empuk dengan rasa daging yang asli.
Nasi Pulao sesuai dijadikan hidangan harian. |
0 comments