Menyeberangi Ponte 25 de Abril dan Bom Dia Lisbon!
8:09 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Gambar-gambar yang Amie paparkan di bawah ini agak gelap. Begitulah suasana sebenar ketika kami meninggalkan Setubal, menuju Almada dan menyeberangi Jambatan Ponte 25 de Abril untuk sampai ke Lisbon. Untuk sampai ke Lisbon ada dua jambatan pilihan yang boleh dilalui:
- Ponte 25 de Abril – jambatan merah ikonik, reka bentuknya seperti Golden Gate di San Francisco. Laluan utama dari Setúbal → Almada → Lisbon.
- Ponte Vasco da Gama – jambatan lebih panjang (sekitar 17 km, yang terpanjang di Eropah). Laluan masuk Lisbon dari arah timur, biasanya elak trafik.
Menurut Mbak Watie, Ponte 25 de Abril di Lisbon direka oleh firma kejuruteraan Amerika Syarikat, United States Steel International (New York), dengan kerjasama jurutera Portugis. Arkitek utamanya ialah firma Steinman, Boynton, Gronquist & London (Amerika), yang juga pernah terlibat dalam projek jambatan terkenal lain.
Pembinaannya pula diketuai oleh Consórcio United States Steel Export Company bersama syarikat Portugis. Jambatan ini sering dibandingkan dengan Golden Gate Bridge di San Francisco kerana reka bentuknya hampir serupa, malah syarikat yang sama juga terlibat dalam pembinaan kedua-duanya.
Gambar diambil dari dalam bas ketika melintasi Ponte 25 de Abril. |
Barangkali disebabkan suhu rendah, matahari lambat menampakkan diri, jadi suasana seperti dilindungi kabus. Pemandangan agak kelam.
Muara sungai yang sangat luas. |
Peta dari Almada menyeberang sungai menuju ke Lisbonne (Lisbon @ Lisboa). |
Ponte 25 de Abril dibina merentasi Sungai Tagus (Rio Tejo), iaitu sungai terpanjang di Semenanjung Iberia. Sungai ini mengalir dari Sepanyol, masuk ke Portugal, lalu melebar menjadi muara yang luas sebelum bertemu Lautan Atlantik di Lisbon. Bahagian tempat binaan jambatan itu kelihatan seperti selat tetapi sebenarnya bukan selat. Hal ini disebabkan sungainya sangat lebar dan hampir menyerupai laut.
Sekarang kami menghampiri ke seberang setelah melalui Ponte 25 de Abril sejauh 2.3 kilometer. Jarak clearance di bawah jambatan lebih kurang 70 meter dan membolehkan kapal besar lalu di bawahnya.
Pemandangan dari dalam bas ketika kami hampir ke seberang. |
Asalnya, jambatan ini dibuka pada 6 Ogos 1966 dan dinamakan Ponte Salazar, sempena António de Oliveira Salazar, diktator Portugal ketika itu. Nama itu dipilih bagi menghormati rejim Estado Novo. Namun, pada 25 April 1974, berlaku Revolusi Bunga (Revolução dos Cravos), satu revolusi aman yang menumbangkan pemerintahan diktator Salazar (walaupun ketika itu beliau sudah sakit dan tidak berkuasa lagi).
Selepas revolusi berjaya, jambatan itu ditukar nama menjadi Ponte 25 de Abril sebagai simbol kebebasan dan demokrasi, mengenang tarikh bersejarah yang mengubah haluan politik Portugal. Jadi, jambatan ini bukan sekadar penghubung Setúbal - Lisboa, tapi juga monumen hidup bagi rakyat Portugal tentang jatuhnya diktator dan lahirnya kebebasan.
Matahari masih belum munculkan diri, atau mungkin ketika ini mendung!
Di hujung jambatan, sambil mata fokus ke laut, kelihatan Lisbon semakin hampir dengan bukit-bukit dan bangunan pastel, menara gereja, dan kubah putih Basilica da Estrela di kejauhan. Semua itu membuatkan suasana seperti lukisan hidup.
Dengan penerangan bersungguh-sungguh daripada Mbak Watie sepanjang melalui Ponte 25 de Abril, kami merasakan suasana yang unik dengan gabungan laut luas, kapal besar dan kapal kecil, burung yang berterbangan, dan bandar Lisbon yang muncul perlahan-lahan.
Selamat datang ke pinggir Lisbon!
Beginilah rupa negara Portugal, tempat kami sedang menuju ke ibu kotanya iaitu Lisbon setelah menempuh perjalanan dari Setubal dan Almada.
Sempat mengintai suasana di pinggir jalan yang kami lalui.
Ketika ini jam menunjukkan lebih kurang pukul sembilan pagi. Nampak sunyi sepi pula. Eh, orang Portugis belum bangun tidur ke?
Jom belajar perkataan Portugal : aeroporto bermaksud airport.
Untuk sampai ke Lisbon, selain menggunakan bas atau kereta boleh juga naik tren Fertagus dari Setubal ke Lisbon. Tren juga akan melalui Ponte 25 de Abril.
Kami sudah sampai ke Lisbon!
Bom dia Lisbon!
Bermaksud Selamat Pagi Lisbon!
Bermaksud Selamat Pagi Lisbon!
Bom Dia Lisbon!
0 comments