Sarapan di Warung Nasi Lemak Guru Besar
12:11 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sekarang kami berada di LD. Malam tadi, giliran di taman perumahan kami mendapat giliran bekalan elektrik pada pukul 11:30 malam sehingga pukul 2:30 dinihari. Rasanya tidak perlulah banyak mengeluh kerana ada perkara lain yang lebih perlu diberi perhatian selain bekalan elektrik terputus. Syukur kepada Allah kerana bekalan air tidak terganggu! Masih boleh mandi, masih boleh mencuci dan masih boleh masak!
Paling menyayat hati selain peristiwa mangsa tanah runtuh, sudah tentulah peristiwa tiga orang pekerja SESB yang hanyut di Kampung Nuntunan. Dua orang berjaya diselamatkan dan seorang lagi masih hilang. Semoga urusan pencarian dipermudahkan.
Dengan ini timbul rasa insaf di hati. Rupa-rupanya pekerja SESB bergadai nyawa untuk memberi keselesaan kepada penduduk pantai timur Sabah. Allahu Akbar! Walaupun kita pelanggan SESB dan sentiasa merasa diri kita betul, perlukan khidmat terbaik namun sesekali perlu juga memikirkan nyawa pekerja tersebut! Mungkin mereka ada isteri, ada anak, ada ibu dan bapa, juga keluarga!
Ya Allah ya Rahman ya Rahim. Segala usaha dan ikhtiar sudah dilakukan. Hanya kepada-Mu kami bertawakkal.
Kelmarin pagi, kami tidak bersarapan di hotel. Rasanya menunya sama sahaja dengan pagi sebelumnya. Tambahan pula dengan pelanggan yang begitu ramai dan agak bersesak, rasa kurang selesa berada di situ. Jadi pada pukul lapan pagi, kami jalan-jalan cari sarapan di warung Nasi Lemak Guru Besar yang terletak di Jalan Dominic.
Rupanya hampir tujuh tahun kami tidak berkunjung ke sini. Amie pernah menulis entri Nasi Lemak Guru Besar di sini:
Nasi Lemak Guru Besar |
Firdaus hendak makan nasi lemak, tetapi pekerja di situ beritahu mereka tidak dapat hidangkan nasi lemak buat masa ini sebab tiada bekalan elektrik untuk mengisar kelapa parut! Oh, tidak mengapalah. Kalau tidak ada nasi lemak tentu ada makanan lain boleh dijadikan sarapan. Antara menu yang kami pesan termasuklah :
- Kacang Pool
- Roti Bakar
- Mi Rebus
- Char Kuetiaw
- Kopi & Milo
Sementara menunggu pesanan siap, ambil gambar dulu di sekitar warung Nasi Lemak Guru Besar. Suasananya masih sama seperti dahulu.
Selamat Datang ke warung Nasi Lemak Guru Besar. |
Warung ini terletak agak tersorok dari jalan besar. Encik Suami memang suka sangatlah sarapan di sini sebab tempat letak kereta pun luas. Banyak pokok kelapa ditanam di tepi warung. Amie lihat pekerja di situ petik buah kelapa dari pokok yang ditanam untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin minum air kelapa. Wah, pagi-pagi sudah cuci perut dengan air kelapa muda!
Satu lagi, angin pagi yang bertiup menjadikan suasana sungguh nyaman sambil tenang-tenang menikmati hidangan yang disediakan.
Tempat letak kereta. |
Banyak meja dan kerusi yang masih kosong. Ketika kami sedang bersarapan, tempat ini mula didatangi pelanggan.
Nasi Lemak Guru Besar dibuka pada pukul lapan pagi. Kami sangka, kamilah pelanggan awal. Rupa-rupanya ada pelanggan yang lebih awal dari kami.
Amie ajak Firdaus jalan-jalan di belakang warung. Di sinilah tujuh tahun lalu Firdaus berlari-lari di taman kecil, dikejar-kejar oleh Fairuz.
Firdaus - 2018 |
Minuman yang dipesan sudah sampai. Kami kembali ke meja.
Firdaus : Milo Panas |
Kopi Hitam |
Set Kacang Pool |
Kacang Pool |
Selalunya kalau hendak makan Set Kacang Pool kenalah tunggu balik Malaya. Alhamdulillah di sini pun ada kacang pool.
Selain Set Kacang Pool, Encik Suami hendak makan roti bakar. Walaupun tidak ada bekalan elektrik tetapi pekerja warung berusaha juga untuk menyediakan roti bakar. Apa bila Amie tanya macamana bakar roti? Katanya, mereka bakar dalam kuali!
Roti Bakar |
Walaupun bakar roti dalam kuali tapi hasilnya tetap cantik!
Mi Rebus |
Sengaja tambah menu Mi Rebus untuk sarapan kami. Encik Suami bersungguh-sungguh makan sampai habis!
Char Kuetiaw |
Walaupun tak dapat makan nasi lemak, Firdaus tukar pesanan kepada Char Kuetiaw. Alhamdulillah. Budak ini tidaklah cerewet makan sampai hendak buang taugeh! Semua dia pulun habis.
Char Kuetiaw |
Bismillah. |
Gambar atas - Firdaus 2025
Gambar bawah - Firdaus 2018
Buah Potong |
Kami tidak bercadang untuk ke mana-mana memandangkan kegelapan jelas di setiap kedai. Akhirnya kami beli buah-buahan potong dan bawa masuk ke bilik hotel. Bolehlah sambung makan sebelum daftar keluar tengah hari nanti.
Buah Potong |
Setakat ini sahaja dahulu yang dapat Amie kongsikan. Amie hanya boleh menulis entri gunakan hotspot dari data mudah alih HP. WIFI memang tidak berfungsi tanpa bekalan elektrik. In syaa Allah, mudah-mudahan bekalan elektrik kembali pulih dalam waktu terdekat dan dapatlah Amie berblogging seperti biasa.
Jumpa lagi.
1 comments
sedih kak ana tengok tragedi tanah runtuh yang berlaku di socmed tu Amie, betul banyak yang perlu kita syukuri dalam hidup ni bila terlibat dalam musibah begini, semoga di permudahkanNya buat semua yang sedang di uji, aamiin
BalasPadam