Selepas Makan Pastel de Nata, Cari Oleh-Oleh Lisbon Pula!
5:57 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Selain Hard Rock Cafe Lisboa, Mbak Watie bawa kami ke Fábrica da Nata di Praça dos Restauradores & Rua Augusta. Kemudian Mbak Watie bawa kami mencari oleh-oleh Portugal di kedai cendera kenangan tidak jauh dari Fábrica da Nata. Memandangkan ketiga-tiga tempat ini tidak terdapat dalam senarai lawatan dan persinggahan jadi kami tidak boleh berlama-lama di sini.
Barangkali kita biasa dengar Egg Tart Portuguese tetapi di sini dipanggil pastel de nata. Amie selalu jumpa 'nata' di Nando's. Itu pun kalau singgah di KLIA2.
Berbalik kepada pastel de nata, ia adalah sejenis kuih tradisional dari Portugal, berbentuk tart kecil berinti kastard telur. Terkenal dengan lapisan kulit pastri yang sangat rangup dan nipis, manakala bahagian dalamnya lembut, manis, berkrim, dengan sedikit rasa hangus karamel di permukaan.
Kalau di Portugal, ia disebut Pastel de Nata manakala versi antarabangsa atau dalam bahasa Inggeris disebut Portuguese Egg Tart.
Pastel de Nata @ Portuguese Egg Tart |
Gambar di atas menunjukkan suasana di luar Fábrica da Nata di Praça dos Restauradores & Rua Augusta. Orang putih memang suka makan di ruangan terbuka sambil menikmati sinaran matahari. Kami lebih suka manikmati hidangan di bahagian dalam restoran.
Video pemandangan dapur Pasta de Nata.
Sebaik sahaja kami melangkah masuk, di sebelah kiri kelihatan seorang pekerja restoran sedang menuang kastard ke dalam kulit pastri. Di ruang sebelah kanan pula penuh deretan pelbagai jenis pastri yang masih panas. Ruangan ini sentiasa dipenuhi pelanggan yang berbaris untuk membeli.
Pemandangan ini terlihat sewaktu kami masuk dan sehingga keluar dari tempat ini. Agaknya sepanjang hari chef ini bekerja. Entah berapa ribu tart yang dihasilkannya! Di tempat lain, sewaktu kami jalan-jalan juga terlihat kedai tart begini!
Kita yang melihatnya pula yang rasa penat!
Inilah antara Pastel de Nata yang baru keluar dari oven tetapi terus habis dibeli pelanggan samada terus makan di sini atau dibawa keluar.
Selain Pastel de Nata biasa (original) ada juga beberapa jenis yang lain seperti Strawberry Pastel de Data. Sebiji Strawberry Pastel de Nata berharga 1.5 EURO. Pastel de Nata yang original 1.4 EURO.
Pastel de Nata @ Portuguese Egg Tart |
Rupanya di sini pelanggan akan dapat resit bayaran dan di situ ditulis sekali nombor pin masuk ke tandas. Sesiapa yang hendak masuk tandas kena bawa sekali nombor masing-masing! Eh, macam gaya di restoran makan di Korea pula.
Macamana rasa pastel de nata? Ada beza dengan pastel de nata @ Portuguese Egg Tart di tempat sendiri? Ya, ada beza sedikit. Pastel de Nata di sini lebih manis! Manis itu benar-benar terasa barangkali disebabkan baru keluar dari oven dan terus dinikmati. Berbeza dengan Portuguese Egg Tart yang selalu Amie beli, sudah tidak panas lagi. Mungkin gula sudah sebati dengan adunan kastard, jadi kurang terasa manis gulanya.
Atau mungkin di sini lebih sukatan gulanya kerana Amie pernah terbaca di musim sejuk biasanya mereka perlu cari lebih tenaga dan gula salah satu daripada sumber tenaga.
Pastel de Nata, panas dari oven. |
The History of Pastel de Nata |
Tentulah Mbak Watie rasa seronok sangat sebab dapat bawa kami ke sini. Sebenarnya tidaklah susah sangat hendak membuatnya kerana bahan asasnya hanya telur kuning, gula, susu atau krim, tepung, dan pastri puff. Cuma, kemalasan itu yang berlebihan untuk mencuba.
Oh ya, cara makan pastel de nata di sini biasanya dimakan panas, ditabur sedikit serbuk kayu manis atau gula aising.
Kata Mbak Watie kalau sampai Portugal tapi tak makan pastel de nata seolahnya tidak lengkaplah kunjungan ke sini. Pastel de Nata adalah simbol manisan Portugal dan boleh ditemui di banyak kafe serta kedai roti, bukan sahaja di Portugal tetapi di seluruh dunia.
Selesai makan pastel de nata, kami bergerak sedikit melintasi beberapa buah kedai dan singgah di tempat jual cendera kenangan. Barangkali disebabkan tergesa-gesa sampai terlupa melihat tanda nama kedai tersebut.
Menurut Mbak Watie, harga di kedai ini lebih murah dan boleh menawar. Sayangnya tidak satu pun yang kami beli boleh ditawar harga! Memang benarlah, di L7
Lisbon semuanya harga mati baik di gerai biasa atau pun di kedai.
Amie tidak sempat ambil gambar frigde magnet dan key chain yang cantik-cantik kerana leka membelek untuk dibeli! Kami tidak punya banyak masa di sini, takut tidak jumpa kedai souvenir, jadi rembat sahajalah di sini!
Syukurlah sudah beli tumbler sewaktu melawat Al Hambra di Sepanyol. Di sini harganya jauh lebih mahal. Tiga atau empat kali ganda jauh beza dengan di Morocco... ahaks! Nampak tak kesenian Islam yang terpapar pada tumbler dalam gambar di atas?
Di Portugal memang ada souvenir seperti tumbler, mug, kain, atau seramik yang dihiasi dengan motif seni Islam. Hal ini kerana peninggalan Andalusia @ Tamadun Islam di Portugal abad ke-8 hingga 13 banyak mempengaruhi seni bina, jubin @ azulejos, corak geometri, dan kaligrafi.
Corak azulejos biru-putih yang terkenal di Portugal sebenarnya berasal daripada pengaruh seni Islam di Andalusia dan Maghribi. Pereka moden di Lisbon, Porto, dan juga kedai-kedai souvenir di kawasan Belém serta Baixa kerap menggunakan motif arabesque @ geometri Islam pada barangan harian, termasuk tumbler dan botol minum.
Sekian, sedikit cerita tentang Pastel de Nata dan kedai souvenir di Lisbon. Jumpa lagi!
0 comments