Telur Sambal Tuhau
1:18 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu rakan-rakan pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Apa aktiviti di hari minggu ini? Hari ini tiada jemputan kahwin atau kenduri-kendara, jadi Amie memerap sahajalah di rumah. Hasrat hendak ke pasar tani terpaksa dibatalkan sebab Encik Suami ada urusan di awal pagi lagi.
Menjelang tengah hari perut rasa lapar tapi berat pula langkah kaki hendak masuk dapur. Mengenangkan ada Firdaus, gagahkan jugalah pergi dapur tanak nasi. Panaskan sajalah baku lauk-pauk kelmarin. Teringat Firdaus suka makan lauk sambal tuhau, terfikir pula untuk cuba goreng telur bubuh sambal tuhau.
Ayuk, kita masak!
Telur Sambal Tuhau |
Lada Tuhau - RM14.90 |
Inilah rupa sambal tuhau @ lada tuhau yang Amie beli di Tamparuli. Amie beli tiga botol. Kecil saja botolnya. Oleh kerana susah sangat hendak habiskan isi sebotol kalau sekadar dibuat pencecah ulam dan ikan goreng, jadi Amie cuba masak jadikan sambal tumis dan bubuhlah apa-apa seperi ikan sardin atau telur goreng, Jadinya cepatlah habis isinya. Untuk Telur Sambal Tuhau, Amie gunakan setengah botol lada tuhau. Lada tuhau ini sudah cukup rasa masam cuka dan rasa garamnya. Jika suka bolehlah tambahkan belacan sewaktu memasaknya.
Resipi Telur Sambal Tuhau
Bahan-bahan:
6 biji telur - goreng gaya telur mata
1/2 botol lada tuhau
4 sudu besar minyak
1 sudu sos tiram
1 susu kicap lemak manis - Amie tak bubuh sebab kicap sudah habis
garamm / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 tangkai cili hijau
Cara memasak:
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Tumis bahan hiris sehingga layu kekuningan.
- Tuangkan lada tuhau, sos tiram, garam / perasa pilihan.
- Masak sehingga pecah minyak.
- Padamkan api dapur
- Susun telur mata di atas pinggan. Tuangkan sambal tuhau. Hias dengan cili padi dan limau kasturi.
Firdaus makan nasi sampai tiga pinggan dan telur mata tiga biji. Sedap, katanya!
0 comments