Lisbon di Mataku : Dari Praça Dom Pedro IV (Rossio Square) ke Praça do Comércio - Penuh Gerai Makanan di Tengah Kota Lama
9:24 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Jalan-jalan di kota Lisbon memang ada tarikannya yang tersendiri. Kami bukan sahaja melihat bangunan berwarna pastel dan jalan berbatu yang klasik, tetapi juga menyaksikan deretan gerai makan di luar bangunan, betul-betul di tengah laluan pejalan kaki. Sambil melangkah dari Praça Dom Pedro IV (Rossio Square) ke Dataran Besar Praça do Comércio, aroma kopi, chesnut atau buah berangan panggang dan makanan ringan jalanan membuatkan seolah-olah bandar ini sedang bercerita!
Kami menghabiskan masa selama sejam melewati laluan pejalan kaki sekitar 750 hingga 800 meter dari Praça Dom Pedro IV (Rossio Square), melalui Rua Augusta, Arco da Rua Augusta dan sampai ke Praça do Comércio. Tempoh masa ini dikira perjalanan pergi dan balik, bergambar serta menikmati pelbagai pemandangan di kiri kanan bangunan.
Lisbon seakan 'hidup' di jalanannya. Hal ini kerana di antara bangunan bersejarah dan batuan calçada, orang ramai berkumpul di gerai-gerai luar bangunan. Entri kali ini Amie khususkan untuk berkongsi 'kehidupan' di tengah-tengah jalan di antara bangunan di kota ini. Amie sangat tertarik dengan suasana 'makan-makan' di luar restoran, jadi Amie ambil banyak gambar yang berkaitan dengannya.
Waktu makan tengah hari orang Lisbon biasanya agak lewat berbanding kita iaitu sekitar pukul 1:00 hingga 2:00 petang. Mereka menikmati hidangan penuh santai. Orang kita pula mula menikmati hidangan tengah hari sekitar pukul 12:00 tengah hari hingga 1:00 petang dan tidaklah lepak lama-lama di tempat makan.
Ketika kami melewati lorong ini jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Jadi, suasana tempat makan kelihatan lengang kerana belum tiba masanya untuk mereka makan tengah hari.
Ketika Amie leka mengambil gambar, beberapa kali Amie ditegur oleh seseorang (lelaki) yang berada di hadapan gerai dengan ucapan : Assalamualaikum. Pada mulanya Amie terkejut dan tidak menjawab salam. Bagaimana pun Amie mula memahami keadaan tersebut apabila lelaki yang menegur itu memberitahu bahawa makanan yang dijual adalah halal sambil menyebut menu yang dijual.
Apabila Amie rujuk Mbak Watie, memang banyak juga gerai dan restoran makanan halal di Lisbon. Apabila Amie inginkan kepastian dari Pak Google rupanya memang ada tempat makan halal di sini seperti:
- Cantinho do Aziz Rua das Fontainhas a São Lourenço iaitu restoran gabungan India-Afrika.
- Pizza Alif Kebab- Pizza Kebab Turky Rua Barros Queirós 4, Rossio.
- Halal Counter Kebab & Pizza
- Taste of Punjab - Masakan Pakistan / India.
Amie terlupa ketika ini Amie sedang berada di Tanah Andalusia, tinggalan tamadun Islam lima abad yang lalu!
Apa yang menarik perhatian Amie ialah mengapa gerai makan di Lisbon banyak di luar bangunan? Hal ini demikian kerana ia merupakan budaya Eropah Selatan. Lisbon, seperti bandar Mediterranean lain, sukakan konsep street life. Jadinya jalan bukan sekadar tempat lalu lintas, tapi juga sebagai ruang sosial untuk makan, minum, dan lepak.
Seperti yang Amie duga, faktor cuaca turut memainkan peranan suasana sebegini berlaku. Iklim Lisbon sederhana dan cerah dengan kebanyakan hari panas tapi nyaman, jadi makan di luar bangunan atau di kaki lima lebih selesa. Selain itu, ia turut menjadi tarikan pelancong. Misalnya kawasan seperti Rua Augusta direka untuk pelancong berjalan santai. Dengan ini gerai makanan ringan, chestnut panggang, minuman, atau kudapan jalanan mudah capai oleh pejalan kaki.
Istimewanya, banyak ruang bandar bersejarah di kawasan lama Lisbon seperti Baixa, Alfama, dan Chiado. Tradisi dan identiti bandar gerai kecil dengan meja luar sudah jadi sebahagian identiti Lisbon. Ia menghidupkan suasana kota, terutama apabila orang ramai duduk di luar sambil minum kopi atau makan kudapan. Misalnya penjual kacang berangan panggang pada musim sejuk gerainya memang ada di tepi jalan. Kios kafe kecil terletak di dataran atau taman menjadi tempat orang minum espresso sambil berdiri dan gerai minuman serta kudapan laut pula letaknya berdekatan kawasan tepi sungai.
Di sepanjang jalan, suasana begitu hidup. Pelancong berhenti seketika untuk mengambil gambar atau mencuba kudapan, sementara orang tempatan santai duduk di meja kecil di tepi kaki lima sambil menikmati kopi panas. Ada yang singgah hanya untuk berbual dengan peniaga, ada juga yang duduk bersandar. Hiruk-pikuk suara bercampur dengan bunyi muzik jalanan, menjadikan Lisbon terasa seperti pesta kecil di ruang terbuka.
Di tengah hiruk-pikuk orang ramai yang berjalan di Rua Augusta, tiba-tiba kami dihentikan oleh bau asap manis yang semerbak. Di tepi jalan ada sebuah gerai kecil dengan tong besi, dan kelihatan asap berkepul halus ke udara. Seorang lelaki kulit hitam berwajah ramah sibuk memanggang kacang berangan di atas bara. Gerakan tangannya membalik-balikkan kacangan berangan kelihatan sangat cekap seperti sudah berpuluh tahun melakukannya.
Barangkali disebabkan membakar di tempat terbuka, maka bau wangi asap manis itulah yang menjemput orang singgah.
Gerai kacang berangan panggang. |
Harga kacang berangan panggang 1/2 dozen (6 biji) ialah 2 EURO. Kalau 1 dozen (12 biji) 3 EURO. Di sini dozen disebut duzia.
Terdengar suara penjual kacang berangan panggang:
Castanhas quentinhas! Quentes e boas! Maksudnya : Berangan panas. Panas dan bagus!
Suaranya lantang, serak-serak basah tetapi mesra, bercampur dengan senyuman yang seolah-olah memanggil setiap orang yang lalu lalang untuk singgah membeli. Terdengar juga penjual kacang berangan panggang ini berkata dalam bahasa Inggeris:
Hot chestnuts, fresh roasted! Try, very good!
Hot chestnuts, fresh roasted! Try, very good!
Orang yang berjalan perlahan-lahan mendekat dan sebahagiannya mungkin hanya kerana tertarik dengan aroma manis yang keluar dari kepulan asap. Oleh kerana Amie sibuk mengambil gambar, Kamsiah membeli kacang berangan yang siap dibungkus dalam kertas kon kecil dan masih berasap. Amie tumpang makan beberapa biji!
Chesnut @ Kacang Berangan Panggang Bayangkan dalam suasana sejuk-sejuk manja, berjalan santai memegang kertas kon kecil sambil mengunyah kacang berangan yang wangi, manis dan hangat! |
Walaupun sibuk mengambil gambar gerai di tengah-tengah jalan, sesekali ambil juga gambar restoran atau kedai makan dalam bangunan pula.
Papan menu memaparkan gambar makanan dengan harga yang jelas dalam bahasa Portugis dan Inggeris. Banyak juga gerai yang meletakkan makanan terus di depan, dalam dulang kaca atau di atas meja seperti pastel de nata, sandes (sandwich), ikan bakar dan sebagainya. Warna-warna ceria seperti salad, buah segar, jus dan seumpamanya kelihatan sangat menggamit selera!
Ada peniaga yang ramah menegur kami dengan senyum ramah:
Hello, pastel de nata? Coffee?
Rasa sayang hendak buang gambar-gambar yang diambil di sini. Jadi Amie abadikan dalam entri ini untuk kenang-kenangan.
Gambar ini diambil ketika kami hendak balik ke pangkal jalan menuju ke bas. Nampaknya orang ramai mula memenuhi gerai dan sudah tiba masanya untuk mereka menikmati hidangan tengah hari. |
Bagi Amie pengalaman melihat dan singgah di gerai-gerai luar bangunan di Lisbon ini bukan sekadar tentang makanan malah lebih kepada rasa kebersamaan : Dapat melihat orang tempatan dan pelancong berkongsi ruang yang sama dan menikmati suasana yang meriah. Ketika kami melangkah pergi, rasanya inilah memori kecil Lisbon yang akan Amie rindui. Mungkin inilah yang membuatkan Lisbon istimewa. Ia sebuah kota yang mengajar kita bahawa perjalanan bukan hanya tentang tempat yang dilihat, tetapi juga tentang detik-detik kecil yang kita alami di sepanjang jalan.
0 comments