ADSENSE

Ahad, 2 Disember 2018

Mee Hoon Goreng Daging

Kebiasaannya kalau di pagi minggu kami akan mengunjungi Pasar Tani LD. Encik Suami pun memang ringan tulang membantu menyiapkan kerja rumah sebelum keluar ke pasar. Sayangnya, perut kita tak berapa sporting pulak pagi ini. Jadi, terbatallah jadual mingguan ini. Encik Suami pula beberapa hari kebelakangan ini rajin 'membetulkan' kereta Amie. Macam-macamlah yang dibetulkan, dibawa ke bengkel dan sebagainya. Menyelenggara kereta memang perlu, apalagi kalau hendak berjalan jauh. Dari menukar tayar, membaiki pendingin hawa, dan entah apa lagi. Terima kasih Encik Suami. Katanya, kalau Amie tak jadi ke pasar tani, dia akan panggil mekanik datang ke rumah untuk  betulkan kereta. Katanya, break kereta perlu diperbaiki. Terima kasih sekali lagi!
Dan, sewaktu membantu jemur pakaian pagi tadi, dia meminta Amie goreng mee hoon untuk sarapan pagi.
Ketika kaki melangkah ke dapur, Abang Farid telefon dari Perak. Begitulah anak-anak, bila berjauhan hanya telefon menjadi penghubung. Bukannya apa, saja bertanya khabar katanya. Dia ingin mengetahui perkembangan adik-adiknya dan juga ayah serta ibunya. Kemudian Encik Suami pula menelefon Fuad di Johor, bertanya khabar. 
Alhamdulillah. 
Tidak cukup dengan menghantar mesej dan video call melalui aplikasi Whatsaap, hendak mendengar suara pula  melalui telefon.

 Pagi ini kami bersarapan Mee Hoon Goreng Daging.

Mari kita lihat resepinya yang sangat mudah di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air sejuk hingga lembut - toskan
1 cawan hirisan daging
1 cawan hirisan lobak merah
4 batang sayur sawi hijau - potong-potong - pisahkan batang dengan daun
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 sudu besar sos tiram - bancuh dengan secawan air
3 sudu besar minyak
2 sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa

 Daging hendaklah dihiris nipis supaya cepat masak.

Amie memang suka tambahkan bawang besar cincang dalam masakan sebab bawang besar mempunyai rasa manis, dan apabila digoreng, baunya mampu memanggil Firdaus datang ke dapur untuk bertanya: Mommy masak apa? Jangan lupa hirisan bawang merah dan bawang putih.

Untuk mencantikkan hasil mee hoon goreng, Amie hiriskan 1/2 batang lobak merah. Mee hoon goreng kali ini Amie tidak tambahkan cili kisar atau kicap. Kosong saja.

Amie gunakan sayur sawi hijau jenis besar. Sesetangah orang akan ketuk-ketuk batang sawi sebelum memasaknya. Amie suka biarkan begitu sahaja untuk menikmati rasa rangupnya. Ikut citarasa masing-masing untuk mengolahnya dengan cara yang disukai.

 Pisahkan antara batang sawi dengan dedaunnya.

Inilah antara bahan yang akan Amie gunakan unuk memasak Mee Hoon Goreng Daging. Ada bahan tambahan di dalam gambar iaitu 1 sudu kecil lada putih yang perlu ditumbuk terlebih dahulu.

1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar bersama bawang merah serta bawang putih hingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan hirisan daging lembu.

3. Gaul rata dan biarkan seketika. Oleh kerana daging lembu yang Amie gunakan ini daging agak muda dan cepat lembut, jadi tidak perlu memasaknya lebih lama.

 4. Kemudian masukkan hirisan lobak merah.

5. Diikuti dengan batang sayur sawi. Ketika ini Amie tambahkan bancuhan sos tiram. Biarkan masak seketika hingga kuah agak pekat.

 6. Masukkan daun sawi dan gaul rata.

 7. Setelah sebati, masukkan mee hoon.

 8. Masukkan lada putih serta perencah Maggi Cukup Rasa. Gaul rata.

Mee Hoon Goreng Daging siap!

Hidangkan Mee Hoon Goreng Daging bersama kicap lada!

Tiada ulasan: