Makan Malam di Qing Hai Abdullah Islamic Restaurant (Qinghai Moslem Restaurant)
8:11 PTG
Alhamdulillah.
Kami solat jamak taqdim di stesen keretapi berkelajuan tinggi, dan tiba di Guangzhou ketika senja menjelma.
Seterusnya kami dibawa untuk makan malam di restoran yang sama pada hari pertama kami tiba, iaitu di Restoran Abdullah yang terletak di 71 Sanyuanli Ave, SanYuanLi, Baiyun, Guangzhou Shi, Guangdong Sheng, China, 510000.
Sewaktu kami tiba, sebahagian hidangan sudah tersedia di atas meja, dan kami tidak menunggu lama untuk menikmatinya.
Sementara menanti lauk-pauk yang lain tiba di meja, kami sempat bertukar-tukar fikiran, bertanya kenapa dan mengapa?
Kenapa pinggan makan yang disediakan bersaiz kecil?
Kenapa piring dan bukan pinggan?
Bubuh nasi seseduk saja, piring sudah penuh.
Itu belum bubuh lauk-pauk lagi.
Sebenarnya di sinilah kita perlu mengetahui atau mempelajari dan memahami cara hidup atau budaya masyarakat di negara yang kita kunjungi.
Sebenarnya (menurut Cikgu Leong, rakan sekerja Amie), masyarakat Cina makan nasi di dalam mangkuk, dan mengambil lauk-pauk dengan menggunakan penyepit, lalu terus dimakan. Budaya kita pula, ambil beberapa jenis lauk, bubuh dalam pinggan, kemudian barulah mula menyuap nasi bersama lauk yang ada dalam pinggan.
Memang ada disediakan mangkuk, tapi kami fikir mangkuk itu untuk isi kuah sup!
Patutlah, ada ketikanya kami tertanya-tanya, kenapa tidak ada sup sedangkan disediakan mangkuk?
Heheeee... begitu rupanya!
Patutlah... sewaktu makan, piring nasi asyik melimpah-ruah sampai lauk-pauknya terkeluar!
Dan kena ambil lauk dalam jumlah yang sesuai untuk sekali suap. Patut pun adakalanya ternampak hidangan sayur atau daging, dipotong kecil-kecil. Rupanya untuk memudahkan si pemakan mengambilnya (dengan penyepit).
Sayur kacang panjang dengan sotong ini nampak segar! Kacang panjang terasa manisnya, dan sotongnya pula sotong segar!
Tak tahulah di mana keistimewaannya telur dadar! Setiap kali dihidangkan telur dadar, memang lauk inilah yang paling awal licin.
Walaupun tanpa sebarang perencah yang kuat seperti bawang putih atau bawang merah, namun setiap kali dihidangkan sayur sawi ini memang semua akan mengambilnya. Batang sawi ini sungguh lembut, ditambah pula dengan dihidang panas, memang laku keras!
Untuk seimbangkan warna-wani hidangan, selain sayur-sayuran hijau juga dihidangkan tauhu dimasak bersama cendawan telinga kera, capsicum merah dan capsicum hijau.
Ini pula sotong goreng dengan cili kering. Banyak penggunaan cili keringnya tetapi tidak ada rasa pedas. He heeee... tak faham pula bagaimana untuk menikmatinya dengan betul. Masing-masing tertanya-tanya, apakah fungsi cili kering itu? Adakah sebagai hiasan atau untuk dimakan bersama sotong? Apa pun, masing-masing mencari sotong di bawah timbunan cili kering, dan akhirnya hanya tinggal cili kering di dalam pinggan lauk.
Barangkali inilah yang dinamakan ayam kung pao! Sejenis masakan Cina yang terdiri daripada kepingan dada ayam saiz dadu, dimasak bersama sos dan ditambah dengan kacang panggang. Memang lekalah kami makan kacang panggang, sedap diratah begitu saja!
Dan, memang setiap kali hidangan ikan, pasti lengkap dari kepala hingga ke ekor! Barangkali memang ada maksud di sebalik cara satu-satu bahan dihidangkan!
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
Surah Al-Hujurat Ayat 13
Entri berkaitan travelogue ke China 4 Wilayah:
|
1 comments
Semua menu sedap2 belaka..haaa lain temoat lain budayanya kn..
BalasPadam