ADSENSE

Ahad, 2 Disember 2018

Kacang Bendi Tumis Pedas dengan Udang

Entri terakhir untuk hari ini sebelum tidur.
Siapa suka sayur kacang bendi?

 Jom kita masak Kacang Bendi Tumis dengan Udang.

Biasanya Amie gunakan udang kertas, tapi kali ini Amie gunakan udang bunga. Walaupun nama dan warna berbeza tetapi rasanya tetap rasa udang...hiks!

Amie nak kongsikan dua khasiat kacang bendi daripada pelbagai khasiat yang lainnya, iaitu membantu menstabilkan kandungan gula dalam darah serta membantu mengelakkan sembelit.

Bahan-bahan:
12 biji kacang bendi - cuci bersih - toskan hingga kering - potong serong
10 ekor udang bunga - bersihkan - buang kulit dan kepala - belah belakang dan tarik uratnya
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - tumbuk kasar (boleh gantikan dengan belacan)
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

 Bajet 10 ekor udang saja. Kalau bubuh lebih, nanti kacang bendi tak laku...hiks!

Tumbuk kasar-kasar saja udang kering ni. Tak bubuh pun tak apa. Gantikan dengan belacan pun ok!

Cili kering kisar dengan bawang merah dan bawang putih. Nak lagi pedas, tambahkan cili padi.

Amie memang suka gorengkan bawang besar Holland di awal masakan. Kalau tak mahu gunakan bawang besar pun, masakan tetap menjadi.

1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga kemuningan.
2. Kemudian masukkan bahan kisar, tumis hingga pecah minyak.

3. Seterusnya masukkan udang bunga dan gaul rata. Masak sehingga udang berubah warna.

4. Masukkan pula kacang bendi. Gaul rata beberapa kali sehingga kacang bendi berubah warna / layu. 
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya. Kacau sekali dua. Padamkan api dapur.

Benda pertama yang mereka terkam ialah udang!
Tukang masak dapat udang kering jew....huk!

2 ulasan:

rahel berkata...

Salam
Kak Amie,bahaya kalau ada lauk macam ni,boleh jadi tidak cukup satu piring nasi.

Amie berkata...

Rahel,
saya nak lauknya sepiring, nasi tolak tepi hihihiiiii.