Jalan-Jalan Cari Sarapan
8:14 PTG
Sempat juga kami meluangkan masa 2 hari 2 malam di Kota Kinabalu.
Perjalanan?
Memanglah habis satu hari perjalanan dari LD ke KK.
Selalunya memang kami tidak isi perut di pagi hari (seawal pukul 5:30 pagi) kalau berjalan jauh. Takut perut meragam pula di tengah jalan.
Kami hanya bawa minuman dan makanan ringan sahaja untuk dikunyah-kunyah sepanjang jalan. Apbila matahari sudah memancar, lebih kurang pukul 8 atau 9 pagi, barulah kami berhenti di mana-mana kedai makan untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan. Biasanya kami singgah kedai mamak, cari roti canai. Tapi kali ini kami singgah di kedai makan tempatan iaitu di Restoran Saiful, di Telupid.
Terujanya rasa bila terhidang Coto Makassar di hadapan mata!
Tapi, takut perut meragam, Amie tak bubuh cili...hiks!
Tapi Coto Makassar tetap sedap juga!
Firdaus mesti nak makan mee goreng!
Banyak perkara yang menyeronokkan Amie temui dalam setiap hidangan coto. Ada rupa coto yang cair, bening dan ada yang pekat seperti di atas. Rasanya? Pun macam-macam rasa Amie dah cuba. Coto Makassar di sini pun sedap! Lain kali kalau dalam perjalanan ke Kota Kinabalu, kami akan singgah di sini lagi untuk bersarapan pagi. Kami ke sini pun dengan berpandukan Pak Cik WAZE...hiks! Senangkan dunia sekarang? Tak payah tanya sana-sini, semuanya ada di hujung jari.
Kali ini kami lupakan terus roti canai...hiks!
Pagi pertama di Kota Kinabalu, kami bersarapan di Pasar Besar Kota Kinabalu. Memang sengaja ke situ untuk mengenang nostalgia lalu.
Kebetulan terlihat seorang peniaga di salah sebuah gerai sedang mengangkat daging ayam yang direbus! Harumnya!
Kami pun terus singgah di situ, memasan sarapan pagi. Seperti biasa, Firdaus menanti mee gorengnya dengan penuh sabar!
Kebiasaannya, memang sup kosong akan dihidangkan bersama makanan yang dipesan. 2 mangkuk sup ini Encik Suami dan Firdaus punya untuk dinikmati ketika makan mee goreng.
Bismillah.
Apa yang menariknya di sini, walaupun rupa hidangan sama dengan mee hoon sup, tetapi dipanggil Soto Ayam. Sedap! Terasa manisnya ayam yang dicarik.
Dan ini pula, dipanggil soto campur. Isinya bercampur, bakso dengan isi ayam dan juga mee hoon. Rasanya, memang sedaplah bagi kami.
Dan, hari terakhir kami berada di Kota Kinabalu memang kami tak ambil sarapan di awal pagi. Kami bertolak seawal pukul 7:30 pagi dan berhenti untuk rehat dan sarapan pagi di Kundasang. Biasanya kami makan mee hoon sup di kedai makan bawah rumah, tetapi nampak pekerja-pekerja di situ agak sibuk dan tidak 'sempat' melayan kami, jadi kami beralih ke kedai makan yang bersebelahan. Sebelum itu kami pesan sayap ayam panggang di gerai berhampiran kedai makan tersebut.
Dulu, memang Amie suka sangat makan sayap ayam panggang di sini, tetapi disebabkan masalah gigi, Amie terpaksa 'menolak' makanan yang enak ini. Biarlah Fairuz dan Encik Suami sahaja yang makan.
Fairuz bersarapan pagi dengan nasi ayam!
Pada mulanya Firdaus tak mahu bersarapan. Katanya, cukuplah dengan minum air milo sahaja. Apabila terlihat sepinggan mee goreng dihidangkan di hadapan Encik Suami, cepat-cepat dia berkata: Mee goreng ni Daus punya!
Maka makanlah dua beranak ini sepinggan mee goreng.
Terjumpa lagi nama Soto Super di sini!
Soto Super ialah sejenis mee hoon sup yang ditambah dengan pelbagai jenis bahan campuran seperti perut, bakso, daging dan urat.
Sedapnya menghirup sup panas ketika angin sejuk menerpa dari Gunung Kinabalu!
1 comments
Kalau jalanw..acara makan memang dh jadi kewajipan..mencuba menu baru ditempat org
BalasPadam