ADSENSE

Khamis, 25 April 2019

Tips Masak Kari Ikan yang Sedap!

Setiap keluarga pasti memiliki resepi warisan turun-temurun yang tersendiri. Cuma biasanya tidak didokumentasikan atau dikongsikan bersama dalam bentuk tulisan. Masing-masing mempunyai petua dan kaedah memasak yang tertentu termasuk bahan-bahan yang digunakan, cara olahan dan sebagainya. Namun begitu, setiap resepi warisan pasti memiliki keistimewaannya yang tersendiri. 

Cerita Amie hari ini ialah perkongsian masakan kari ikan tanpa menggunakan santan, atau lebih senang kalau dipanggil kari mamak. Petua masak kari ini sebenarnya Amie perolehi dari seorang rakan yang berniaga makanan di Pelabuhan Kelang. Beliau memberitahu Amie, kalau masak kuah kari, tak perlu masuk santan. Cepat muak katanya. Gunakan sahaja tomato.
Itu sahaja petua yang diberikannya.
Jadi, Amie pun masak kari ikan gunakan tomato, mengikut pemahaman dan olahan serta citarasa sendiri. 
Hanya tambah tomato sahaja!
Yang lain itu, sama sahaja caranya seperti masakan kari yang biasa kita masak.
Selain tomato, Amie tambahkan banyak bawang! Ini juga merupakan perkongsian seorang lagi teman sekerja. Katanya, jangan lupa gunakan lebih bawang untuk masak kari tanpa santan. Wokeh!

 Jadi, inilah hasilnya olahan kari ikan untuk hari ini.
Cantik tak kuahnya?

Mari kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
700 gram ikan - Amie gunakan bahagian kepala dan ekor ikan alu-alu 
5 biji tomato - buang kulit dan potong-potong
1 labu bawang besar - hiris
10 biji kacang bendi
4 sudu besar serbuk kari ikan
1 sudu kecil pati asam jawa
1 sudu besar halba campuran
2 tangkai daun kari ( Amie tak bubuh sebab tak ada simpanan)
3 cawan air
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
2 cm halia

 5 biji tomato yang dibuang kulit, kemudian potong-potong ikut suka.


1 labu bawang besar. Hiris nipis atau mayang.

 Herba campuran yang terdiri daripada halba, jintan putih, jintan manis dan biji sawi.
Dengan kehadiran herba campuran dalam masakan kari, aromanya mampu menggoda selera!

 Serbuk rempah kari ikan.

 Bahan kisar yang terdiri daripada cili kering, bawang putih, bawang merah dan halia.

Dan inilah dia watak utama masakan kari hari ini, kepala dan ekor ikan alu-alu. Gunakan ikan lain pun boleh seperti ikan tengiri dan ikan-ikan lain yang digemari.
Jom, kita mula masak. 
Peringatan: Kena bersabar sedikit kerana perlu ambil masa menunggu tomato dan bawang besar menjadi hancur!

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga layu.
2. Kemudian masukkan herba campuran dan tumis hingga terbit aroma.
3. Masukkan tomato dan perlahankan api dapur. Masak sehingga tomato menjadi hancur.
4. Setelah tomato dan bawang besar hancur, masukkan bahan kisar dan masak lagi sehingga terbit minyak.
5. Masukkan serbuk rempah kari dan gaul rata.
6. Masukkan pati asam jawa, dan diikuti dengan air.

 7. Biarkan kuah masak mendidih.

 8. Masukkan ikan alu-alu.


 9. Diikuti dengan kacang bendi, garam / gula / perasa pilihan.


10. Perlahankan api dapur supaya masak sekata sehingga terbit minyak. Kemudian padamkan api dapur, dan sedia untuk dihidangkan.

 Jemput makan!


Kari ikan alu-alu yang sedap sudah terhidang!
Bismillah.

Tiada ulasan: