Cara Panggang Ikan Gaya Ayah Mertuaku
9:17 PTG
Ikan panggang ini sudah selamat masuk perut sebagai santapan tengahari kami seisi keluarga pada hari kelmarin. Agak lama juga Amie tak panggang ikan begini. Ini ialah ikan air tawar, iaitu ikan lampam. Sewaktu hayat MIL dan FIL masih ada, memang selalu jugalah makan ikan lampam panggang begini kalau kami ke kampung. Setiap kali Amie akan panggang ikan ini, Ayahanda mertua akan pesan : Panggang basah-basah ya nak.
Maksudnya tu, jangan panggang sampai isi ikan kering atau garing.
Ketika bapa saudara sebelah Encik Suami sihat bertenaga, memang setiap kali pulang memancing di Sungai Segama, berekor-ekor, bahkan berkilo-kilo banyaknya ikan lampam (sebutan tempatan ikan salap) dibahagi-bahagikan dengan Ayahanda mertua. Selain ikan lampam, bapa saudaranya juga sering memberikan ikan patin, ikan baung dan ikan lawang.
Biasanya MIL akan kelar-kelar ikan lampam dan goreng garing supaya tidak terasa sangat tulang-tulangnya yang halus ketika dikunyah. Dan mungkin sudah jemu asyik digoreng, dipangganglah pula ikan air tawar ini. Adakalanya, ikan lampam ini mencapai berat sehingga 1 - 1.5 kg seekor! Besarkan? Saiz ikan lampam yang besar begini, memang MIL dan FIL suka panggang.
Ini ikan lampam yang kami beli di tamu Kampung Paris. Beratnya 500 gram seekor setelah dibuang isi perut. Susah nak dapat ikan lampam sekarang ini sebab hanya bergantung kepada nelayan yang turun ke sungai sahaja. Di sini (LD) memang tidak ada ternakan ikan air tawar dalam sangkar untuk tujuan komersial.
Mari kita lihat resepi yang sering digunakan oleh MIL dan FIL untuk memanggang ikan lampam.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan lampam seberat 500 gram - bersihkan tanpa membuang sisiknya
2 sudu besar minyak
1 helai daun kunyit
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam / perasa pilihan secukupnya
daun pisang secukupnya
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1/2 sudu kecil lada putih - pilihan
1/2 sudu kecil pati asam jawa
2 cm halia
1 batang serai - potong 2 cm
1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan halia. Jangan tumbuk terlalu hancur. Jika suka tambahkan lada putih. (Amie lupa nak bubuh)
2. Masukkan potongan serai dan tumbuk sehingga pecah sahaja.
3. Masukkan pati asam jawa dan serbuk kunyit, garam / perasa pilihan secukupnya.
4. Tambahkan 2 sudu besar minyak masak.
5. Gaul mesra.
6. Lumurkan bahan tumbuk tadi ke seleuruh bahagian ikan.
7. Bahan selebihnya masukkan ke dalam perut ikan.
8. Letakkan daun pisang dan bubuh daun kunyit di atasnya. Kemudian letakkan ikan, dan bungkus. Untuk lebih sempurna bolehlah sematkan lidi di bahagian atas bawah ikan.
Amie letakkan begitu sahaja bungkusan ikan ke dalam pemanggang ajaub tanpa sematan lidi.
9. Letakkan pemanggang ajaib di atas api kecil selama 10 minit, dan kemudian terbalikkan pemanggang ajaib. Panggang lagi selama 5 minit. Kalau sukakan ikan yang lebih garing bolehlah panggang lama sedikit. Kalau sukakan ikan yang berjus, basah dan lembut bolehlah ikut cara ini.
Wokey!
Ikan Panggang gaya ayah mertuaku sudah siap untuk dihidangkan!
Menepati citarasa! Tidak garing dan kering!
Tak sempat nak sediakan sambal air asam, Encik Suami sudah tidak sabar untuk menjamahnya!
Kami pun meratah ikan panggang ini berdua. Fairuz dan Firdaus tak mahu makan sebab katanya ikan ini banyak tulang! Walaupun banyak tulang tapi sedap! Kalau saiz besar, tulang halusnya tidak banyak. Yang banyak tulang itu saiz ikan yang kecil.
2 comments
mesti harum semerbak masa di panggang tuh kan kak...
BalasPadamdana suka ikan panggang yg basah2 gitu... sedap laayan
ikan lampam ni ada banyak duri ke kak? pernah mkn tp tak ingat mcmne
Norhidana,
BalasPadamye, harum aroma daun kunyit.
Kalau saiz kecil memang banyak tulang halus, tapi saiz besar tulang halus tak berapa banyak.