Daging / Tulang Rusa Masak Kari Gulai Darat
10:33 PG
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Agak lama juga tidak berkongsi masakan. Kali ini Amie paparkan menu yang agak lama tersimpan dalam folder sebab beri laluan untuk publish entri jalan-jalan ke Nepal. Jemput jamu mata menikmati resepi Daging / Tulang Rusa Masak Kari Gulai Darat.
Amie gunakan 1/2 kg daging rusa dan 1/2 kg tulang rusuk rusa. Istimewanya masakan ini kerana selain rempah kari, ada penambahan bahan yang menyerlahkan aroma serta rasanya, iaitu lengkuas, kunyit hidup dan biji ketumbar. Biasanya masakan kari begini akan ditambah dengan kentang tapi Amie tambahkan betik mengkal.
1/2 kg daging rusa - potong ikut saiz yang digemari
1/2 kg tulang rusuk rusa
500 gram betik mengkal - kupas kulit - buang biji - potong ikut suka
4 sudu besar serbuk kari daging
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugor
gula melaka secukupnya (betik mengkal turut pengaruhi rasa manis masakan)
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
2 sudu besar ketumbar biji - sangai terlebih dahulu
5 tangkai cili kering
Kalau ikutkan cara masakan Amie, tulang dan daging rusa Amie rebus terlebih dahulu sehingga air rebusan hampir kering. Amie gunakan 3 cawan air, dan gunakan api perlahan.
Cara memasak:
1. Masukkan rempah kari dan kesemua bahan kisar ke dalam periuk berisi rebusan daging dan tulang rusuk rusa.
2. Tambahkan santan cair, betik, dan asam gelugor.
3. Masak sehingga daging rusa menjadi empuk.
4. Kecilkan api dan masukkan santan pekat, kerisik, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Kacau sekali-sekala agar tidak hangit.
6. Sesuaikan kepekatan kuih ikut citarasa. Kalau nak lebih pekat, biarkan masak lebih lama sedikit di atas api dapur.
Jemput!
0 comments