Cara Masak Tempoyak Ikan Patin Temerloh Yang Sedap!
4:01 PTG
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah.
Hari ini dapat makan tengahari bersama Encik Suami, Fairuz dan Firdaus setelah agak lama tak makan bersama. Itu pun disebabkan negeri Sabah cuti sempena Good Friday, jadi dapatlah meluangkan masa buat seketika bersama keluarga tersayang.
Sebaik sahaja pulang dari solat Jumaat, memang sudah terhidang santapan tengahari, nasi berserta lauk yang ringkas di meja makan. Fairuz pula sebelum solat Jumaat sempat sediakan jus nanas. Jadi memang berseleralah makan tengahari kami.
Jemput makan nasi berlauk masakan Tempoyak Ikan Patin Temerloh, gaya masakan orang Pahang ni.
Sebelum ini biasa dengar rakan-rakan khususnya dari Pahang atau yang sudah biasa makan masakan hasil air tangan orang Pahang mengatakan, masakan ikan patin tempoyak sebenarnya tidak perlu menggunakan banyak bahan! Setelah beberapa kali bersoal jawab dengan Pak Google, akhirnya Amie ikut petunjuk Pak Google supaya singgah di dapur AZIE KITCHEN.
Fahamlah sekarang, rupanya masakan tempoyak ikan patin orang Pahang khususnya daerah Temerloh ini memang benar-benar ringkas dan mudah. Tak perlu sediakan banyak bahan dan cukup sekadar cili, tempoyak, kunyit hidup, daun kesum dan garam sahaja! Pastikan ada rasa cukup masam pada tempoyak supaya tak perlu tambahkan sebarang rasa asam pada kuah.
Terima kasih AZIE KITCHEN di atas perkongsian resepi ini. Amie sukakan kuah tempoyak yang agak cair, jadi Amie masukkan ikan bersama bahan lain ke dalam periuk sebelum dimasak. Menurut Azie, kalau inginkan hasil kuah yang agak pekat, kuah hendaklah dimasak terlebih dahulu sehingga pekat, barulah masukkan ikan.
Ada dua ekor ikan patin seberat 1.7 kg yang baru dibeli di pasar tamu Kampung Paris. Seekor agak besar dan seekor lagi agak kecil saiznya. Amie masak seekor, saiz yang agak besar lebih kurang 1 kg.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan patin seberat 1 kg - bersihkan - potong ikut kegemaran - lumurkan seketika dengan tepung gandum untuk kurangkan hanyir - bilas bersih dan toskan.
3 cm kunyit hidup
2 senduk tempoyak (sukatan Amie : 6 sudu besar)
1 genggam cili padi (25 biji - Amie tambah 1 biji cili merah seperti Azie sebab cili padi tak berapa merah warnanya)
10 tangkai daun kesum (sukatan Azie : secekak)
garam secukup rasa
4 cawan air
Ikan patin.
Daun kesum, cili merah dan kunyit hidup.
Cili padi dan tempoyak.
1. Tumbuk cili padi, cili merah dan kunyit hidup. Jangan terlalu hancur.
2. Kemudian masukkan tempoyak, dan tumbuk lagi sehingga bergaul rata.
3. Masukkan bahan tumbuk tadi ke dalam periuk dan tambahkan air.
4. Seterusnya masukkan ikan dan sedikit garam.
5. Masak di atas api sederhana sehingga mendidih.
6. Masukkan daun kesum dan biarkan masak selama 2 hingga 3 minit.
7. Padamkan api dapur.
Masakan ikan patin tempoyak gaya Temerloh sudah sedia untuk dihidangkan.
Jom makan sama.
Bismillah.
Terima kasih sekali lagi untuk rakan blogger AZIE KITCHEN atas perkongsian resepi yang mudah tapi sedap ini!
2 comments
alahai kak...terliur pulak..lama dah tak makan ikan patin masak tempoyak...
BalasPadamMaria,
BalasPadamjemput ye