Jalan-Jalan Cari Sarapan di Pasar Tani Lahad Datu
9:42 PG
Selamat berhujung minggu.
Awal pagi tadi sempat berdua-duaan dengan Encik Suami mengunjungi pasar tani. Seronoklah mata dapat menjamu pelbagai pemandangan hijau, jualan para petani dan peniaga pasar tani. Segala ulam-ulaman, sayuran kampung seperti paku pakis, bunga betik, pucuk ubi, terung pipit, rebung, sayur keladi, pisang, nangka, jambu dan pelbagai lagi begitu menggoda jiwa untuk membelinya. Terpikat pula dengan lokan, dan siput laut serta hidupan laut yang lain seperti kima, tehek-tehek dan sebaginya.
Setelah menghabiskan masa selama hampir dua jam di pasar tani, tentulah balik ke rumah anak-anak sudah menunggu untuk bersarapan pagi. Baiklah kita beli sahaja apa-apa makanan di pasar tani.
Sampai ke rumah, Fairuz tak sabar-sabar nak makan sate.
Terpandang kaki ayam masak kicap yang terlerai dari tulang, beli juga sebungkus. Boleh ratah-ratah.
Encik Suami beli nasi kuning untuk Fairuz dan Firdaus. Untuk dirinya sendiri, dibelinya nasi kerabu.
Nasi kerabu, dengan lauk-pauknya yang ringkas termasuk seketul ayam goreng berempah. Di LD memang banyak peniaga nasi kerabu terutama dalam kalangan mereka yang bekerja di sini dan memang berasal dari Kelantan. Sayangnya, lauk-pauk yang ditawarkan kurang meriah berbanding di Malaya. Dari dahulu sampai sekarang, tidak banyak yang berubah. Kalau ada pun, tambahan telur masin sahaja. Ada juga pilihan lauk seperti ayam percik, dan itu pun sangat jarang kecuali pada bulan puasa, di bazar Ramadhan.
Nasi kuning, menu sarapan pagi paling popular di sini. Apa pun lauk yang ditawarkan, kebanyakan pembeli tetap memilih lauk ikan sambal dan telur rebus. Entah kenapa lauk lain kurang 'masuk' dihidangkan bersama nasi kuning....hiks! Nasi kuning yang sedap sudah tentulah yang tidak peroi, dan adakalanya peniaga akan memasak nasi kuning dengan sedikit beras pulut.
Jom sarapan dengan okok-okok (nasi di dalam kulit tehek-tehek).
Pemanis mulut kami pagi ini ialah pais jagung.
Jimat masa nak buat pais jagng. Kalau teringin beli sahajalah. Tapi kalau nak yang lebih sedap, dan ikut citarasa, buatlah sendiri. Itu pun kalau rajin...hihihiii!
Kuih bandang lojo, inti pisang raja, bahagian luarnya ubi kayu dan disalut dengan kelapa parut. Dulu, kalau beli kuih ini Amie seorang yang makan. Encik Suami tak mahu jamah. Minggu lepas semasa kami ke pasar tamu di Kampung Paris, dalam perjalanan pulang ke LD perut lapar pulak. Amie makan dalam kereta. Encik Suami minta sedikit. Katanya : Sedap pula kuih ni. Jadi, padi tadi dia pun belilah kuih ini di pasar tani LD.
Tidak lupa, barobbo, iaitu bubur jagung dengan pelbagai bahan lain dan enak disantap bersama sambal dan renjisan jus limau kasturi.
2 comments
salam, tehek tehek ni sea urchin rupanya. dibuang duri nya. ternampak di you tube thai food channel.
BalasPadamNor,
BalasPadambetul tu, ada duri, dia keluarga landak laut.