Ayam Masak Kari dengan Betik
12:20 PTG
Assalamualaikum.
Masak apa hari ini?
Amie belum masak, baru rendam ikan di dapur.
Nampaknya hari ini Encik Suami menghadiri kenduri tahlil di rumah rakannya, dan kita pula baru balik dari menghadiri taklimat persaraan. Walaupun masih jauh lagi tarikh untuk bersara, tapi saja jew ikuti perkembangan serta prosedur untuk menghadapi saat pencen. Sekarang ini, macam-macam perkara yang tertinggal untuk diikuti...hiks!
Okey, kembali kepada cerita pokok, tentang masak-masak. Amie kongsikan menu Ayam Masak Kari dengan Betik. Masakan ini sudah lama masuk perut, tapi baru hari ini sempat dipaparkan.
Bahannya biasa-biasa sahaja, cuma di akhir masakan Amie perahkan jus limau nipis untuk menggantikan asam jawa atau asam keping. Amie masak bahagian sayap @ kepak ayam. Selalunya Amie gunakan santan segar, tapi untuk masakan kali ini Amie gunakan santan kotak.
Bahan-bahan:
6 keping sayap ayam - potong 2
400 gram betik mengkal - kupas kulit - buang biji - potong ikut suka
4 sudu besar Serbuk Kari 888 (ayam / daging)
1 kotak santan kelapa Ayam Brand - 200ml
3 cawan air
1 labu bawang besar - mayang
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari - lurutkan
2 sudu besar jus limau kasturi
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
(jika sukakan rasa pedas, boleh tambahkan cili kering - Amie tak bubuh cili kering)
Cara memasak:
1. Panaskan minyak, dan goreng bawang besar sehingga terbit bau dan layu.
2. Masukkan daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, dan buah pelaga.
3. Setelah terbit bau tumisan rempah, masukkan pula bahan kisar dan kacau rata. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Perlahankan api dan kemudian masukkan serbuk rempah kari. Gaul sebati, dan jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
5. Masukkan sayap ayam, besarkan api dan biarkan masak sehingga layu (berubah warna sayap ayam). Tambahkan air. Biarkan masak mendidih dan kemudian masukkan betik.
6. Perlahankan semula api, masak sehingga ayam dan betik empuk.
7. Tuangkan santan, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis secara merata di atas masakan. Kacau sekali dua, dan kemudian padamkan api dapur.
2 comments
assalamualaikum amie.. 1st time dtg sini sis terus follow.. bnyk resepi best kat sini bleh cuba nnti... ada masa jemput singgah blog sis juga ya.. terima kasih
BalasPadamSiti Awadah,
BalasPadamwaalaikumussalam,
terima kasih sudi singgah.