Udang Galah Masak Lemak Cili Padi Dengan Nanas
10:22 PTGHari ini Amie masak udang galah.... masak lemak cili padi campur dengan nanas yang sudah masak. Udang galah ni kepalanya saja besar, makin besar udangnya bertambah besarlah kepalanya. Tapi udang galah Amie tak besar dan tak kecil... saiz sederhana besar dan sederhana kecil. Amie pilih nanas sebagai rakan udang galah memandangkan kelmarin 2 biji kami beli 2 biji nanas masak, nanti terlebih ranum tak sedap pula. Jom kita tengok masakan Amie di bawah ni...
Bahan-bahan yang Amie gunakan untuk masakan ini ada di bawah ni.....
600 gram udang galah (buang misai & janggut & kotoran di tengkuk - kepala)
300 gram nanas (potong ikut suka)
300ml santan pekat
15 biji cili padi (tumbuk)
7 biji bawang merah (tumbuk)
7 biji bawang putih (tumbuk)
sedikit belacan (tumbuk)
1 labu bawang besar (belah 4)
3 batang serai (ketuk)
5 helai daun limau purut
2 keping asam gelugur
1 sudu serbuk kunyit
garam & gula
minyak
Cara memasaknya pun mudah saja.... lihat je di bawah ni...mula-mula panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan yang ditumbuk bersama serai hingga wangi. Kemudian masukkan bawang besar.
Langkah seterusnya, masukkan serbuk kunyit dan asam keping. Sebenarnya saja Amie masukkan asam keping sebab nanas tu manis, jadi biar ada rasa masam sikit. Kemudian masukkan nanas. Balik-balikkan supaya nanas menjadi layu. (Kalau terlebih rajin - rebus nanas dulu dan toskan airnya - kemudian masak bersama udang).
Kalau nanas dah nampak layu, masukkanlah pula udang galah. Kacau sebati dengan nanas hingga warna kulit udang galah kemerah-merahan.
Kemudian masukkan santan pekat. Kacau sekali-sekala. Perlahankan api.
Apabila kuah mulai pekat dan udang galah telah masak, masukkan daun limau purut, garam dan gula. Nampaknya setakat inilah dulu ilmu masak lemak udang galah dengan nanas yang dapat Amie kongsikan.
0 comments