Sup Rebung Dengan Ayam
6:13 PTGApa khabar semua pengunjung? Mesti sihatkan.... kalau tak sihat tentu tak larat nak buka laptop... he he he... Amie seronok sangat hari ini kerana rakan sekerja Amie, Nur Fadhillah Abdullah memberikan Amie rebung buluh yang masih segar. Memang Amie yang tak tahu malu ini, sering berpesan padanya... jangan lupa Amie kalau ada rebung baru muncul di perdu rumpun buluhnya. Bukan apa, sejak sudah tahu beza mana yang lazat dan sebaliknya, pandai pula Amie jual mahal dengan rebung. Maklumlah, pengalaman makan rebung buluh (di rumah Roseneh Taringa) yang manis di hutan rimba rumah panjang masyarakat Murut Silungai di pedalaman Pensiangan, barulah Amie tahu rupanya ada banyak jenis rebung buluh. Sudahlah begitu, cara mereka masak hanya rebus, bubuh garam dan bubuh daun apa' yang dititik... ya Allah... pelik bin ajaib, Subahanallah... sedapnya dah cukup perisa dari daun apa' itu. Kali ini bukan rebung orang Murut seperti Roseneh Taringa tetapi rebung buluh orang Kadazan-Dusun pula. Rebungnya sama, tapi orangnya saja yang berbeza kaum. Oleh sebab Amie 'sayang' sangat dengan rasa rebung yang diberi ini, Amie ingin kekalkan kelazatannya dengan hanya memasak sup dengan ayam dan walaupun hanya masak ringkas begini, bau rebung sup yang sedang dimasak seolah-olah bau cendawan payung yang bonda Amie masak masa kami kecil dulu. Ada sekali dulu Amie masukkan dalam blog, sup rebung dengan ayam tapi yang ini Amie buat sedikit tambahan (ikut cara bonda: tambah rempah, dan ikut cara kawan... Serimah Selamat dengan memasukkan akar & batang daun sup semasa menumis).
Bahan-bahan:
600 gram daging ayam segar (potong 10 bahagian)
2 cawan rebung (Nur Fadhillah sudah cincang)
3cm batang berakar daun sup (rendam supaya hilang pasir pada akar dan tumbuk halus bersama bahan lain)
5 biji bawang merah (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1/2 sudu kecil jintan putih (tumbuk)
1/2 sudu kecil jintan manis (tumbuk)
1/2 sudu kecil ketumbar (tumbuk)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
3cm halia (tumbuk)
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
garam & perasa
daun sup
daun bawang
600ml air
minyak
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk, kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan hingga layu.
3. Masukkan daging ayam dan biarkan hingga mendidih.
4. Masukkan rebung dan masak lagi sehingga ayam empuk.
5. Masukkan garam dan perasa.
6. Angkat dan hidangkan bersama taburan daun sup dan bawang goreng.
~Menurut kawan : Serimah Selamat... akar dan bonggol daun sup itulah yang memberikan aroma sebenar dalam masakan sup dan memang Amie selalu gunakannya dalam masakan sup terutama sup untuk mee hoon.~
0 comments