Sate Ayam
9:35 PTGCerita tentang sate.... kakak Amie pesan kalau nak buat sate yang sedap, perap sekurang-kurangnya 8 jam dalam peti sejuk. Memang Amie sudah beberapa kali mencuba, ternyata memang sedap. Cuma saiz sate Amie tu kecil@kecut. Lain kali potong besar-besar sikit. Seorang teman Amie yang memang berniaga sate memberitahu, untuk satu cucuk sate, perlu cucuk 2 lemak (kulit) dengan tiga isi ayam. Ohh... sate sekurang-kurangnya perlu ada 3 keping isi ayam. Sate dan kuah sate yang Amie sediakan sebenarnya tak sama dengan yang kita biasa makan sebab kalau buat sendiri, tentulah kita bebas menentukan apa bahan dan apa rasanya. Misalnya, Amie suka kuahnya yang kurang manis, sebaliknya rasa pedas dan berempah. Kalau 'rajin' datang, Amie sanggup sediakan hingga 400 cucuk sate.... itu pun dulu, semasa dapat anugerah perkhidmatan cemerlang... saja2 bagi makan kawan2. Sesekali waktu raya, ada juga buat sate untuk sanak saudara yang datang berkunjung. Itu pun termasuklah sate daging rusa sebab di sini memang mudah untuk bekalan daging rusa segar. Paling seronok sewaktu bakar sate.... sebab apa, kesabaran menunggu arang yang dibakar menjadi bara...., masa tu barulah cantik susun sate di atas pemanggang. Apa pun dalam bab sate ini, yang paling Amie gemari ialah aromanya... aroma bahan pemerap dan aroma kuah sate. Kuah sate pun perlu disediakan lebih awal, beberapa jam sebelum dimakan bersama sate supaya meresap semua bahan yang digunakan. Itu yang sebenarnya membezakan sate buatan sendiri dengan sate yang dibeli. Satu lagi, gunakanlah ayam segar terutama bahagian dada untuk mendapatkan dagingnya yang pejal dan rasanya tentulah sedap sangat bila segala bahan pemerap sudah meresap. Sukatan yang Amie gunakan di bawah ialah sukatan daging tanpa tulang.
Bahan-bahan:
2kg isi ayam - tanpa kulit (potong dadu sebesar 3-4cm)
45 batang lidi sate (rendam selama 1 jam supaya tidak mudah patah)
2 bungkus nasi himpit (potong dadu)
2 labu bawang besar (potong dadu)
1 batang timun (potong dadu)
Bahan pemerap sate:
4 batang serai*
6cm halia*
3cm lengkuas*
2 labu bawang besar*
1 sudu serbuk jintan putih
1 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk ketumbar
1 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu kecil pati asam jawa
3/4 sudu garam
4 sudu gula
*kisar halus
Bahan kuah: (sediakan kuah sate sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal sebelum sate dibakar)
400 gram kacang tanah (goreng dan tumbuk kasar)
15 biji lada merah*
2 labu bawang besar*
2 batang serai*
3cm lengkuas*
1/2 sudu serbuk jintan putih
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk ketumbar
1 sudu pati asam jawa
1 sudu garam
5 sudu gula
minyak
300ml air (bancuh dengan asam jawa)
minyak
*kisar halus
Cara:
1. Perap ayam dengan bahan pemerap lebih 8 jam dalam peti sejuk. Keluarkan dan cucuk dengan lidi sate.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar untuk kuah hingga wangi. Masukkan serbuk jintan putih, jintan manis dan serbuk ketumbar.
3. Masukkan air asam jawa dan biarkan mendidih.
4. Masukkan kacang tumbuk, garam dan gula.
5. Perlahankan api dan selalu dikacau.
6. Padamkan api apabila telah pecah minyak.
7. Panggang sate di atas bara - pemanggang (bukan api) hingga masak.
8. Hidangkan sate bersama kuah kacang, nasi himpit, bawang dan timun.
Jangan bakar sate terlalu lama (anggaran 7-8 minit sahaja) sebab sebenarnya bahan pemerap terutama halia sudah 'memasakkan' sate itu. Pastikan sate yang telah dibakar dalam keadaan lembap, tidak kering - gunakan batang serai yang diketuk atau daun pandan untuk menyapu minyak di atas sate yang sedang dibakar..
0 comments