Ikan Sembilang Masak Singgang Dengan Labu Manis
10:07 PTGEntah berapa besar & panjang ikan sembilang yang suami beli tempohari. Amie dah masak separuh, masak lemak cili padi, ada lagi ha... 7 potong. Nanti dibiarkan lama dalam peti sejuk, tak enak pula rasanya. Baiklah cepat-cepat Amie habiskan stok. Masaklah ikut mana yang patut.....
Ohhh....hujung minggu ini Hari Ibu...., bondaku nan jauh di mata... hanya mampu kudoakan moga kau sihat sejahtera. Hampir seminggu tidak mendengar suaranya kerana masalah talian telefon.... biasanya paling lama pun 2-3 hari Amie mesti telefon. Apa pun, kalau rindu bonda dan suasana keluarga nun jauh di sana, Amie suka masak lauk-pauk yang pernah bonda hidangkan untuk kami. Bonda paling suka masak pindang@singgang, campur dengan daun sedikit daun kunyit. Kata bonda, masakan begini sangat menyelerakan dan menyihatkan badan... apa tidaknya, masak rebus tanpa menggunakan minyak. Maaf ye bonda, ... anakanda terlebih kreatif pulak ni. Ada lagi lebihan labu manis di dapur, memang tak pernah Amie terjumpa resepi masak pindang@singgang dengan labu manis.... hi hi hi.., memandangkan labu manis banyak khasiatnya, baiklah Amie masak bersama ikan sembilang supaya khasiatnya terpelihara. Rasanya minggu ini hidangan keluarga banyak berasaskan lemak, masak lemak, termasuk rendang.... penuh bersantan belaka. Dulu Amie pernah cerita tentang khasiat labu manis, memang sangat baik untuk kesihatan. Tambahan pula, labu manis dikatakan mengandungi nutrisi yang membantu meningkatkan kekebalan tumbuh di samping itu serat atau fiber yang tinggi dalam labu mampu mengawal nafsu makan.... ha... kalau begini, selalu2lah makan labu yea...
Bahan-bahan:
7 keping ikan sembilang
200 gram labu manis (potong dadu)
1/2 labu bawang besar (mayang)
3 biji bawang besar (pecahkan)
3 biji bawang putih (pecahkan)
1.5 cm halia (diketuk)
1 batang serai (diketuk)
2 keping asam gelugur
1/2 sudu serbuk kunyit
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1 helai daun kunyit (carik2)
7 biji cili padi
500ml air
Cara:
1. Didihkan air bersama asam gelugur, halia, serai, bawang putih, bawang merah dan serbuk kunyit.
2. Masukkan ikan sembilang dan biarkan mendidih.
3. Masukkan labu manis bersama cili padi.
4. Apabila ikan sembilang masak dan labu manis empuk, masukkan daun kunyit dan serbuk pati ikan bilis.
5. Ikan sembilang masak singgang dengan labu manis siap untuk dihidangkan.
1 comments
Salam
BalasPadam